Benarkah world order baru bakal terbentuk pasca Covid-19?

Saya kurang setuju dengan artikel-artikel yang berpendapat bahawa pasca epidemik covid-19 (kesannya seumpama perang dunia), dunia akan berpindah masuk ke dalam order yang baru.

Perkataan ‘world order’ memiliki pelbagai tafsiran namun secara umumnya, jika pun titik pengaruh dunia berpindah dari barat (US) ke timur (China), ini tidak bermakna sebuah order baru akan terbentuk.

Apa yang mungkin berubah hanyalah gaya dan kaedah order dunia dijaga dan diperkukuhkan. Secara budaya dan cara fikir memang pun ada beza antara barat dan timur. Namun dari sudut objektif dan agenda, kedua-duanya berkongsi lebih banyak daripada berbeza.

Oleh itu, ‘pertembungan’ antara kedua-dua kuasa besar ini bukan pertembungan order dunia, seperti yang dikatakan oleh sesetengah orang.

Apakah yang sebenarnya memiliki potensi sebenar dalam mengemukakan sebuah order dunia yang berbeza secara komprehensif (objektif, agenda, prinsip, kaedah, dll) dengan kedua-dua kuasa besar itu?

Menurut Davutoglu (1998), ia boleh diketahui melalui kesamaan musuh dan naratif terhadap musuh yang dikongsi oleh kedua-dua kuasa besar tersebut. Islam dan umat Islam adalah entiti yang memiliki potensi mencabar order dunia yang sedia ada dan yang akan diteruskan.

Mengapa Davutoglu berkata begitu? Menurut beliau:
“The basic reason for declaring the Muslim world as a threat is the geopolitical, geo-economic, and geo-strategic potentialities of the Muslim world and the need for ideological justification for strategic and tactical operations in order to have a control over these potentialities.”

Dalam situasi sedia ada, semua yang dinyatakan itu masih sekadar di tahap potensi. Realiti negara Islam dan umat Islam masih jauh daripada potensi yang terkandung dalam ideologi Islam itu sendiri.

Oleh itu, kedua-dua kuasa besar ini tidak akan melepaskan pandangan dan tumpuan mereka dalam mengekang potensi ini dan memastikan ideologi Islam dipandang negatif dan tidak relevan.

Oleh itu janganlah terkejut jika kita lihat hatta dalam situasi epidemik seperti sekarang (dan pasca epidemik selepas ini), umat Islam dan negara Islam akan terus dipotretkan sebagai ancaman dan masalah kepada dunia.

Itulah order dunia yang ada sebelum ini dan itulah juga order dunia yang akan dilihat jikapun US menguncup dan China mengembang. Maka boleh kita simpulkan bahawa jika dinilai ‘world order’ ialah sebagai satu pentadbiran tatacara hidup bagi dunia, tidak ada yang berubah kecuali kosmetiknya sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

‘Why Nations Fail’- Perspektif Al-Kahfi

Next Post

Senjata biologi pra Covid-19 dalam sejarah peperangan dunia

Related Posts
Skip to content