Analisa Perkembangan Rundingan TPPA

1) Sehingga kini, ketelusan rundingan TPPA masih belum pada tahap yang memuaskan. Rundingan yang dilakukan secara tertutup semakin menimbulkan keraguan kepada rakyat Malaysia khususnya dan seluruh warga yang terlibat secara amnya. Hanya dokumen-dokumen yang didedahkan hasil daripada godaman Wikileaks yang mampu dijadikan rujukan perbincangan mengenai TPPA.

2) Pada 25 Mac 2015, Wikileaks mendedahkan dokumen terbaru bertajuk “Investment Chapter” yang mendedahkan kuasa yang diberikan oleh TPPA kepada syarikat-syarikat luar untuk menyaman negara-negara yang terlibat sekiranya berlaku sebarang pertembungan kepentingan (“conflict of interest”) antara keuntungan syarikat dan limitasi perundangan sesebuah negara.

3) Secara teorinya, sesebuah syarikat boleh menyaman kerajaan Malaysia sekiranya sebarang polisi kerajaan telah/mungkin menyebabkan syarikat mereka mengalami kerugian. Secara teori juga, Malaysia boleh disaman sekiranya halangan untuk mempromosikan Oktoberfest di khalayak ramai telah/mungkin menyebabkan kerugian bagi sesebuah syarikat luar.

4) Lebih merisaukan lagi, dokumen ini mendedahkan hak yang diberikan kepada syarikat luar untuk mengadakan perbicaraan melalui mahkamah swasta (ISDS). Ini bermakna, syarikat luar mendapat hak istimewa untuk dibicarakan di luar undang-undang tempatan. Konflik yang besar akan timbul antara undang-undang tempatan Malaysia dan kepentingan syarikat luar untuk mengaut keuntungan.

5) Australia adalah satu-satunya negara yang menolak dokumen ini. Negara tersebut telah lama menolak sistem mahkamah ISDS yang membezakan perbicaraan syarikat dalam dan luar negara.

6) Sebuah ‘case study’ ISDS ialah pada 1 Disember 2011, di mana Phillip Morris Asia, sebuah syarikat tembakau menyaman Australia atas tuduhan bahawa akta pembungkusan tembakau (Tobacco Plain Packaging Act 2011) bersifat diskriminatif dan tidak munasabah. Australia mempertahankan kesnya dengan menyatakan bahawa akta tersebut adalah selari dengan perlembagaannya.

7) Dengan mudah dapat dilihat, bahawa terlalu banyak implikasi dokumen ini terhadap keluhuran struktur perundangan Malaysia yang berteraskan Islam sebagai agama persekutuan. Limitasi kebebasan untuk menjual arak dan makanan haram secara terbuka mungkin bakal menjadi satu isu besar yang boleh dibawa ke mahkamah ISDS sekiranya TPPA dipersetujui bersama terma dokumen ini.

8) Kerajaan perlu telus dalam rundingan perjanjian luar seperti TPPA dan bertindak bijak dalam mempersetujui sebarang terma yang boleh mengakibatkan konflik yang besar antara struktur kenegaraan Malaysia yang unik dan undang-undang antarabangsa yang bertentangan dengan struktur kenegaraan Malaysia.

Yusri Jamaluddin
Penganalisis IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Budaya Meludah – Analisa Polisi Sosial di Singapura

Next Post

Analisa Ringkas Tentang Krisis Saudi-Yaman

Related Posts
Skip to content