“Menteri badut” yang memanifestasikan kedangkalan ilmu dan tutur kata mereka semakin terserlah selepas PH naik sebagai Kerajaan.
Tidak dinafikan ketika pemerintahan Kerajaan Barisan dahulu sudah wujud juga “menteri badut” sebegini. Sehingga kini “menteri-menteri badut” melakukan persembahan jenaka mereka di Parlimen. Ada kalanya jenaka yang dilakukan seronok untuk dilihat, tetapi kebanyakannya menjadikan rakyat meluat dan tidak tahan dengan kecetekan ilmu dan sikap yang ditunjukkan oleh wakil-wakil rakyat sebegini.
Mereka dilantik menjadi menteri walaupun dengan kelayakan pendidikan yang minimum, apatah lagi dengan track record peribadi yang tidak secocok dengan peribadi seorang pemimpin rakyat.
Sampai bila rakyat Malaysia harus menghadapi ahli politik yang sebegini? Adakah selamanya rakyat Malaysia yang semakin berpendidikan harus diwakili oleh ahli politik yang tidak kompeten dan berkualiti?
Kabinet profesional menyeimbangkan peranan ahli politik dan kapitalis
Persamaan yang boleh dilihat dalam mana-mana rejim di dunia adalah kewujudan ahli politik dan golongan kapitalis yang akan mengambil keuntungan dalam pentadbiran negara. Sama ada keuntungan dalam penguasaan ekonomi atau keuntungan dalam penguasaan pengaruh dan kuasa.
Walaupun dalam sistem demokrasi, rakyat mampu membuat keputusan dalam pemilihan pemimpin mereka, namun pengaruh luar yang masih menjadi denominator yang signifikan dalam percaturan politik seperti kuasa pelobi dan peranan taikun bisnes masih tidak diambil kira.
Sistem liberal demokrasi akhirnya menjadi alat samaran kepada penguasaan golongan elit dalam politik negara.
Politik di Malaysia memerlukan ahli kabinet profesional yang mampu untuk menyeimbangkan dan melaksanakan peranan check-and-balance dalam sebarang dasar kerajaan. Peranan ini amat penting bagi mengelakkan dasar yang dirancang tidak berdasarkan kepentingan peribadi atau pun kepentingan politik semata-mata.
Noam Chomsky dalam penulisannya “The Responsibility of The Intellectuals” menjelaskan bahawa golongan profesional dalam bidang politik adalah golongan minoriti yang mendapat peluang dan kelebihan dalam bidang kepakaran tertentu dan kelebihan ini perlu didasari dengan sikap jujur – “It is the responsibility of intellectuals to speak the truth and to expose lies”.
Chomsky memberikan contoh golongan profesional yang menceburi bidang politik dan berjaya menjadi orang yang berpengaruh seperti Henry Kissinger dan Arthur Schlesinger.
Kedua-dua Kissinger dan Schlesinger dilatih secara akademik sehingga ke tahap PhD di Universiti Harvard sebelum terlibat dalam kancah politik. Kissinger adalah ahli akademik dalam bidang pentadbiran awam manakala Schlesinger adalah pensyarah dalam bidang sejarah.
Schlesinger dilantik menjadi penasihat Presiden Kennedy pada tahun 1961 dan terlibat dalam penipuan yang membawa kepada kegagalan kerajaan Amerika Syarikat dalam pencerobohan Bays of Pigs di Cuba sewaktu Perang Dingin dengan USSR. Manakala Kissinger yang telah terlibat dalam skandal Watergate pada tahun 1973 menyaksikan penyelewengan yang telah beliau lakukan sewaktu pentadbiran Presiden Nixon. Malah, jenayah perang yang telah dilakukan oleh Kissinger telah difilemkan dalam bentuk dokumentari yang bertajuk “The Trials of Henry Kissinger” pada tahun 2002.
Chomsky juga mengkritik penglibatan sesetengah golongan intelektual (saintis) yang terlibat dalam perang US-Vietnam yang menyaksikan penggunaan Agent Orange, sejenis senjata kimia. Golongan intelektual atau profesional telah menipu dan menyeleweng maklumat dalam penyalahgunaan senjata kimia dalam peperangan Vietnam dan menyalahgunakan kredibiliti mereka sebagai golongan profesional bagi membenarkan penipuan dilakukan.
Profesionalisme perlu didasari dengan ketelusan
Arus politik Malaysia perlu diberi nafas baru. Stereotaip bahawa ahli politik adalah mereka yang menipu telah beberapa kali di justifikasi oleh kes mahkamah yang melibatkan pimpinan utama negara.
Rakyat Malaysia seharusnya semakin bijak memilih pemimpin dan mereka sudah tentu bersetuju bahawa cogan kata “Kerajaan Bersih” yang dilaungkan Kerajaan sekarang tidak mencukupi – melihatkan hubungan rapat ahli politik dengan golongan kapitalis di Malaysia.
Sekiranya Kerajaan sekarang menawarkan ahli kabinet yang profesional pada pandangan mereka, namun adakah ideologi parti ahli tersebut profesional dan jujur secara keseluruhan?
Jika manifesto sebelum pilihanraya menjadi kayu ukur minimum untuk menguji kejujuran Kerajaan, rakyat Malaysia sudah pasti boleh mengetahui sejauh mana tahap kejujuran mereka dalam politik negara.
Profesionalisme yang merangkumi kepakaran dan daya intelektual baik dari segi pemikiran dan percakapan dalam kalangan ahli kabinet negara perlu didasari dengan sikap ketelusan. Ketelusan boleh dibuktikan dengan tindakan ahli kabinet menjalankan tanggung jawab mereka sebagai wakil kepada rakyat dalam institusi pentadbiran negara.
Ketelusan juga perlu seiring dengan kompetensi mereka sebagai individu dalam memimpin politik negara. Ilmu pengetahuan yang mencukupi, penampilan serta sikap yang selayaknya ada pada seorang ahli politik perlu diamati oleh semua ahli Parlimen yang ada pada hari ini.
Dan hal ini menuntut rakyat Malaysia sebagai pemegang taruh terbesar politik negara untuk meneliti calon pilihanraya dan mengundi dengan lebih profesional.
Rujukan:
- Aziz, A. (2019, October 29). The Edge Market. Retrieved from I’m sorry my solution to our financial crisis problems profited the tycoons — Dr Mahathir: https://www.theedgemarkets.com/article/im-sorry-my-solution-financial-crisis-problems-profited-tycoons-%E2%80%94-dr-mahathir
- BIOGRAPHY. (2019, June 18). Retrieved from Henry Kissinger: https://www.biography.com/political-figure/henry-kissinger
- Chomsky, N. (2019). The responsibility of the intellectuals: Reflections from Noam Chomsky and others after 50 years . London: UCL Press.
- Economist, T. (2019, January 8). Retrieved from The retreat of global democracy stopped in 2018: https://www.economist.com/graphic-detail/2019/01/08/the-retreat-of-global-democracy-stopped-in-2018
- Enclyclopedia Britannica. (2019, October 11). Retrieved from Arthur M. Schlesinger, Jr.: https://www.britannica.com/biography/Arthur-M-Schlesinger-Jr
- History. (2018, August 21). Henry A. Kissinger. Retrieved from https://www.history.com/topics/cold-war/henry-kissinger
- Oxley, P. (2016). None so blind: Planning the Bay odf Pigs Invasion. Northwest Nazarene University .
*Hanis Noor ialah Penyelidik di IRIS INSTITUTE