Kenapa Ringgit Malaysia Jatuh? (Siri 1)

moneycurrency

Pengenalan

Kejatuhan Ringgit Malaysia (RM) yang berlaku sejak awal tahun ini adalah antara perkara yang hangat dipaparkan di dada akhbar dan media massa. Topik ini bertambah hangat apabila matawang kita jatuh ke paras terendah sejak krisis ekonomi Asia pada September 1998 iaitu pada kadar tukaran 1 USD bersamaan RM3.8718, sebelum ditutup pada RM3.8537 per 1 USD petang Selasa yang lalu.

Kejatuhan RM telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya apabila hal ini dikaitkan dengan situasi politik negara. Pada masa kini terdapat beberapa kemelut politik dalam negara yang dikatakan menjadi punca utama kejatuhan RM; antaranya ialah kontroversi yang melibatkan syarikat milikan penuh Kementerian Kewangan Malaysia iaitu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) serta rombakan kabinet yang melibatkan pemecatan mengejut Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyidin Yassin, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, beserta beberapa menteri lain yang mengkritik pemerintahan Datuk Seri Najib Razak.

Persoalannya, adakah benar konflik politik dalaman negara yang menjadi faktor utama kejatuhan RM? Atau terdapat faktor lain yang turut menyumbang kepada perkara ini?

Siri analisis kali ini akan cuba untuk memberi gambaran sebenar tentang apakah yang berlaku di sebalik kejatuhan matawang negara kita dengan harapan ia dapat difahami oleh rakyat. Namun sebelum itu penting untuk kita faham   mengenai konsep asas tukaran matawang asing, sebelum beralih kepada persoalan tersebut.

 

Apakah itu kadar tukaran wang asing?

Definisi kadar tukaran wang asing atau ‘foreign exchange’ adalah transaksi yang melibatkan tukaran matawang sesebuah negara kepada matawang negara lain. Harga matawang di antara dua negara ini akan bergantung kepada permintaan dan tawaran matawang tersebut. Sistem foreign exchange terbahagi kepada 2 jenis iaitu ‘Fixed (Pegged) Exchange Rate’ dan ‘Floating Exchange Rate’.

Fixed exchange rate adalah sistem yang mana kadar tukaran matawang tidak berubah dan dikawal oleh Bank Pusat sesebuah negara. Apabila berlakunya pertambahan atau pengurangan terhadap permintaan matawang, Bank Pusat akan menjual atau membeli matawang negara tersebut supaya harga matawang negara tersebut tidak berubah. Sistem ini pernah digunakan oleh Malaysia sewaktu Krisis Ekonomi Asia pada tahun 1998 yang mana kita menambat RM 3.80 untuk setiap 1USD. Sistem ini memerlukan simpanan (reserves) yang besar untuk Bank Negara Malaysia campurtangan sekiranya berlaku volatility yang terlalu tinggi pada RM berbanding matawang asing.

Sementara itu, floating exchange rate pula adalah kadar tukaran yang ditentukan oleh permintaan dan tawaran terhadap kadar tukaran tersebut. Apabila terdapat pertambahan permintaan untuk sesebuah matawang, nilai matawang tersebut akan bertambah berbanding dengan matawang lain. Pertambahan permintaan ini boleh dipandu oleh imports and eksport, pendapatan relatif, kadar inflasi relatif, dan spekulasi.

 

Faktor-faktor yang mempengaruhi kadar tukaran wang

Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi pasaran matawang sesebuah negara tetapi faktor-faktor ini hanya memberi kesan terhadap negara yang mengamalkan floating exchange rate regime sahaja. Antaranya adalah kadar inflasi negara, kadar interest rates, public debt, dan kestabilan politik serta ekonomi. [1]

 

1. Kadar inflasi sesebuah negara memberi kesan secara terus terhadap permintaan matawang negara tersebut. Sekiranya negara A mempunyai kadar inflasi yang tinggi, ia bermaksud kuasa membeli pengguna matawangnya merosot berbanding negara lain yang mempunyai kadar inflasi yang jauh lebih rendah.

Sebagai contoh kita ambil Malaysia dan Indonesia sebagai perbandingan. Jadual di bawah menunjukkan kadar inflasi di Malaysia dan Indonesia sejak dari tahun 2010 sehingga 2014 dan kita dapat lihat trend di Indonesia semakin meningkat dan jauh lebih tinggi berbanding Malaysia. Kesan dari kadar inflasi ini dapat dilihat daripada exchange rate RM dan Rupiah seperti carta di bawah yang mana RM semakin kuat (strengthening) berbanding Rupiah.

Kadar Inflasi di Malaysia dan Indonesia[2]

Negara 2010 2011 2012 2013 2014
Malaysia 1.7 3.2 1.7 2.1 3.1
Indonesia 5.1 5.4 4.3 6.4 6.4
Kadar tukaran RM ke Rupiah
Kadar tukaran RM ke Rupiah

 

2. Hutang awam (public debt) yang tinggi oleh pihak kerajaan untuk membiayai projek mega akan menyebabkan kadar inflasi meningkat. Apabila kadar inflasi meningkat, ia akan menyebabkan harga matawang negara A jatuh kerana inflasi menghakis kuasa membeli menggunakan matawang tersebut. Selain dari itu, kadar hutang yang tinggi juga akan menyebabkan para pelabur asing lari kerana bimbang negara tersebut akan bankrup dan tidak dapat memenuhi keperluannya. Di sinilah peranan rating agency international sangat penting dalam menilai rating hutang negara, adakah masih pada paras yang sihat atau tidak dan ia mempengaruhi penentuan kadar tukaran matawang negara A itu.

