Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 22 Zulkaedah 1445H, Jumaat – Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Disiplin dan Strategi Antarabangsa (IRIS Institute), Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berpendapat, kuasa dunia perlu melihat Israel dengan perspektif yang sebetulnya, iaitu sebuah entiti pengganas.
Ini kerana, katanya, dengan apa yang berlaku ketika ini di Palestin, jelas Israel memenuhi begitu banyak kriteria, ciri-ciri atau segala indikator sebagai pengganas.
Berikutan itu, setiap negara sepatutnya mengambil tindakan keras dalam berurusan dengan Israel sebagai tanda penolakan kepada kezalimannya terhadap penduduk Palestin.
“Seperti yang kita lihat dalam sejarah juga, untuk berinteraksi atau untuk mengurus terrorist (pengganas) tidak cukup dengan perkara yang menggentarkan dan menguji kekebalan mereka. Ini hanya menjadi punca mereka kekal menyerang dan mengabaikan (perintah mahkamah antarabangsa).
“Mereka rasa mereka kebal, seolah-olah boleh buat apa sahaja. Kerana tidak pernah ada tindakan signifikan daripada institiusi antarabangsa atau kuasa-kuasa besar dunia, apatah lagi negara yang berada di sekeliling Palestin seperti negara Arab sendiri,” katanya dalam rancangan Pantau Agenda Reformasi: All Eyes on Rafah yang disiarkan di Astro Awani.
Mengulas lanjut, Syed Ahmad Israa’ berkata, tidak dinafikan terdapat pelbagai mekanisme lebih tegas dilakukan beberapa negara untuk mengekang Israel daripada melakukan pembantaian yang tidak berperikemanusiaan ini.
Bagaimanapun, tegasnya, sehingga kini masih belum ada tindakan yang cukup signifikan dan sesuai untuk mengendalikan pengganas seperti rejim haram Israel ini.
Beliau berkata, situasi tekanan yang diberikan terhadap pengganas Israel berbeza dengan reaksi kuasa dunia terhadap Perang Teluk, Perang Iraq dan sebagainya.
Ketika itu, katanya, boleh dikatakan bahawa manusia sangat didedahkan bahawa ia bahaya besar, namun kini kekejaman Israel terhadap Palestin tidak mendapat kutukan yang serupa.
“Kalau dulu kita lihat bagaimana dunia mengendalikan terrorism oleh ISIS misalnya, bagaimana dulu tekanan diberikan ke atas Taliban di Afghanistan.
“Lihat bagaimana kuasa besar dan institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) begitu cepat bertindak, menggunakan measurement atau mekanisme yang keras, sesuai.
“Mengapa dalam kes kita sekarang ni, Israel tidak pernah terancam. Tidak dikenakan sebarang mekanisme yang selayaknya untuk mengendalikan pengganas seperti Israel.
“Dan itu sebabnya (serangan kekal berlaku). Apa saja yang mereka lakukan, mereka boleh kekal melakukannya tanpa sebarang ancaman. Apa yang dilakukan kuasa besar ketika ini belum mencukupi,” katanya.
Sumber: Ismaweb, Astro Awani