Lawatan pertama kali ketua Parti Komunis Vietnam ke Amerika Syarikat (AS) antara 6 ke 10 Julai 2015 membawa makna tertentu. Presiden Barack Obama telah bertemu dengan Ketua Setiausaha Nguyen Phu Trong di Rumah Putih pada 7 Julai dan kedua-dua pemimpin tersebut bakal mengambil langkah yang cukup penting dalam mengubah rentak politik tiga segi AS-China-Vietnam dan politik dalaman Vietnam.
Pertemuan itu dijangka membuahkan satu ‘kenyataan visi bersama’ yang akan menaiktaraf “comprehensive partnership” Washington-Hanoi kepada “extensive comprehensive partnership.” Hubungan strategik antara dua pihak ini sudah bertahun ingin dicapai, yang mana lawatan Trong melalui hubungan diplomatik itu akan meningkatkan lagi hubungan AS-Vietnam ke satu tahap yang baru, dan bukan lagi angan-angan kosong.
Makna di sebalik lawatan Trong
Lawatan Trong kali ini membawa makna yang cukup mendalam dan merupakan agenda yang signifikan bagi kedua-dua belah pihak. Bagi AS, hubungan dua hala yang kuat dan akrab ini memberikan keuntungan strategik dalam memberi tekanan dan provokasi kepada China.
Bagi Vietnam pula, lawatan itu akan meningkatkan legitimasi rejim komunis, dan dalam masa yang sama, persahabatan dengan Amerika itu turut mempunyai kesan strategik dan politik. Hal ini akan memberi impak kepada keseimbangan kuasa antara golongan elit di negara itu yang memihak kepada pihak reformis dengan mengorbankan pihak konservatif, dan akan membuatkan China bertambah marah.
Lawatan Trong membawa makna bahawa pihak reformis berada di fasa kebangkitan manakala pengaruh pihak konservatif semakin merosot. Ia juga bermakna bahawa Hanoi telah mencapai had penglibatannya dengan Beijing dan kini cuba untuk mendekati Washington untuk kepentingan tertentu.
Tetapi perubahan yang berlaku dari sudut pandang strategik dan politik dalaman negara cukup besar. Bagi memastikan lawatan Trong berjaya, mutual trust atau kepercayaan bersama antara Hanoi dan Washington perlu berada dalam tahap tertinggi bagi mengurangkan kebimbangan risiko yang berkaitan dengan apa-apa usaha baru – Trong dikenali agak berisiko.
Titik perubahan ini mencerminkan pendekatan berhati-hati dalam perhubungan antara Hanoi-Washington dan juga hubungan Hanoi-Beijing. Cerita ini bermula pada Julai 2012, apabila ketika itu Setiausaha Negara Hillary Clinton bertemu dengan Ketua Setiausaha Trong di Hanoi dan Trong dijemput untuk membuat lawatan ke AS.
Pertemuan Clinton ini memberi simbol dan petanda bahawa Washington ‘menerima perbezaan’ ideologi dengan rejim Vietnam dan menganggap pemerintah Parti Komunis Vietnam sebagai rakan kongsi, dan para pemerintah di Hanoi merestui perhubungan ini. Maksud di sebalik jemputan Clinton adalah penting bagi Hanoi.
Amerika Syarikat kini komited untuk menjalin ikatan persahabatan yang serius dengan Vietnam walaupun memiliki ideologi yang berbeza. Dari segi praktikal, mesyuarat itu membuka pintu kepada penglibatan substantif antara kerajaan AS dan Parti Komunis Vietnam. Pada tahun berikutnya, Presiden Truong Tan Sang datang ke Washington untuk melancarkan ikatan persefahaman atau comprehensive partnership AS-Vietnam dengan Presiden Barack Obama.
