DKN Siri 2 Anjuran IRIS Bincang Model Triniti Tenaga dan Hala Tuju NETR

Bandar Baru Bangi, 23 November 2023 – Interdisciplinary Research and International Strategy (IRIS) Institute menganjurkan Dialog Kuasa Nasional (DKN) buat kali kedua, bertepatan dengan dasar peralihan tenaga di peringkat nasional dan global. Siri kali ini dianjurkan secara fizikal dan maya dengan tajuk “NETR: Adakah Membangun Kemandirian Tenaga Nasional?” yang bertempat di Dewan Lily 2, Bangi Resort Hotel.

Antara panel jemputan yang hadir terdiri daripada pimpinan eksekutif, penyelidik dan pemain industri daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi penyelidik IPT, badan pemikir serta badan bukan kerajaan seperti Suruhanjaya Tenaga, Institute of Energy Policy and Research (IEPRE), Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation (MGTC), Solar Energy Research Institute (SERI), Uniten R&D Sdn Bhd, Aeronerve, i-JURUTERA, ISIS Malaysia, Yayasan Strategik Lestari, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dan Institut Darul Ehsan (IDE).

Model Triniti Tenaga (Energy Trinity) adalah antara fokus utama perbincangan yang meliputi aspek Kedaulatan (sovereignty), Kelestarian (sustainability) dan Keselamatan (security) dalam konteks sektor tenaga Malaysia.

Hasil perbincangan merumuskan secara preliminari bahawa pembentukan falsafah, idea dan naratif dalam hala tuju dasar tenaga negara seperti NETR perlu dipersoalkan kembali sama ada tindakan Malaysia adalah mengikut trend serantau dan global, tanpa mengambil kira perkembangan serta potensi kearifan tempatan yang kita miliki.

Aspek penentu seperti modal kewangan juga dilihat sebagai aspek yang penting dalam pembinaan keupayaan industri tenaga nasional untuk menjadi mandiri dan berdaulat. Justeru, aspek modal kewangan ini juga yang menyebabkan negara terikat atau bakal mengikat diri kepada pihak luar.

Malaysia juga perlu memperakui kedudukannya yang terkebelakang daripada aspek kemajuan teknologi, namun kejayaan negara timur seperti Korea yang mampu memajukan teknologi tempatan mereka wajar dijadikan contoh. Malaysia juga perlu mengambil pengajaran daripada pengalaman kegagalan syarikat gergasi biomass Amerika Syarikat, Enviva serta kejayaan negara Jepun dalam mengikuti aliran trend tenaga hijau di peringkat antarabangsa.

Malaysia juga perlu melihat semula kehendak nasional yang dimilikinya dalam sektor tenaga. Walaupun negara sudah mempunyai idea dan strategi seperti dasar NETR, namun sekiranya Malaysia tidak dapat mengatasi cabaran politik dalam negara dan geopolitik antarabangsa, negara masih gagal mencapai keupayaan tenaga yang mandiri.

Dialog ini menampilkan panel pembahas; Encik Muhammad Wafiq bin Azman, Ketua Jabatan Knowledge Management Centre (KMC) IRIS Institute, Dr. Ahmad Rafdi bin Endut, Pengarah Perancangan dan Komunikasi Strategik Suruhanjaya Tenaga, dan Ir. Ts. Mohd Khousaini bin Hj. Mohd Naim, Perunding Kanan i-Jurutera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Transisi Malaysia Ke Arah Agenda Bebas Karbon 2050?

Next Post

Israel-Palestine War: The Psychological & Economic Warfare

Related Posts
Skip to content