Belum lagi Malaysia mampu menarik nafas lega daripada isu Covid-19, negara ini sedang diasak secara serentak dengan dua isu yang mampu menggugat ketenteraman awam – isu pelarian Rohingya yang menimbulkan pergolakan sosial dalam masyarakat serta isu Laut China Selatan.
Satu isu di Selat Melaka Malaysia yang memperlihatkan pelarian Rohingya cuba untuk masuk ke negara kita. Di Laut China Selatan pula berlaku pertembungan maritim dua blok kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan China. Walaupun Amerika Syarikat masih lagi bertarung dengan situasi pandemik yang agak kritikal di sana, AS masih lagi berusaha untuk mengekalkan imejnya dalam soal politik antarabangsa. Alasannya, ini semua atas semangat melindungi sekutunya.
Kedua-dua situasi ini bukan sahaja menggugat kedaulatan negara kita dan jiran yang lain malahan menampakkan lemahnya ASEAN untuk bertindak dalam perkara ini. ASEAN yang ditubuhkan pada tahun 1967 matlamat sebenarnya adalah untuk melindungi kedaulatan rantau Asia Tenggara. ASEAN sepatutnya mempunyai wadah yang tersendiri dalam memperjuangkan hak di rantaunya.
Namun, dapat dilihat kesepakatan antara negara anggota ASEAN dalam menyelesaikan sesuatu isu agak sukar untuk dicapai. Sebahagian daripada mereka dipengaruhi oleh dua kuasa besar dunia itu dalam dasar pemerintahan mereka. Jadi di manakah soal kedaulatan rantau itu? Tidak hairanlah jika isu Rohingya dan Laut China Selatan masih tidak mampu untuk diselesaikan.
Isu Pelarian Rohingya
Pembantaian daripada junta Myanmar telah menyebabkan mereka melarikan diri daripada Myanmar. Mereka merentasi Teluk Bengal sehingga ke Selat Melaka untuk mencari ihsan perlindungan. Dalam isu ini, terdapat 3 negara ‘hotspot’ yang menjadi destinasi mereka iaitu Thailand, Indonesia dan Malaysia. Dalam ketiga-tiga negara ini, Malaysia dan Indonesia sahaja yang memberikan perkhidmatan perlindungan yang terbaik kepada mereka.
Di Malaysia, mereka dibenarkan untuk bekerja dan mendapatkan tempat tinggal manakala pelarian Rohingya di Indonesia yang majoritinya menuju ke Acheh mendapat perhatian yang secukupnya daripada kerajaan dan NGO. Malahan kerajaan Indonesia memperuntukkan 7.5 bilion rupiah untuk membantu kelangsungan hidup Rohingya. Berbeza pula di Thailand yang mana mengikut laporan The Nation Thailand, mereka mendapat layanan yang kurang baik dalam soal kebajikan tidak seperti pelarian daripada Kemboja dan Laos yang mendapat keistimewaan untuk boleh bekerja.
Kita dapat lihat negara-negara anggota seperti Malaysia dan Indonesia masih mengambil tanggungjawab dalam soal kemanusiaan untuk melindungi mereka namun sampai bila keadaan ini ingin berterusan? Keadaan ini hanya menguntungkan Myanmar sahaja yang tidak perlu lagi memikirkan soal Rohingya di negara mereka. Memandangkan isu wabak Covid-19 melanda seluruh dunia, kita pasti berasa risau dengan tahap kesihatan pelarian ini yang ingin masuk ke negara kita. Itu tidak kira lagi dengan beban ekonomi negara kita yang ditanggung akibat wabak ini. Adakah kerajaan kita cukup untuk membantu NGO yang melindungi Rohingya dalam soal kewangan?
Krisis kemanusiaan di Myanmar sudah pasti merenggangkan hubungan Myanmar dengan blok Barat kerana ketidakpatuhan Myanmar dalam melindungi hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh Barat. Namun adakah itu akan menjejaskan Myanmar? Persoalan ini boleh dikatakan sebagai tidak relevan memandangkan adanya China yang memberikan manfaat ekonomi kepada mereka. China didapati ada melabur dalam projek mega mereka di wilayah konflik tempat asal Rohingya iaitu Rakhine.
