John Kerry Gesa Mesir Memperbaharui Politik

fatah-al-sisi-john-kerry-egypt

Setiausaha Negara Amerika, John Kerry mendesak pimpinan Mesir supaya bergerak maju ke hadapan dengan memperbaharui politik sebagai sebahagian daripada strategi menentang keganasan agama, di samping menyatakan pilihan raya parlimen pada musim luruh ini sebagai ujian penting kepada negara Arab.

Diplomat utama pentadbiran Obama menekankan dalam mesyuarat hujung minggu bersama pegawai rasmi Mesir bahawa Amerika Syarikat komited untuk menyokong Presiden Abdul Fatah As-Sisi dalam melawan puak pelampau yang melancarkan serangan di Mesir dalam beberapa bulan kebelakangan ini, terutamanya di Semenanjung Sinai.

Tetapi Kerry menyatakan kempen menentang pengganas ini tidak akan berjaya untuk jangka masa panjang melainkan Kaherah berusaha lebih untuk mempromosi sistem politik terbuka dan kebebasan media.

“ Kita semua tahu bahawa penentangan terhadap pengganas memerlukan strategi jangka masa panjang. Keselamatan sempadan dan penguatkuasaan undang-undang merupakan sebahagian daripada langkah yang perlu diambil, tetapi apa yang lebih penting adalah memujuk dan menghalang orang muda daripada menjadi pengganas,” kata Kerry kepada pegawai rasmi Mesir. “Jika tidak, walaubagaimana ramai pun pengganas yang dibawa ke muka pengadilan, puak tersebut akan terus bertambah dan kita tidak akan selamat.”

Menurut Kerry, Washington akan meletakkan fokus khusus untuk pilihan raya parlimen yang dijangka berlangsung pada Oktober ini sebagai tanda sama ada As-Sisi bersedia melakukan pembaharuan politik atau tidak. “ Saya fikir bukti kepada perkara tersebut akan dapat dilihat dalam bulan hadapan dan dalam pilihan raya akan datang,” tambah beliau lagi.

Kerry mengetuai delegasi Amerika minggu ini dalam dialog strategik dengan kerajaan Mesir. Forum tahunan tidak lagi berlangsung sejak 2009 disebabkan pergolakan  politik yang melanda Mesir semenjak penyingkiran diktator Husni Mubarak pada 2011.

Hubungan Mesir-Amerika

Pentadbiran Obama sebelum ini pernah mempunyai hubungan dingin  dengan Kaherah sejak As-Sisi menggulingkan pendahulu beliau, ahli politik Islamis Mohamad Morsi dalam rampasan kuasa tentera pada 2013. White House menahan lebih $1 billion bagi bantuan tahunan ketenteraan Amerika untuk Mesir beberapa bulan selepas tentera mengambil alih.

Amerika walaubagaimanapun, berusaha membina semula hubungan dengan Mesir berikutan pelantikan As-Sisi sebagai presiden pada 2014. Awal tahun ini, Amerika melepaskan tenteranya dan pentadbiran Obama menghantar lapan pesawat pejuang F-16 baharu kepada ketenteraan Mesir minggu lepas.

Pentadbiran Amerika turut mencari jalan untuk memulihkan ekonomi Mesir. Kerry telah memipin satu delegasi besar yang terdiri daripada ahli-ahli eksekutif perniagaan Amerika ke Mesir awal tahun ini. Pegawai rasmi Jabatan Negara menganggarkan bahawa syarikat Amerika membentuk satu per lima daripada keseluruhan pelaburan asing di Mesir tahun lepas, sebanyak lebih kurang $2 billion.

Namun begitu, tekanan antara Washington dan Kaherah dalam isu pembaharuan politik keihatan jelas berikutan pertemuan Kerry dengan pimpinan Mesir termasuk As-Sisi dan Menteri Luar, Sameh Shoukry. Diplomat Amerika dan tuan rumahnya memaparkan kepada umum pandangan berbeza mengenai peranan politik Islam dalam membentuk masa depan Mesir dan perubahan politik di negara Arab terbesar dunia itu.

Ikhwanul Muslimin

Kaherah telah mengharamkan Ikhwanul Muslimin, organisasi politik terbesar negara itu, daripada mengambil bahagian dalam proses pilihan raya Mesir dalam suasana rampasan kuasa 2013. Mesir secara rasmi melabel gerakan Islam itu sebagai organisasi pengganas dan Morsi pula dijatuhkan hukuman mati atas tuduhan jenayah terhadap negara.

Shoukry juga menegaskan dalam sidang media bersama Kerry bahawa Kaherah akan meneruskan tindakan kerasnya terhadap Ikhwan dan sekutunya. “ Ikhwan adalah perintis kepada semua ideologi radikal dan ekstremis ini,” kata diplomat Mesir.

Kerry membalas bahawa menekan sebahagian besar rakyat Mesir bukanlah formula untuk kestabilan sesebuah negara. “ Salah satu perkara yang kita tidak mahu lakukan adalah melihat kitaran pengganas yang berputar di mana orang-orang muda menjadi lebih radikal dalam usaha mereka menentang keganasan,”kata beliau.

Minggu lepas di Washington, Kerry bertemu pembangkang Mesir, Mohamed Soltan yang membuat mogok lapar di dalam penjara Mesir sebelum dihantar pulang ke Amerika. Bapanya merupakan ahli kanan Ikhwan.

Kebebasan Media

Selain itu, Amerika turut mendesak Mesir supaya melonggarkan sekatan kepada media.

Hampir dua dozen wartawan Mesir ditahan di dalam penjara. Mahkamah Kaherah kini sedang mencuba tiga wartawan Al-Jazeera dengan tuduhan bersekongkol dengan Ikhwan. Hakim Mesir memberitahu bahawa pengadilan kes tersebut ditangguhkan hingga 29 Ogos.

Shoukry menafikan dakwaan yang kerajaan beliau menyekat kebebasan bersuara. Beliau menegaskan bahawa kesemua wartawan yang ditahan telah didakwa atas keselamatan negara.

“ Tiada seorang pun wartawan yang ditahan atas dasar apa-apa ekspresi yang mereka lakukan atau ada kaitan dengan profesion mereka sebagai wartawan,”kata diplomat Mesir itu.

John Kerry

Kerry berangkat ke Qatar kemudiannya untuk menghadiri mesyuarat bersama enam orang pemimpin negara Teluk. Beliau sedang melobi negara-negara Gulf Cooperation Council; Saudi Arabia, Qatar, Kuwait, Oman, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu untuk menyokong perjanjian nuclear dengan Iran pada bulan lepas.

Kerry menegaskan di Kaherah bahawa perjanjian tersebut akan menyekat kemampuan nuklear Tehran dan menjadikan negara Arab lebih selamat. “ Jika Iran mahu menjejaskan kestabilan rantau ini, lebih baik Iran tiada senjata nuclear daripada ada,” kata beliau.

Menurut pegawai rasmi Amerika, Kerry juga sedang mengadakan mesyuarat tiga penjuru dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dan Ketua Diplomat Arab Saudi, Adel al-Jubair. Mereka bercadang untuk membincangkan cara baru bagi mengakhiri perang di Syria.

Moscow merupakan salah satu penyokong utama Presiden Syria Bashar al-Assad, manakala Riyadh mahu beliau digulingkan.

Terjemahan: Ainun Mardhiah Jamaluddin

Sumber: WallStreetJournal

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hamas Gesa PBB Tanggung Defisit Kewangan Agensi Bantuan Palestin

Next Post

Kenapa Ringgit Malaysia Jatuh? (Siri 1)

Related Posts
Skip to content