Anak Melayu Sarawak golongan paling terkesan dengan pemisahan Sarawak dari Malaysia

Perkembangan pendidikan masyarakat Melayu Sarawak telah berlaku sejak negeri itu berada di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei yang mana proses pendidikan berlaku secara tidak formal dengan kewujudan sistem pendidikan tradisional.

Namun, sepanjang penjajahan keluarga Brooke ke atas Sarawak sehinggalah ketika pentadbiran British menyaksikan nasib anak Melayu Sarawak dalam bidang pendidikan semakin terancam.

Dakyah Kristianisasi melalui penubuhan sekolah

Sasaran awal bagi gerakan ini adalah orang-orang Melayu di Sarawak. Francis Mcdougall yang dibawa oleh James Brooke merupakan orang pertama yang membuka sekolah formal bagi anak-anak Melayu sebagai cara untuk memudahkan dakyah Kristianisasi terhadap anak-anak Melayu.

Beliau telah membina sekolah-sekolah, gereja-gereja dan dispensari bagi menyebarkan agama Kristian dalam kalangan masyarakat Sarawak.

Bagi tujuan untuk menggencarkan lagi penyebaran agama Kristian dalam kalangan masyarakat Melayu di Sarawak, Mcdougall telah menjemput Melayu Kristian dari Singapura untuk berdakyah kepada orang Melayu.

Namun begitu, usahanya gagal apabila pemimpin Melayu dan masyarakat Melayu menentang tindakan tersebut. Setelah gagal dengan usaha tersebut, Mcdougall meneruskan usaha dakyahnya dengan membuka sekolah untuk anak-anak Melayu serta menyebarkan buku panduan agama Kristian dalam bahasa Melayu kepada masyarakat.

Namun setelah usaha kristianisasi terhadap orang Melayu menemui kegagalan, Mcdougall seterusnya mengalih sasaran kepada masyarakat pribumi dan Cina di Sarawak.

Usaha penyebaran agama Kristian oleh beliau dalam kalangan masyarakat tersebut membuahkan hasil.

Anak Melayu Sarawak terus tercicir semasa penjajahan British

Setelah Sarawak berada di bawah jajahan British pada tahun 1946 sehingga 1963, penjajah berhasrat untuk menjadikan pendidikan sebagai alat untuk menyatukan penduduk yang berbilang bangsa dan merapatkan jurang pendidikan antara mereka.

Strategi kerajaan British adalah dengan memperkenalkan kaedah “Bantu diri” yang meletakkan pihak Lembaga Tempatan telah diberikan tanggungjawab untuk menguruskan sekolah di kawasan masing-masing walaupun terpaksa menghadapi pelbagai kesusahan dan kekurangan.

Hanya Lembaga Tempatan yang ditadbir oleh komuniti-komuniti tertentu sahaja yang mampu meneruskan persekolahan kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.

Kesannya, walaupun sambutan kaum Melayu terhadap penubuhan sekolah rakyat pada waktu itu bertambah namun masih terdapat perbezaan jumlah pelajar yang ketara berbanding jumlah pelajar Cina yang lebih ramai dan maju.

Pertambahan pelajar Cina dalam bidang pendidikan adalah kerana adanya bantuan dari tanah besar China untuk mengendalikan sekolah-sekolah dan bantuan guru-guru untuk mengajar. Mereka juga menerima bantuan  silibus dan buku teks.

Perkembangan pendidikan selepas penubuhan Persekutuan Malaysia

Setelah tertubuhnya Malaysia pada tahun 1963, sistem pendidikan di Sarawak telah melalui proses pengubahsuaian ke arah Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Pada tahun 1966, sistem sekolah percuma telah diperkenalkan di peringkat sekolah rendah dan hasilnya, berlaku pertambahan kemasukan pelajar ke sekolah rendah.

Bahasa Melayu telah  diangkat sebagai bahasa pengantar di semua Sekolah Rendah Kebangsaan sebagai satu usaha memupuk semangat kesatuan antara pelbagai kaum khususnya di Sarawak dan di Malaysia amnya. Selain itu, penyertaan masyarakat pelbagai kaum dalam bidang pendidikan semakin bertambah sejak Sarawak merdeka.

Pemanjangan Akta Pendidikan 1961 ke Sarawak pada tahun 1976 membolehkan kelebihan kepada murid-murid Melayu untuk belajar pelajaran agama Islam.

Seksyen 36(i) Akta Pendidikan 1961 menetapkan bahawa mana-mana sekolah yang mempunyai 15 orang atau lebih murid Islam, maka murid-murid ini mesti diajar pelajaran agama oleh seorang guru Islam.

Kepentingan pendidikan di peringkat tinggi turut ditekankan setelah kemasukan Sarawak ke dalam Malaysia. Beberapa cawangan Pusat Pengajian Tinggi telah dibuka antaranya ialah Kampus Cawangan Institut Teknologi MARA pada tahun 1973 dan Universiti Pertanian Malaysia pada tahun berikutnya.

Setelah itu, beberapa buah lagi IPT dibuka termasuklah UNIMAS pada tahun 1992 yang menyaksikan peningkatan dalam pendidikan anak Melayu Sarawak.

Kesimpulan

Kedatangan Brooke dan British ke Sarawak ternyata memberi kesan kepada pendidikan anak Melayu Sarawak. Bukan sahaja mereka terpaksa bersaing dengan bangsa lain yang mendapat kemudahan yang lebih baik, malah identiti mereka sebagai Muslim turut terkesan dengan gerakan kristianisasi yang dilakukan. Namun, setelah tertubuhnya Persekutuan Malaysia yang memberikan kemerdekaan kepada Sarawak, pendidikan yang lebih menjamin Bahasa Melayu dan agama Islam dapat dimanfaatkan oleh anak Melayu Sarawak.

Oleh:
Nor Atikah Mohamad & Norlia Salleh
Penganalisis IKB (Insitut Kajian Borneo)

Disunting oleh:
Hanis Noor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kesantunan Bendul Pintu Rumah Melayu dan Salah faham terhadap ‘langkah bendul’

Next Post

Alibaba beli syarikat teknologi visual Israel bangunkan projek Machine Vision Laboratory

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content