Sosialisme Ala Amerika? – Hanis Noor

 

maxresdefault (1)

“Congress does not regulate Wall Street – Wall Street regulates Congress

Itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh Senator Bernie Sanders ketika sesi debat Parti Demokrat yang berlangsung baru-baru ini. Sanders merupakan antara calon terkuat Parti Demokrat bagi merebut kerusi Presiden Amerika Syarikat yang seterusnya selepas Obama. Sesi perdebatan tersebut turut menyaksikan Hillary Clinton sebagai pencabar utama Sanders di samping calon-calon yang lain;  Lincoln Chafee, Lawrence Lessig, Martin O’Malley dan  Jim Webb.

Namun apa yang menarik pada sesi pilihanraya Presiden AS kali ini ialah bagaimana Sanders cuba membawa konsep sosialisme yang mencabar realiti sistem yang digunapakai oleh AS sekarang ini – kapitalisme. Bahkan Sanders berjaya meraih sokongan yang kuat dalam kalangan rakyat Amerika sendiri yang mahukan perubahan kepada negara mereka.

Amerika Syarikat kini ternyata hidup dalam zaman eksperimentasi, di mana sistem kapitalis yang mereka gunapakai kini ternyata gagal untuk menyelesaikan masalah negara mereka. Jurang ekonomi dan sosial yang semakin meningkat menyebabkan rakyat dalam kalangan middle class dan working people kini memberontak mahukan perubahan yang lebih radikal dan drastik. Kuasa pelobi ke atas Kongres mereka turut menimbulkan ketidakpuashatian rakyat apabila ahli politik mereka lebih cenderung untuk terpengaruh dengan kuasa pelobi berbanding keperluan rakyat.

Jadi adakah Bernie Sanders akan berjaya mengubah sistem kapitalis Amerika yang sedia ada dengan sistem yang cuba dibawanya dalam Pilihanraya Presiden kali ini?

Jika kita lihat bagaimana Sanders cuba menjual idea ini kepada rakyat, ternyata strategi yang digunakan masih mempunyai kelompongan yang boleh dibidas apabila beliau mengambil Denmark sebagai contoh negara sosialis untuk rakyat Amerika.

Persoalannya, beliau tidak sedar hakikatnya Denmark adalah negara kapitalis yang menyambut baik sebarang pelaburan syarikat persendirian. Bahkan perkataan “sosialisme” yang digunakan di Eropah merujuk kepada negara berkebajikan, “welfare state” yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat – kemudahan kesihatan yang menyeluruh, safety net yang kuat, manfaat untuk golongan bersara, pendidikan secara percuma, program vaksinasi percuma, kesatuan pekerja yang kuat dan banyak lagi.

Jika kita ambil contoh untuk kesatuan sekerja (worker union) untuk dibandingkan Denmark dan realiti Amerika – keahlian kesatuan pekerja di AS telah menurun sebanyak 35.4%  pada awal tahun 1950 dan kini peratusannya mencecah 11.1%. Pergolakan antara kaum dan eksplotasi syarikat besar seperti Walmart ke atas pekerja menjadikan realiti “sosialisme” di AS menjadi mustahil. Ditambah pula, dengan tuntutan rakyat agar gaji minima sebanyak $15 sejam sehingga kini tidak dipenuhi oleh kerajaan (contoh gaji minima di Michigan kini hanya $7.5 sejam).

Jika kita lihat pula kepada dana yang Sanders dapat kumpul untuk kempen beliau, ternyata beliau membuat keputusan yang sangat berisiko apabila menolak peranan Super Pac (independent fund raising commitee) untuk mengumpul dana.

Malah, beliau hanya bergantung kepada dana-dana kecil daripada kesatuan sekerja yang ada di seluruh Amerika dan hanya berjaya mengumpul sebanyak $16.5 juta. Tetapi cuba kita lihat Hillary Clinton, pencabar terkuat Sanders pula yang berjaya mengumpul $45 juta melalui Super Pac sahaja. Jadi adakah mungkin Sanders berjaya dalam kempennya hanya dengan  dana kecil tersebut sedangkan kempen Presiden AS sangat bergantung kepada jumlah dana yang calon tersebut ada.

Jadi adakah Bernie Sanders akan berjaya mengubah sejarah negara kapitalis ini ke arah sistem yang lain? Adakah beliau berjaya mengalahkan Clinton, Bush dan Trump yang ternyata mempunyai dana yang jauh lebih besar untuk melobi undi?

Ikuti laporan Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat 2016 di laman web FOCUS.

 

Hanis Noor

Penganalisis IRIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Peningkatan Kes Demam Kepialu Membimbangkan

Next Post

Konflik Dunia Islam: OIC perlu lebih berperanan

Related Posts
Skip to content