Hubungan China-Vietnam bertambah keruh
Pada musim panas tahun 2014, China telah meletakkan pelantar minyak gergasi di perairan Vietnam yang merupakan zon ekonomi eksklusif atau EEZ yang telah menjadi ujian litmus atau game changer. Hal ini mendorong Vietnam untuk melihat China sebagai ancaman keselamatan dan AS sebagai kawan baik. Ditambah dengan tindakan AS yang lantang menyuarakan bantahan terhadap tindakan China itu dan menyatakan sokongan kuat kepada Vietnam. Selepas insiden itu, beberapa ahli Dewan Negara Vietnam mengeluarkan kenyataan bahawa China adalah penceroboh dan musuh, melanggar larangan sejak sekian lama lebih daripada dua dekad sejak renormalization hubungan Sino-Vietnam pada tahun 1991.
Insiden pelantar minyak itu mempercepatkan lagi lawatan Trong ke AS dan membawa satu misi baru. Vietnam mengambil keputusan untuk menghantar ketua Parti Komunis Hanoi City, Pham Quang Nghi yang merupakan ahli Politburo dan orang kepercayaan Setiausaha Agung, ke AS. Pada tahun 2013, Nghi dilaporkan dicalonkan oleh Trong untuk menggantikan tempatnya pada Kongres Parti seterusnya. Seperti Trong, Nghi seperti ketua parti tanpa kedudukan mana-mana kerajaan secara rasmi. Nghi sebenarnya melakukan lawatan dengan tujuan mendesak China menarik balik pelantar minyak keluar dari perairan mereka.
Walaupun China dan Vietnam telah cuba untuk memperbaiki hubungan yang telah rosak, keadaan tersebut masih keruh sehingga sekarang. Semasa lawatan April antara Trong dan Presiden China, Xi Jinping telah bersetuju bahawa tingkah laku kedua-dua negara di Laut China Selatan secara ketara telah melemahkan kepercayaan strategik mereka dan kedua-dua negara perlu bertindak sepertimana yang dibincangkan bagi memperbaiki hubungan dua hala Sino-Vietnam.
Vietnam beralih arah
Berikutan keadaan tersebut, persepsi Vietnam sebagai kawan dan lawan telah berubah secara langsung. Vietnam dan AS kini mempercayai antara satu sama lain lebih jauh daripada sebelumnya. Menurut Ketua Diplomat Pertahanan Vietnam, Jeneral Nguyen Chi Vinh, AS dan Vietnam tidak lagi melihat sisi lain sebagai musuh dan komited untuk menghormati kepentingan strategik masing-masing. Beliau juga percaya bahawa AS tidak akan mengancam keselamatan Vietnam dengan perang atau pencerobohan. Hal ini merupakan suatu perubahan besar dalam persepsi ketenteraan Vietnam terhadap ancaman keselamatan dan juga Amerika Syarikat.
Pada bulan Disember 2012, Menteri Pertahanan Phung Quang Thanh dan Ketua Komisar Politik Tentera, Ngo Xuan Lich tetap memberi amaran tentang niat Amerika, mereka mendakwa bahawa “apabila peluang muncul, mereka akan bersedia untuk melancarkan pencerobohan dan perang ke atas Vietnam dengan menggunakan senjata berteknologi tinggi milik mereka.”
Titik perubahan hubungan Washington-Hanoi
Beberapa tahun kebelakangan ini telah menyaksikan perubahan secara beransur-ansur tetapi besar dalam hubungan AS-Vietnam. Lawatan Trong ke AS menekankan sejauh mana perubahan itu berlangsung pada masa akan datang. Trong akan melakukan lawatan dengan dua ahli Politburo, iaitu ketua Parti Komunis Ho Chi Minh City, Le Thanh Hai dan Naib Pengerusi Dewan Negara Tong Thi Phong. Jumlah ahli yang menyertai lawatan ini menggambarkan sejauh mana perhubungan antara AS-Vietnam. Jika dilihat lawatan Trong sebelum ini ke negara-negara sekutu seperti Laos, Cuba, dan Rusia, beliau hanya membawa seorang ahli Politburo dalam rombongan lawatan rasmi.
Walaupun krisis pelantar minyak HD-981 adalah satu game changer dalam hubungan China-Vietnam, keadaan itu bertambah keruh apabila China secara konsisten dan agresif menceroboh perairan mereka di Laut China Selatan dengan pembinaan pulau-pulau buatan. Faktor ini mendesak Vietnam untuk mengubah polisi luar mereka pada masa akan datang.
