Hamas Tolak Jemputan Tony Blair ke London

mo_00_7_0

Pimpinan tinggi Hamas di Gaza mendedahkan bahawa parti pembangkang Palestin tersebut menolak pelawaan bekas Perdana Menteri UK, Tony Blair ke London.

Mahmoud Zahhar berkata demikian dalam sebuah temubual bersama Al-Aqsa TV yang dilaporkan oleh penerbitan Gaza, Alresalah.

Blair dilaporkan sedang berusaha menjadi orang tengah bagi proses rundingan gencatan senjata bagi jangka masa panjang antara Israel dan Hamas.

Zahhar juga menyebut bahawa Pihak Berkuasa Palestin di Ramallah yang dipimpin oleh Mahmoud Abbas menolak cadangan membina pelabuhan di Gaza, yang merupakan antara tuntutan penting Hamas untuk menghentikan sekatan Israel ke atas wilayah itu.

Pegawai tinggi Hamas mengulas bahawa halangan tersebut membantu Israel meneruskan kepungan dan menghalang pembangunan semula Gaza.

Walaubagaimanapun menurut Zahhar, tentangan ketenteraan Hamas telah memaksa parti antarabangsa untuk bercakap dengan ketua mereka.

Blair dilaporkan telah bertemu dengan pemimpin Hamas, Khaled Meshaal di ibu negara Qatar, Doha dua kali sejak bulan Jun.

Kenyataan umum Meshaal mencadangkan bahawa proses sedang dilakukan ke arah mencapai gencatan senjata selama beberapa tahun yang semestinya akan menamatkan kepungan Israel.

Kawalan ketat Israel ke atas sempadan Gaza terus kekal semenjak gencatan senjata berakhir dengan 51 hari serangan yang telah membunuh lebih daripada 2,200 rakyat Palestin dan mengakibatkan kemusnahan yang teruk ke atas Gaza.

Namun begitu, Zahhar meletakkan harapan yang tipis terhadap rundingan tersebut.

Beliau berkata bahawa gerakannya sedang berusaha menamatkan kepungan di Gaza, bukan semata-mata mengadakan laluan antara Gaza dan Israel serta Gaza dan Mesir.

Sebuah pelabuhan adalah sangat penting untuk mencapai matlamat tersebut, tegas beliau lagi.

 

Jemputan ke London

Azzam Tamimi, penulis dan penyiar di London yang merupakan kenalan rapat Meshaal, memberitahu kepada Alresalah bahawa Hamas memohon penangguhan lawatan tersebut sehingga  “ langkah ke arah gencatan senjata yang jelas terbentuk,” lapor Middle East Eye.

Tamimi juga menyebut bahawa Hamas “tidak mahu rundingan ini melewatkan lagi proses Oslo atau menjadi satu usaha menghidupkan semula persetujuan yang telah gagal.”

Cadangan Hamas terhadap gencatan senjata untuk jangka masa panjang dengan Israel sekurang-kurangnya sudah mencapai sedekad. Walaubagaimanapun, gerakan itu mahu mancapai satu persetujuan tanpa perlu menjejaskan hak rakyat Palestin mahupun mengiktiraf kewujudan Israel.

 

IRA Model

Blair, selalu dikaitkan sebagai penjenyah perang berikutan peranan beliau dalam pencerobohan Iraq oleh Amerika, merupakan individu yang tidak dipercayai dalam kalangan rakyat Palestin yang melihat beliau sebagai pro-Israel.

Perniagaan beliau yang melibatkan pemipin dan rejim serantau, ditambah pula dengan dana besar yang diterima oleh badan kebajikan beliau daripada penaja Israel, tidak membantu kredibiliti beliau.

Pada masa yang sama, dengan mengadakan perbincangan bersama Meshaal, Blair seolah-olah mengulangi pendekatan yang beliau gunakan dalam rundingan di Northern Island pada tahun 1990, di mana kerajaan beliau keluar daripada kebiasaan dengan menghubungi Sinn Feinn dan Irish Republican Army (IRA).

Sama ada perbincangan ini boleh mencapai sesuatu atau tidak, apa yang penting Hamas boleh menggunakannya untuk merealisasikan satu pencapaian sebenar tanpa jatuh ke dalam perangkap politik ciptaan Israel dan sekutunya.

 

 

Terjemahan oleh: Ainun Mardhiah Jamaluddin

Sumber: TheElectronicIntifada

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

“Kita semua pro-Israel” – Obama

Next Post

Tentera Israel Tewas di Tangan Wanita dan Kanak-Kanak Palestin

Related Posts
Skip to content