Kapal Perang China Berterusan Ceroboh Perairan Negara di Laut China Selatan, Malaysia Kekal dengan Pendirian Senyap Dan Pasif

Pada 17 Februari 2024, kapal Pengawal Pantai China 5403 dilaporkan membuat rondaan dan provokasi di kawasan projek Kasawari Petronas di Laut China Selatan. Terdahulu, pada Julai tahun lepas, China menghantar kapal penyelidikan Haiyang Dizhi 8 untuk menjalankan kajian saintifik dasar laut di kawasan-kawasan yang kaya dengan sumber minyak dan gas dalam perairan Malaysia. Kapal tersebut dipercayai menduduki kawasan berhampiran Beting Patinggi Ali selama tiga minggu berturut-turut. Kapal penyelidikan tersebut dilaporkan diiringi oleh kapal Pengawal Pantai China 5202. (SCMP, Ray Powell)

Berdasarkan laporan AMTI, purata 195 kapal perang China dilihat berlegar di 9 ciri maritim di Laut China Selatan sepanjang tahun 2023. Bilangan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding pada tahun 2021 hingga 2022. Sejak kebelakangan ini, kekerapan pertelingkahan antara China dan Filipina di rantau ini juga meningkat. Malaysia, pada masa sama, tidak terkecuali daripada pencerobohan kapal perang China terhadap perairannya di Laut China Selatan. (AMTI)

Walau bagaimanapun, Malaysia dilihat lebih pasif dan lembut dalam mendepani pencerobohan oleh China, tidak seperti Filipina yang bertindak agresif dan keras ketika mempertahankan perairannya. Hal ini kerana, Malaysia lebih gemar untuk menjaga keharmonian dengan China disebabkan kebergantungan yang tinggi dalam aspek perdagangan dan pelaburan. Dalam hal ini, Malaysia dianggap pasif kerana sekadar memantau pergerakan kapal China menggunakan kapal peronda TLDM tanpa sebarang amaran keras dan tindakan lanjut. (Defence Security Asia)

Menurut pengarah SeaLight, Ray Powell, tindakan pasif dan lembut ini hanya menguntungkan China berikutan ia merupakan sebahagian daripada strategi “Grey Zone” China. Bagi China, reaksi pasif Malaysia membolehkan mereka secara beransur-ansur meningkatkan kadar pencerobohan, menormalisasikan operasi laut, dan menegaskan hak mereka ke atas perairan Malaysia. Tambahnya, tujuan operasi ini adalah supaya China pada akhirnya boleh menyatukan kawasan maritim yang dituntutnya. (SCMP)

Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute

**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Peranan Rothschild dalam Penjajahan Palestin

Next Post

Kedudukan Bumiputera Masih Terpencil dalam Ekonomi Malaysia, Kekal Duduki Peratusan Kecil Dalam PKS, Bursa dan Pendapatan

Related Posts
Skip to content