Konflik Dunia Islam: OIC perlu lebih berperanan

OIC-Members
Penglibatan Rusia, Iran, Amerika Syarikat secara langsung atau tidak langsung di dalam kemelut Timur Tengah meneruskan lagi projek “new middle east” dan “promised land” yang cuba dijalankan oleh Zionis Israel. Dengan kelemahan negara arab Islam dan perpecahan mereka mengukuhkan kedudukan dan kuasa politik Israel.

Projek yang telah dibentangkan dan diimplimentasikan semenjak 70 tahun yang lepas ini kini melalui fasa baru dengan penggabungan projek “Arab Spring” atau color revolution yang didalangi oleh Amerika Syarikat melalui NGO seperti USAID dan Foundation for Future yang bertujuan menjalankan proses revolusi di negara arab. Negara-negara terlibat seperti Mesir, Tunisia, Bahrain dan beberapa negara yang lain mengalami ketidakstabilan politik sepanjang tempoh dari 2011-2014. Projek ini bertujuan mengangkat sekutu Amerika Syarikat bagi menjamin keselamatan Israel di Timur Tengah.

Perang Afghanistan yang melibatkan Amerika Syarikat dan Rusia memberikan indikator apakah yang akan berlaku dengan penglibatan kedua-dua kuasa besar itu.Ketidakstabilan politik, ekonomi dan sosial Afghanistan merupakan “colateral damage” akibat campur tangan Amerika Syarikat dan Rusia.

“Arab Spring”

Pada tahun 2011, seorang peniaga bertindak membakar diri kerana ingin melepaskan ketidakpuasan hati kepada kerajaan Tunis ketika itu. Akibat dari tindakan beliau ini, tercetus beberapa siri revolusi di Timur Tengah.Di Mesir, rakyat yang dipelopori oleh gerakan Islam cuba terlibat di dalam revolusi dan berjaya menumbangkan Hosni Mubarak, namun kerana polisi Anti-Israel Presiden Morsi akhirnya Ikhwanul Muslimin dijatuhkan oleh gerakan Arab Spring yang didanai oleh Foundation for Future demi menaikkan sekutu Amerika Syarikat. Setelah berlaku rampasan kuasa didalangi oleh General as-Sisi akhirnya sekutu kuat Amerika dan Israel berjaya menguasai Mesir.

Polisi-polisi as-Sisi merugikan umat Islam, malah baru-baru ini rakyat Palestin disekat bantuan serta terowong Rafah dibanjir dengan air oleh As-sisi dengan kejam. Mesir kini menerima bantuan sebanyak $4billion setahun oleh Amerika Syarikat bagi tujuan ketenteraan.

Negara-Negara Islam dan OIC

Tujuan asal penubuhan Organisation of Islamic Cooperation(OIC) adalah bagi mengangkat suara umat Islam di serata dunia setelah kejatuhan Kerajaan Uthmaniah pada tahun 1922, kelompongan ini menyebabkan umat Islam dalam keadaan tercari-cari akan punca bagi mengangkat suara umat Islam. Tujuan OIC juga betujuan mengukuhkan politik,ekonomi dan sosial negara-negara Islam.

Ratusan kongres serta persidangan OIC yang telah dilangsungkan namun kewujudan OIC hanyalah ibarat halimunan dimata umat Islam kerana umat Islam hilang kepercayaan terhadap peranan OIC dalam mengangkat suara umat Islam.

Beberapa cadangan perubahan polisi demi kebaikan umat Islam sejagat.

Pengukuhan dan peningkatan peranan OIC

OIC berperanan mengangkat suara umat Islam di serata dunia, dengan itu perlulah OIC perlu memainkan peranan penting dalam setiap negara Islam. Media perlu dijadikan saluran utama dalam menyampaikan mesej Islam serta mempromosi Islam kepada masyarakat dunia. Media ini juga boleh dijadikan sebagai modal mempamerkan kebobrokan Israel dan sekutunya serta mengangkat suara umat Islam yang ditindas seperti di Kemboja, Afrika, Chechnya, Syria, Iraq dan sebagainya. OIC perlu menguasai saluran media seperti akhbar, radio dan siaran televisyen bagi memenangi perang saraf menentang barat.

