Kemaskini 4 Julai 2021
“RM5,000 pada tahun 2019 hanya bernilai RM169.36 pada tahun 1980” Jabatan Perangkaan Malaysia
Perkataan inflasi bukanlah sesuatu yang asing buat kita pada hari ini. Masalah inflasi sering kali di gembar-gemburkan hampir di setiap media massa yang ada tidak kira media cetak ataupun media eletronik. Persoalannya, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan inflasi dan apa kesannya kepada kita selaku pengguna?
Inflasi
Inflasi bermaksud kenaikan secara umum pada harga barang. Bila inflasi berlaku, barangan yang dapat dibeli oleh setiap ringgit akan berkurangan berbanding sebelum berlakunya inflasi.
Inflasi akan mengurangkan kuasa beli pengguna. RM1 pada hari ini tidak dapat membeli barang yang sama seperti semalam.
Walau bagaimanapun, inflasi tidak bermaksud semua barangan akan mengalami kenaikan harga. Terdapat juga penurunan harga pada beberapa jenis barangan, malah ada juga harga barangan semasa menjadi lebih murah berbanding tahun sebelumnya.
Bagaimana inflasi diukur?
Terdapat beberapa indeks harga yang digunakan bagi mengukur kadar inflasi sesebuah negara (1) Indeks Harga Pengguna (IHP), (2) Indeks Keseluruhan Harga, dan (3) Indeks Harga Pengeluar (IHPR). Setiap indeks mempunyai formula pengiraan yang berbeza.
Ukuran utama yang digunakan untuk mengukur kadar inflasi adalah dengan menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP) atau Consumer Price Index (CPI).
Secara mudah, IHP mengukur perubahan pada harga barangan yang kebiasaannya dibeli oleh penduduk sesebuah negara.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, berikut adalah senarai jenis barangan yang dijadikan sebagai sandaran untuk mengukur kadar inflasi:
(1) Makanan dan Minuman Bukan Beralkohol
(2) Minuman Beralkohol dan Tembakau
(3) Pakaian dan Kasut
(4) Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain
(5) Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah
(6) Kesihatan
(7) Pengangkutan
(8) Komunikasi
(9) Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan
(10) Pendidikan
(11) Restoran dan Hotel
(12) Pelbagai Barang dan Perkhidmatan
IHP mestilah diukur terlebih dahulu sebelum mengira kadar inflasi bagi tempoh yang tertentu.
Contohnya:
*Pengiraan IHP pada tahun 2019 dengan menggunakan tahun 2011 sebagai tahun asas
Secara kesimpulan, terdapat kenaikan pada harga barangan yang tersenarai sebanyak 33.05% pada tahun 2019 jika dibandingkan dengan tahun 2011.
Inflation rate atau kadar inflasi adalah peratusan perubahan pada harga barang dari satu tahun kepada tahun yang seterusnya. Melalui kadar inflasi, kita dapat mengenal pasti sebanyak manakah kenaikan dan penurunan harga barangan pada setiap tahun.
Kesan kepada pengguna
Seperti yang kita tahu, inflasi akan memberi impak kepada pengguna kerana kuasa beli pengguna akan berkurangan. Namun, jika pendapatan pengguna juga meningkat, impak yang dirasai akan berkurangan, malah mungkin tidak akan memberi kesan.
Secara mudahnya, jika kadar inflasi meningkat kepada 6% dan pendapatan pengguna meningkat kepada 6%, maka kesan inflasi tidak akan dirasai oleh pengguna. Walau bagaimanapun, tidak semua pengguna akan dinaikkan pendapatan ketika inflasi berlaku. Antara pengguna yang akan terkesan adalah:
1. Penerima pendapatan tetap
Pengguna yang menerima pendapatan yang tetap, pendapatan mereka tidak dinaikkan, akan merasai impak inflasi.
Kuasa beli mereka akan berkurangan sejajar dengan kadar inflasi yang berlaku. Semakin tinggi kadar inflasi, semakin rendah kuasa beli mereka.
2. Penyimpan
Walaupun penyimpan wang mendapat faedah di atas simpanan mereka, namun jika kadar inflasi melebihi kadar faedah yang diterima, kuasa beli mereka juga akan berkurangan.
3. Pemiutang
Kesan yang dirasai oleh pemiutang sama dengan kesan yang dirasai oleh penyimpan.
Jika jumlah wang yang dipinjam dikenakan dengan kadar faedah yang tinggi kepada penghutang, maka pemiutang akan dapat menanggung inflasi yang berlakul.
Namun, jika kadar faedah yang dikenakan rendah berbanding kadar inflasi, pemiutang akan mengalami kerugian.
Ada juga beberapa pengguna yang tidak akan terkesan dengan inflasi yang berlaku, antaranya Penerima Pendapatan Fleksibel dan Penghutang.
Seperti yang dibincangkan sebelumnya, Penerima Pendapatan Fleksibel tidak akan terkesan dengan inflasi jika kadar peningkatan dalam pendapatan mereka setaraf dengan kadar inflasi.
Penghutang pula, mereka akan membayar kembali hutang mereka dengan harga yang lebih murah kerana inflasi telah menjatuhkan nilai wang tersebut.
Inflasi dan Kadar Faedah
Inflasi dan kadar faedah saling berkait antara satu sama lain. Kadar faedah akan memberi impak pada perkembangan ekonomi dan seterusnya akan memberi kesan pada kadar inflasi. Kadar faedah yang rendah akan meningkatkan kuasa beli penghutang kerana mereka hanya perlu membayar kadar faedah yang rendah untuk setiap pinjaman mereka.
Keadaan ini akan menggalakkan mereka untuk berhutang sekali gus meningkatkan perbelanjaan mereka. Peningkatan dalam perbelanjaan akan mengembangkan ekonomi dan akan meningkatkan kadar inflasi. Ketika ekonomi sedang berkembang, permintaan (demand) pada sesuatu barangan akan melebihi bekalan (supply) yang ada, keadaan ini akan menaikkan harga barang tersebut., kadar inflasi meningkat.
Keadaan yang sebaliknya akan berlaku jika kadar faedah yang dikenakan tinggi. Kadar faedah yang tinggi akan memberi impak yang kurang baik pada perkembangan ekonomi. Permintaan (demand) pada sesuatu barangan akan berkurangan, seterusnya harga barangan tersebut akan jatuh.
Ahmad Muslihuddin
Kolumnis Fokus