Sebagai contoh, European Union sedang berdepan dengan masalah beberapa buah negara yang mempunyai kadar public debt yang tinggi seperti Greece, Cyprus, Italy, Spain dan Portugal. Greece berada di penghujung talian hayat dan bakal diishtiharkan muflis sekiranya tiada tindakan yang strategik diambil untuk menyelesaikan masalah ekonominya. Apabila Greece berdepan dengan masalah kadar hutang yang tinggi, para pelabur asing sudah bertindak lebih awal dengan menjual kesemua bon kerajaan Greece dan membuat pelaburan di negara lain[3]. Ada sesetengah ahli ekonomi menjangkakan krisis ekonomi Greece berkemungkinan besar akan menyebabkan domino effect terhadap ekonomi negara di bawah European Union. Jadi, kadar hutang negara yang terlalu tinggi tidak sihat untuk pertumbuhan ekonomi dan menyebabkan pelabur asing tidak berminat untuk melabur di negara tersebut.

 

3. Kestabilan politik dan ekonomi adalah antara faktor yang menentukan kenaikan dan penurunan kadar matawang negara yang mana negara yang tidak mempunyai struktur pemerintahan dan ekonomi yang kukuh menyebabkan pelabur asing kehilangan keyakinan dan melarikan modal mereka ke negara yang lebih stabil.

Sebagai contoh, Thailand adalah antara negara yang mempunyai masalah kestabilan politik di mana sejak tahun 1930 telah berlaku 12 coup d’état dan 7 cubaan menjatuhkan pemerintahan Thailand namun tidak berhasil. Apabila berlaku protes jalanraya dan cubaan coup d’etat, kesemua pekerja akan diarahkan untuk pulang ke rumah dan menanti hasil penggulingan, adakah akan ada kerajaan baru atau tidak[4]. Dengan ketidakstabilan politik di Thailand, telah menyebabkan pertumbuhan ekonomi Thailand jatuh ke 2.9% pada tahun 2013, jauh lebih rendah dari negara ASEAN lain seperti Filipina. Indonesia dan Vietnam.[5] Foreign Direct Investment di Thailand juga jatuh lebih teruk berbanding Indonesia pada tahun 2014. Secara ringkas, kestabilan sesebuah negara amat penting kerana ia menambah keyakinan pelabur luar untuk melabur.

 

4. Selain daripada faktor di atas, interest rates juga memainkan peranan penting terhadap pergerakan sesebuah matawang, yang mana kadar interest yang tinggi menawarkan para peminjam pulangan yang lebih baik berbanding negara lain. Maka, kadar interest yang tinggi akan menarik modal asing ke negara A, meningkatkan permintaan terhadap matawang negara A sekaligus menaikkan harga matawang A. Kita akan bincang dengan lebih lanjut tentang faktor yang terakhir ini di siri yang akan datang.

 

Kesimpulan

Faktor-faktor yang menentukan pergerakan matawang tidak tertakluk kepada yang disebutkan di atas sahaja, terdapat juga faktor yang tidak dibincangkan di sini kerana penerangannya yang agak kompleks. Untuk siri seterusnya, kita akan menggunakan faktor yang dibincangkan di atas dalam menerangkan situasi yang berlaku kepada matawang RM.

 

Muhamad Nur Farhan

Penganalisis CAPE

 

Rujukan:

[1] http://www.investopedia.com/articles/basics/04/050704.asp

[2] data.worldbank.org/indicator/FP.CPI.TOTL.ZG

[3] http://www.nytimes.com/interactive/2015/business/international/greece-debt-crisis-euro.html?_r=0

[4] http://www.bbc.com/news/business-27537580

[5] http://www.wsj.com/articles/SB10001424052702303749904579576941085019938

8 comments
  1. Maaf, saya masih kurang paham tentang interest rates, macamana ia boleh menawarkan peminjam pulangan yg lebih baik?

    1. Kadar faedah yang tinggi akan memggalakkan pemberi pinjam dalam dan luar negara untuk menawarkan pinjaman yang lebih besar kerana hasil faedah yang tinggi. Jika kadar faedah rendah, maka hasil faedah pemberi pinjam turut rendah.

  2. Yang buat pelabur hilang kepercayaan pada politik dimalaysia ialah mereka yg terlibat didlm BERSIH…pelabur takut hal2 begini sebab dari sejarah2 negara lain contoh seperti thai. Byk sgt buat tunjuk perasaan atau protes akan membantutkan peluang pelaburan dari negara asing…klu betul nak sgt bertukar pemerintah negara kita kan ada pilihan raya..tggu waktu utk kita memilih…kita tgk rakyat hendak parti yg mana memerintah…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

John Kerry Gesa Mesir Memperbaharui Politik

Next Post

Politik Turki : Tubuh Kerajaan Campuran atau Pilihanraya Semula?

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content