OIC juga boleh menjadi medan bagi pembangunan ekonomi dan infrastruktur di antara negara-negara Islam. Pertukaran kepakaran diantara negara-negara OIC amat membantu dalam membangunkan negara Islam di masa kini bagi bersaing dengan negara-negara Barat. Contoh yang boleh diambil misalnya adalah Malaysia yang mempunyai lambakan pakar di dalam bidang kejuruteraan, reka cipta dan perubatan namun kekurangan pakar di dalam bidang bio-kimia, bioteknologi. Kekurangan pakar ini dapat ditampung dengan pertukaran kepakaran di antara negara Islam. Hasil pertukaran ini juga dapat membikin pakar baharu di dalam bidang-bidang yang baharu diterokai di negara masing-masing.

Pengukuhan ketenteraan antara negara OIC perlu ditingkatkan. Latihan ketenteraan bersama perlu diadakan dengan lebih intensif bagi menunjukkan kuasa ketenteraan negara Islam kepada dunia luar. Kerjasama pakar di dalam bidang ketenteraan perlu diambil perhatian dengan penggabungan pembangunan R&D ketenteraan negara OIC. Dengan itu, model-model seperti kereta kebal, jet pejuang, senapang dan sebagainya dapat dibangunkan sendiri oleh umat islam tanpa bantuan negara Barat.

Usaha-usaha ini dapat meningkatkan kembali keyakinan umat Islam kepada OIC dalam usaha mengangkat suara umat Islam secara kolektif apabila dilihat OIC memainkan peranan penting dalam memelihara hal ehwal umat Islam sejagat terutama di Timur Tengah.

Lebih penting, kekuatan OIC perlu bagi membaik pulih ketidakstabilan yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya. OIC perlu menjadi medan pendamai di antara negara-negara Timur Tengah dan negara teluk serta perlu jelas siapakah musuh dan siapakah rakan. Kejelasan dalam hal ini dapat membendung masalah pergaduhan dikalangan negara OIC.

Malaysia-Turki

Malaysia-Turki sentiasa mempunyai hubungan yang rapat semenjak zaman kerajaan Uthmaniyah dan kerajaan Melayu Islam satu ketika dahulu.Peranan kedua-dua negara ini cukup besar dalam pencaknaan hal ehwal umat Islam di seantero dunia. Seperti krisis Syria di mana kedua-dua negara menyumbangkan sejumlah wang yang besar serta membantu dalam menjaga kebajikan pelarian Syria. Malahan, krisis Palestin yang tidak pernah susut dari pelbagai kekejaman Isreal, umat Islam di antara kedua-dua negara sentiasa mendokong dan menyalurkan sumbangan kepada rakyat Palestin serta demonstrasi yang berterusan terhadap kekejaman Palestin.

Hubungan kedua-dua negara ini, dilihat perlu lebih diutuhkan bagi mengembalikan kuasa dominan umat Islam kerana kedua-dua negara mempunyai kedudukan yang strategik serta geopolitik penting di rantau masing-masing. Malaysia memainkan peranan penting dalam kekuasaan umat Islam di Asia manakala Turki memainkan peranan penting dalam geopolitik Timur Tengah.

 

Muhamad Amirul Asyraf Bin Ahmad Kamal Zulkhairi
Unit Kajian Timur Tengah
Penganalisis IRIS

 

Sumber:
1.http://www.oic-oci.org/oicv2/page/?p_id=52&p_ref=26&lan=en
2.http://www.foundationforfuture.org/en/
3.https://www.usaid.gov/egypt
4.http://www.ned.org/ideas/about-the-forum/reconsidering-democratic-transitions-the-arab-spring-and-the-color-revolutions/
5.https://en.wikipedia.org/wiki/Malaysia–Turkey_relations

2 comments
  1. Assalamu’alaikum saudara. Bolehkah saudara bantu saya, apakah di antara ayat-ayat al-quran ataupun hadis yang boleh dikatikan dengan peranan OIC dalam menjaga kebajikan umat islam ? terima kasih ! 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sosialisme Ala Amerika? – Hanis Noor

Next Post

Pendatang Haram Yahudi Mengalami Masalah Mental

Related Posts
Skip to content