Dahsyat Sekali Tragedi Ghouta Timur

Apa sebenarnya yang sedang terjadi di Ghouta Timur, Syria saat ini? Siapa sebenarnya pemangsa dan siapa yang dimangsakan? Bagaimana kedamaian boleh dicapai dalam masa yang terdekat?

Sejak 18 Februari 2018 lalu, tentera Kerajaan Syria, iaitu Syrian Arab Army (SAA) bersama-sama bantuan Rusia telah melancarkan operasi yang dinamakan sebagai ‘Damascus Steel’. Serangan artileri dan udara besar-besaran ini dilaksanakan bagi merampas kembali wilayah Ghouta Timur yang berhampiran ibu negara Syria iaitu Damsyik. Wilayah ini telah dikuasai beberapa kumpulan Islamis – termasuklah kumpulan radikal seperti Jabhat Fatah al-Sham yang sebelum ini dikenali sebagai Jabhat al-Nusra sejak 2013.

Jabhat Fatah al-Sham ialah cawangan Al-Qaeda di Syria hinggalah ia berpecah pada tahun 2016. Matlamatnya adalah menggulingkan rejim Bashar al-Assad untuk digantikan dengan Negara Islam dan menegakkan undang-undang Syariah. Ia berkongsi ideologi Salafi Jihadis dengan Daesh, namun pendekatan mereka lebih lunak di mana berbeza dengan Daesh yang melaksanakan hukuman pancung secara besar-besaran, Jabhat Fatah al-Sham pula mengutamakan proses menukar pegangan tawanan mereka seperti daripada Syiah kepada pegangan Sunni.

Selain Jabhat Fatah al-Sham, Ghouta Timur dengan populasi kira-kira seramai 400,000 orang itu turut dikuasai oleh Jaysh al-Islam, Ahrar al-Sham, dan Failaq al-Rahman. Lokasi Ghouta Timur yang hampir dengan ibu negara Syria, Damsyik serta terkepung pula persekitarannya oleh perimeter yang dikawal oleh tentera kerajaan Syria telah membawa kepada siri serangan ke atas kedudukan strategik rejim Bashar al-Assad.

Keadaan menjadi begitu ngeri sekali apabila tentera kerajaan Syria dan Rusia menggempur habis-habisan untuk merampas kembali penguasaan ke atas Ghouta Timur. Operasi ‘Damascus Steel’ ini dilancarkan kerana menurut Brigadier Jeneral Syria Hetham Hassun, Amerika Syarikat (AS) sedang dalam proses bagi menjadikan Ghouta Timur sebagai kubu kuat kepada kumpulan pemberontak.

Modus operandi AS menyokong kumpulan pemberontak Salafi Jihadis di Ghouta Timur ini tidak asing lagi – sama sepertimana mereka memberi bantuan sokongan ketenteraan, informasi, dan keperluan kepada pemberontak di Aleppo dan Homs sebelum ini. Terkini, Pentagon telah mengerahkan seramai 600 anggota tentera ke pangkalan pakatan AS di At-Tanf, Syria bagi tujuan membantu pasukan pemberontak yang kini telah kehilangan lebih daripada 33 peratus wilayah Ghouta kepada kerajaan Syria.

Walau bagaimanapun, tentera AS sukar untuk campur tangan secara langsung di Ghouta Timur kerana keberadaan sistem pertahanan udara Rusia di kawasan berkenaan.

Resolusi 2401 Majlis Keselamatan PBB yang menyeru gencatan senjata selama 30 hari pada 24 Februari lalu juga telah gagal kerana tentera Syria melihat tindakan tersebut hanya menguntungkan pihak pemberontak yang bakal mengambil peluang tersebut untuk mengukuhkan kekuatan dan kedudukan mereka.

Semestinya, dalam keadaan perang sebegini, orang awam yang tidak bersalah menjadi korban. Tentera Syria didakwa menyerang orang awam – termasuklah menggunakan gas klorin – tanpa belas kasihan manakala puak pemberontak pula dituduh menyeksa penduduk awam di bawah penguasaan mereka di al-Fuah dan Kafriya.

Jelas, dalam kes ini kedua-dua pihak kerajaan Syria yang disokong Rusia dan pihak pemberontak yang disokong Amerika bersalah dalam menjadikan orang awam sebagai mangsa. Bagi pihak pemberontak taktiknya mudah; untuk mengelak kedudukan mereka daripada diserang oleh pihak lawan, maka mereka bersembunyi di kawasan padat penduduk awam – ‘taktik perisai manusia’. Bagi pihak rejim Bashar al-Assad pula, musuh perlu dihapuskan serta-merta untuk melindungi kedudukan strategik Damsyik – dan bedilan berterusan artileri serta serangan udara tidak dapat dielakkan daripada terkena orang awam.

Bagi menghentikan kemusnahan besar-besaran serta lebih banyak kematian orang awam, pilihan yang terbaik ialah pihak pemberontak berhenti melancarkan serangan ke atas tentera rejim dan berundur dari Ghouta Timur. Apatah lagi dalam keadaan peratusan kemenangan mereka terlalu tipis dengan kepungan tentera Syria di sekeliling perimeter Ghouta Timur yang dibantu Rusia, situasi yang lebih buruk akan dapat dicegah. Mereka tidak sepatutnya mengulangi tragedi yang sama di Homs dan Aleppo dahulu. Nyawa orang awam dan kestabilan adalah jauh lebih berharga daripada maruah.

Abdul Muein Abadi
Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
 
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

PenChinaan Malaysia: Tergadaikah Tanah Kedaulatan Bangsa?

Next Post

Lawatan Kapal Perang Tentera Laut British di Australia

Related Posts

Notice: wpdb::prepare was called incorrectly. The query does not contain the correct number of placeholders (6) for the number of arguments passed (4). Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 4.8.3.) in /home/rekasawa/fokus.my/wp-includes/functions.php on line 5313

How Big Data Revolutionizes Conventional Data Analytics

Recently, big data has become a popular jargon amongst corporations. More and more companies are showing interest in…
Read More