China tidak berdiam diri
Pastinya, Beijing menginginkan primacy di Asia. Oleh sebab China terlalu lemah untuk berhadapan secara terus dengan Washington, maka China menggunakan cara lain dengan mencabar status quo melalui provokasi ‘tahap rendah’ ke atas negara-negara jiran. Dengan cara ini, Beijing secara tak langsung telah menunjukkan kuasa ketenteraan mereka dan membuatkan Washington tidak senang duduk sekaligus mengehadkan pilihan AS dalam bertindak. Tetapi jika Beijing bertindak terlalu keras, keadaan berisiko untuk memihak kepada Washington dan mewujudkan keseimbangan blok.
Sehubungan dengan itu, China telah memberi maklum balas kepada perubahan ini. Dalam pendekatan yang baru, unsur-unsur kerjasama lebih diketengahkan manakala unsur-unsur paksaan dilakukan dengan lebih halus. Pada bulan April, Beijing memberi Trong sambutan mewah yang melampaui sambutan ketika beliau membuat lawatan ke Amerika Syarikat. Beijing menawarkan pakej besar merangkumi projek-projek yang akan ‘mengukuhkan’ lagi kebergantungan ekonomi Vietnam di China.
Pada bulan Mei, China mengadakan mesyuarat yang belum pernah berlaku antara kedua-dua menteri pertahanan di sempadan negara. Pada masa yang sama, Beijing terus meningkatkan penguasaan di Laut China Selatan dengan mempercepatkan projek mereka di Kepulauan Spratly. Kira-kira seminggu sebelum perjalanan Trong ke AS, China juga telah menggerakkan pelantar minyak yang sama ke kawasan sensitif berhampiran pantai Vietnam yang mencetuskan krisis 2014, mungkin untuk mengingatkan Vietnam tentang kuasa dan pengaruh mereka di rantau itu.
Kesan kepada politik dalaman Vietnam
Hubungan baru antara Hanoi dan Washington secara tidak langsung akan mengubah suasana politik di Vietnam. Keadaan ini akan meluaskan lagi kebebasan kepada golongan modernizer sama ada di dalam atau luar golongan elit pemerintah. Golongan anti-Barat, yang menguasai politik Vietnam sehingga tahun 2006, kini akan kian merosot. Kesan daripada perkembangan baru dari pihak ketiga golongan elit dalam politik Vietnam, rent-seekers1, akan bercampur-campur. Dari sudut lain, Amerika Syarikat akan memberi tekanan kepada Hanoi untuk meliberalisasikan lagi ekonomi dan masyarakat Vietnam. Keadaan ini akan menjadikan kehidupan rent-seekers lebih sukar dari sebelumnya. Namun dari sudut lain, bantuan dan aliran modal akan meningkat dari Jepun, Korea Selatan dan AS yang akan melonggarkan sekatan keselamatan ke atas ekonomi Vietnam, membuatkan hidup lebih mudah bagi rent-seekers, yang merupakan kumpulan terbesar dalam golongan elit pemerintah.
Cita-cita Beijing untuk menjadikan Laut China Selatan bertukar menjadi milik mereka sepenuhnya kini kelihatan hampir tidak mustahil. Apabila musuh-musuh ketat, seperti Vietnam dan Amerika Syarikat kini bersedia untuk menjadi sekutu strategik secara tak rasmi. Hal ini seterusnya mewujudkan dinamik yang baru dalam hubungan segi tiga AS-China-Vietnam, dan akan memberi kesan yang mendalam kepada masa depan Vietnam.
1 Suatu pihak sama ada syarikat, organisasi atau individu menggunakan sumber tertentu bagi kepentingan mereka sahaja, tanpa melibatkan atau memberi pulangan semula kepada masyarakat atau negara. Maka, tidak wujud pulangan yang ‘baru’ dan menghancurkan efisiensi ekonomi dan penguasaan kerajaan dalam negara.
Farris Hanafi