Bajet Madani: Kerajaan abaikan pengupayaan sumber mineral strategik

Dalam Bajet Madani, kerajaan berhasrat untuk meraih pelaburan berimpak tinggi selaras Aspirasi Pelaburan Nasional. Menurut Kementerian Kewangan, pelaburan berkualiti tinggi merujuk kepada aktiviti pelaburan yang “dapat menyumbang dalam mewujudkan pekerjaan bermutu dan bernilai tambah tinggi; meningkatkan asas kemahiran bagi negara tuan rumah; memudah cara pemindahan teknologi, pengetahuan dan kepakaran; serta memperkukuh daya saing syarikat tempatan dan membolehkan akses syarikat kepada pasaran di samping mengamalkan tanggungjawab sosial dan alam sekitar”.

Sektor Elektrikal & Elektronik (E&E) merupakan salah satu sektor keutamaan yang telah dikenal pasti bagi menarik pelaburan berimpak tinggi. Bagaimanapun, inisiatif bajet melibatkan galakan cukai kepada syarikat perkilangan yang memindahkan operasi ke Malaysia menunjukkan bahawa kerajaan memberi perhatian kepada operasi perkilangan yang tidak bernilai tinggi dan mengekalkan sektor E&E Malaysia pada kedudukan rantaian nilai yang rendah.

Pemain industri telah menyuarakan pandangan bahawa kerajaan patut berusaha membina ekosistem sektor E&E tempatan yang merangkumi rantaian nilai tinggi dan menjana peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Pendekatan kerajaan menggunakan galakan cukai bagi menarik pelaburan asing dalam sektor E&E Malaysia mungkin kurang berkesan kerana cabaran terbesar yang dihadapi oleh pemain industri E&E global adalah isu gangguan rantaian bekalan yang lebih meruncing berbanding isu kos operasi.

Sekiranya Malaysia boleh menawarkan kestabilan bekalan input pengeluaran utama bagi industri E&E iaitu logam nadir bumi, pemain-pemain industri dari sektor E&E, kereta elektrik, tenaga hijau bahkan sektor pertahanan dari seluruh dunia akan tertarik untuk melabur di Malaysia kerana nadir bumi merupakan sumber penting bagi kesemua sektor ini.

Sumber: The Edge Markets

Kajian yang telah dilakukan oleh Akademi Sains Malaysia menunjukkan bahawa Malaysia memiliki kekayaan sumber mineral nadir bumi dan mempunyai keupayaan untuk membangunkan keseluruhan rantaian bekalan nadir bumi tempatan. Malaysia mampu mencabar dominasi China dalam pengeluaran nadir bumi dunia dan lanskap persaingan kuasa dunia boleh berubah.

Kewujudan Lynas, syarikat pemprosesan dan pengeluaran nadir bumi  Australia yang dioperasikan oleh tenaga kerja anak tempatan dan Pusat Kajian Nadir Bumi di Universiti Malaysia Pahang membuktikan Malaysia boleh membangun, mengurus dan memperkasakan industri nadir bumi yang amat strategik.

Kenyataan Perdana Menteri semasa pembentangan bajet untuk memudah cara pelaburan asing berimpak tinggi di Malaysia dilihat bertentangan dengan tindakan kerajaan PH pada tahun 2020 yang menukar syarat lesen operasi Lynas, pengeluar terbesar nadir bumi di luar China. Keputusan kerajaan tersebut diambil kerana risiko keselamatan dan alam sekitar berikutan aktiviti memproses nadir bumi radioaktif tetapi tiada bukti yang menyokong dakwaan ini sejak Lynas beroperasi di Malaysia pada tahun 2012.

Pakar ekonomi telah memberi amaran bahawa tindakan kerajaan tersebut boleh mengurangkan keyakinan pelabur asing dengan pendirian kerajaan yang tidak tetap. Kerajaan perlu mengemukakan alasan yang kukuh untuk menukar syarat lesen Lynas. 

Ketika negara-negara lain telah menyedari kepentingan strategik industri nadir bumi dan berlumba-lumba untuk menjamin bekalan nadir bumi, Malaysia semakin mundur ke belakang. Malaysia perlu bijak, berpandangan jauh dan berani membuat keputusan bagi mendapat manfaat keselamatan dan geopolitik, bukan sekadar pulangan ekonomi semata-mata.

Dr. Adilah Zafirah
Penyelidik IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Laporan Perkembangan Strategik IRIS (jan-Jun 2022)

Next Post

Cadangan Anwar Ibrahim Menyusahkan Lagi Rakyat

Related Posts
Skip to content