CMD C5+1, Serangan Crocus City Hall dan Geopolitik Asia Tengah-AS-China-Rusia

Critical Mineral Dialogue C5+1 (CMD C5+1) merupakan sebahagian strategi geopolitik Amerika Syarikat (AS)

September lalu Biden telah mengumumkan perancangannya untuk mengadakan kerjasama geopolitik yang lebih erat dengan lima negara Asia Tengah; Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan. Pengumuman beliau itu berlaku semasa Persidangan Agung PBB yang berlangsung di New York tempoh hari.

CMD C5+1 merupakan sebahagian strategi AS bagi menyaingi hegemoni China ke atas rantaian bekalan mineral kritikal. Antara mineral kritikal yang menjadi tumpuan adalah nikel, kobalt, paladium dan unsur nadir bumi (REE) yang signifikan bagi industri berteknologi tinggi dan industri pertahanan.

Bahkan, penguasaan dalam sumber berharga ini menjadi strategi penting kepada keselamatan ekonomi dan pertahanan negara-negara kuasa besar. Disebabkan dengan itu, pemimpin-pemimpin negara Asia Tengah sendiri telah melahirkan hasrat mereka dan mengambil peluang untuk menarik pelaburan AS ke rantau tersebut.

Perkembangan politik dalam negara Asia Tengah yang memacu kerjasama CMD C5+1

Antara pemimpin yang terkedepan dalam inisiatif ini adalah Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev yang sedang memimpin gerakan reformasi politik di negara tersebut.

Tokayev yang berjaya menamatkan tempoh pemerintahan autokratik, Presiden Nursultan Abishuly Nazarbayev yang bertahan selama hampir tiga dekad sejak tahun 1991 menggesa untuk usaha desentralisasi dan pengagihan kuasa antara kerajaan, kementerian dan ketua wilayah (akimats) dilakukan.

Selain itu, Tokayev juga merupakan tulang belakang dalam usaha demokrasi di Kazakhstan yang menyeru sistem pilihan raya campuran untuk diadakan, prosedur pendaftaran parti politik yang lebih mudah serta peningkatan dalam kedaulatan wilayah. Tokayev juga telah meluaskan bidang kuasa parlimen di negara itu, seterusnya mengehadkan bidang kuasa presiden.

Perkembangan diplomasi Rusia dan China, serta bagaimana ianya mempengaruhi keputusan negara Asia Tengah dalam CMD C5+1

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah mengesani perdagangan dan rantaian bekalan di Asia Tengah. Bahkan keputusan Putin untuk meneruskan tindakan provokasi memberi kesan secara langsung dan tidak langsung terhadap kekuatan ketenteraan, ekonomi dan geopolitik Rusia.

Yang mengejutkan warga dunia ketika ini apabila ketegangan Rusia dan negara Asia Tengah semakin meningkat dengan peristiwa serangan Crocus City Hall yang terjadi baru-baru ini dan telah mengorbankan 137 nyawa serta mencederakan 144 yang lain. Setakat ini seramai empat orang warganegara Tajikistan telah ditahan dan didakwa atas serangan tersebut.

Tajikistan yang merupakan salah satu anggota CMD C5+1 menyaksikan perkembangan kumpulan Salafi-Jihadi Asia Tengah. Antaranya Islamic State-Khorasan Province (ISKP), Katibat al-Tawhid wal Jihad (KTJ), Islamic Jihad Union (IJU) dan Katibat Imam al-Bukhari (KIB). Kumpulan-kumpulan ini telah menyeru penyokong mereka untuk melancarkan jihad suci menentang rejim kafir Putin. Malah, ideologi anti-Rusia yang berpengaruh di Asia Tengah turut dikaitkan dengan ideologi Islamic State, al-Qaida dan Hayat Tahrir al-Sham (HTS).

Selain peristiwa serangan Crocus City Hall, Rusia juga pernah mengalami peristiwa pengeboman berani mati di St. Petersburg pada tahun 2017 yang dilakukan oleh ahli KTJ dari Kyrgyzstan.

Manakala, Tajikistan juga menyaksikan salah satu parti politiknya, Parti Islam Turkestan (TIP) menumpukan propaganda anti-Cina dan jihad suci menentang Parti Komunis China (PKC).

Selain itu, walaupun telah mencecah sedekad China membuat pelaburan menerusi projek infrastruktur mereka di rantau itu, negara-negara Asia Tengah masih bergelut dengan hutang. Bahkan perindustrian di negara-negara tersebut tidak dibangunkan secara mandiri dengan penghasilan produk siap, dan perkara ini menimbulkan ketidakpuashatian dalam kalangan rakyat dan pemimpin di negara Asia Tengah.

Setakat ini China telah membelanjakan sejumlah $127 bilion USD dalam diplomasi kewangan mereka di rantau Asia Tengah dan Asia Selatan dalam tempoh 18 tahun. Diplomasi kewangan ini merangkumi bantuan geran, pinjaman konsesi, hutang (pinjaman bukan konsesi), pembiayaan infrastruktur, sokongan bajet, pelepasan hutang dan bantuan kemanusiaan.

Namun begitu, diplomasi kewangan China masih tidak dapat mengekang negara Asia Tengah untuk membawa masuk pelaburan AS bagi memacu pembangunan di wilayah tersebut.

Penutup

Naratif sejarah dan kedudukan geografi negara-negara C5 masih lagi relevan dalam mengekalkan hubungan ekonominya dengan Rusia dan China. Akan tetapi, hubungan ini tidak berjaya mengekang rantau itu untuk mengadakan hubungan diplomasi, ekonomi dan ketenteraan dengan AS.

Tambahan pula, dinamik hubungan dalam CMD C5+1 menjadi peluang yang wajar dimanfaatkan Biden untuk usaha penjajaran geostrategik di rantau itu, selain membantu kuasa besar tersebut untuk bebas daripada pergantungan bekalan mineral kritikal daripada China.

Walaupun terdiri daripada negara-negara kecil, Asia Tengah memiliki sebanyak 38.6% daripada jumlah rizab dunia untuk bijih mangan, 30.1% untuk kromium, 20% untuk plumbum, 12.6% untuk zink dan 8.7% untuk titanium. Kekayaan sumber alam ini menjadikan negara-negara C5 untuk kekal relevan dan semakin signifikan dalam pentas geopolitik dunia, khususnya dalam percaturan mineral strategik.

Apatah lagi, melihatkan kedudukan sempadan negara-negara itu yang berpotensi menjadi buffer zone kepada kuasa besar, Rusia dan China.

Hanis Noor
Penyelidik, Bahagian Kajian IRIS Institute 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Syarikat Bukan Bumiputera Terajui Industri Halal Di Malaysia, Kuasai 87 Peratus daripada Pengeluaran Bahan-Bahan Halal Dalam Negara

Next Post

Konsortium China Dijangka Mendapat Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura, Kukuhkan Perancangan Perluasan Projek PenChinaan dari China Ke Singapura

Related Posts
Skip to content