Kedudukan Rakhine yang begitu strategik menghadap Lautan India melengkapkan misi One Belt One Road (OBOR) untuk berhubung dengan rantau Asia Selatan melalui inisiatif Koridor Ekonomi China-Myanmar. Memandangkan ada keterlibatan China di belakang Myanmar, usaha untuk mendesak Myanmar bertanggungjawab atas nasib Rohingya seakan sukar kerana China pasti akan menyebelahi Myanmar dalam apa cara sekalipun. Begitu padahnya apabila China mencengkam pendirian negara anggota ASEAN.
Isu Laut China Selatan
Ketibaan armada laut China di Laut China Selatan telah mengejutkan Amerika Syarikat yang berasa tidak boleh berdiam diri melihat tindakan China sedemikian. Ini menyebabkan AS melancarkan armadanya ke Asia Tenggara untuk meminimumkan penguasaan China di sana. AS dengan USS America (kapal pemusnah amfibia), USS Bunker Hill (kapal peluru berpandu) dan USS Barry (kapal pemusnah) turut dibantu Australia dengan menghantar kapal frigate HMAS Parramatta ke Laut China Selatan.
Tuntutan China terhadap Laut China Selatan dibuat atas faktor kekayaan ekonomi di sana dengan simpanan minyak dan gas yang banyak, kekayaan hasil laut dan laluan perdagangan utama dunia menyebabkan China menjadi begitu agresif. Dalam soal tuntutan ini, negara-negara anggota ASEAN seperti Malaysia, Indonesia, Singapore, Vietnam dan Brunei turut menuntut perairan Laut China Selatan mengikut garis sempadan mereka. Pertindihan tuntutan ini telah mendapat kesempatan untuk AS sebagai hero dalam melindungi sekutunya.
Pada tahun lepas, Malaysia pernah menyeru negara anggota ASEAN lain untuk menggubal Kod Tata Laku (COC) agar pertikaian Laut China Selatan dapat dibuat secara aman dan akan dibincangkan ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 di Bangkok. Ini dibuat kerana terdapat negara anggota yang cenderung untuk membincangkan isu ini secara bersendirian dan tiada kesepakatan antara negara anggota ASEAN.
ASEAN hanya mampu melihat negara anggotanya menjadi bidak catur kepada kuasa dunia. Dalam isu Laut China Selatan, Laos dan Kemboja mengambil sikap berkecuali kerana China merupakan penyumbang terbesar untuk pelaburan di negara mereka. Singapura pula sudah pasti akan menggunakan sekutu rapatnya iaitu AS untuk meredakan ketegangan di Laut China Selatan. Dasar Singapura yang pro-Amerika tidak dapat dinafikan sejak Singapura pertama kali ditubuhkan lagi.
Dapat dilihat kesepakatan antara ASEAN untuk menyelesaikan isu ini secara bersama tanpa pihak luar gagal untuk dibuat. Mereka sanggup ‘membuka pintu’ kepada negara kuasa besar untuk melindungi kepentingan masing-masing. Apakah relevan lagi Deklarasi ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom And Neutrality) dalam kalangan negara anggota ASEAN yang memperuntukkan Asia Tenggara bebas daripada sebarang campur tangan kuasa luar dan mengekalkan rantau ini kekal berkecuali?
Kesimpulan
Penulis melihat China telah pun berjaya melaksanakan dasar pecah dan perintah terhadap negara jirannya di rantau Asia Tenggara. Ini dapat dibuktikan di dalam buku Dividing ASEAN and Conquering the South China Sea: China’s Financial Power Projection yang mengatakan China menggunakan kuasa ekonominya untuk membeli sokongan daripada negara anggota ASEAN.
Projek OBOR itu hanyalah soft power daripada China untuk menguasai rantau Asia Tenggara secara total dan konflik ini sukar untuk mencapai titik penyelesaian dalam kerangka ASEAN kerana adanya conflict of interest dengan China. Sikap ASEAN yang tidak bertegas mengenai keterlibatan kuasa besar di rantau ini mungkin boleh dipersoalkan krediblitinya.
Ini juga menunjukkan penubuhan ASEAN mengikut fahaman idealisme amat lemah. Berbeza dengan fahaman realisme yang bertindak mengikut keadaan yang berlaku ,bukannya apa yang akan berlaku. ASEAN adalah contoh kelemahan kepada falsafah idealisme di rantau ini.
Rujukan:
1. The Nation Thailand
2. Dividing ASEAN and Conquering the South China Sea: China’s Financial Power Projection
*Imran Hakimi merupakan Kolumnis Fokus dan Pelajar Jurusan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia