Krisis di Syria: Imperialisme Amerika Syarikat

syria_2142767b

Dalam artikel Krisis Pelarian Syria: Manipulasi Media Barat, kita dapat perhatikan rentak propaganda yang dibawa oleh media Barat bagi mewujudkan persepsi yang menyimpang dari realiti dan punca utama berlakunya krisis ini. Hal yang demikian bagi membuktikan kewajaran Amerika Syarikat dan sekutunya untuk campur tangan dalam konflik dalaman Syria, walaupun hakikatnya krisis tersebut berlaku rentetan polisi-polisi luar yang telah pun dijalankan oleh mereka sejak dahulu lagi.

Bahkan, Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa besar seperti Perancis, British dan kerajaan Arab bersama-sama memainkan peranan bagi merealisasikan fiksyen konflik dalaman Syria yang membuka laluan untuk campur tangan kuasa asing. Campur tangan tersebut, seperti yang diinginkan, adalah berbentuk ketenteraan yang hanya akan membawa kepada kemusnahan yang lebih serius.

Justeru, timbul satu persoalan – adakah krisis yang berlaku di Syria hanya sekadar konflik dalaman sesbuah negara atau ia adalah rentetan usaha Amerika Syarikat demi menjayakan agenda imperialisme di Timur Tengah?

Damascus-v2

Polisi luar Amerika Syarikat yang agresif

Pasca tragedi 11 September 2011, menurut bekas Setiausaha Agung NATO Wesley Clark, satu memo daripada pejabat Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat telah membongkar rancangan untuk “menyerang dan memusnahkan kerajaan di 7 buah negara dalam masa 5 tahun”, bermula dengan Iraq dan beralih kepada “Syria, Lubnan, Libya, Somalia, Sudan dan Iran”.

Dengan penjenamaan semula polisi luar negara di kawasan Timur Tengah dan Afrika Utara, usaha Amerika Syarikat telah dirujuk sebagai political warfare campaign yang belum pernah dilaksanakan sejak Perang Dingin. Seperti yang terkandung dalam slogan oleh Wall Street Journal, strategi ini diringkaskan dengan tepat selepas peperangan pertama menentang Iraq pada 1991 sebagai force works.

Ia bermaksud penggunaan kuasa atau ancaman kuasa atau tekanan ketenteraan adalah berkesan dalam menjayakan agenda Amerika Syarikat. Kita sudah sedia maklum bahawa peperangan di Afghanistan dan Iraq kononnya di atas nama War on Terror dikira wajar berdasarkan penipuan yang diuar-uarkan berkenaan Weapon of Mass Destruction (WoMD) sehingga mengakibatkan angka korban mencecah beribu-ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Ini diikuti dengan pertukaran rejim oleh Amerika Syarikat dan NATO yang mengakhiri kerajaan Muammar Gaddafi dan menukar Libya menjadi ‘fail State’, terperangkap dalam permusuhan yang berlanjutan antara militan. Kemudian dunia dikhabarkan dengan peperangan sivil Syria yang dipelopori Amerika Syarikat dan sekutunya untuk menjatuhkan Assad dan menjadikan Syria salah satu hegemoninya.

Namun, apakah Amerika Syarikat berpendapat bahawa penyelesaian konflik dalaman Syria yang dicetuskan sendiri olehnya dapat diselesaikan dengan pencerobohan ketenteraan?

640x392_54024_223684

Peperangan sebagai jalan penyelesaian?

Terdapat laporan dalam ‘The Guardian’ bahawa:

“Untuk memulakan langkah mengembalikan harapan (mendiami kawasan setempat dengan aman dan merasa selamat dari bahaya) bermaksud memerlukan beberapa jenis campur tangan antarabangsa. Pewujudan kawasan selamat yang boleh dipercayai dan penguatkuasaan zon larangan terbang mesti dipertimbangkan dengan serius”.

Dapat diperhatikan bahawa setiap zon larangan terbang yang dikuatkuasakan akhirnya membawa kepada pencerobohan ketenteraan. Sejurus selepas itu, berlaku pula perubahan rejim sepertimana campur tangan Amerika Syarikat dan NATO dalam konflik Libya yang menekan ke arah perubahan rejim dalam beberapa minggu selepas zon larangan terbang dikuatkuasakan.

Maka, daripada kenyataan ini kita boleh mengeluarkan dua dapatan; pertama, mereka sudah merancang sedari awal untuk mencampur tangan dalam konflik dalaman Syria; dan kedua, jenis campur tangan yang diingini adalah tidak lain dan tidak bukan campur tangan dalam bentuk ketenteraan yang akan mengakibatkan tumbangnya rejim Assad.

Apabila difikirkan semula, mengapa hanya pada masa ini krisis pelarian Syria dihangatkan oleh media-media Barat? Hal ini kerana mereka seolah-olah memberikan gambaran bahawa kononnya penggunaan kuasa ketenteraan adalah alternatif yang tulen dan wajar ketika ini. Seperti yang dilaporkan dalam ‘The Guardian’, Jonathan Freedland berkata:

“Tindakan bagi (membantu) pelarian bukan sahaja bermaksud mengalu-alukan kedatangan mereka, bahkan menyelesaikan masalah yang menyebabkan mereka meninggalkan kampung halaman mereka…memerlukan tindakan…usaha antarabangsa untuk menghentikan bukan sahaja pembunuh dalam kalangan ISIS bahkan bom-bom Bashar al-Assad”.

Walaupun masyarakat awam tidak menerima gambaran akan berlakunya peperangan melawan Assad, BBC mendedahkan bahawa barisan kabinet UK sedang mempertimbangkan untuk menggerakkan ketenteraan mereka ke Syria.

Dengan krisis pelarian yang diarus perdanakan dan ketakutan terhadap kesesakan pelarian yang akan membanjiri sempadan Eropah, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain komited dalam usaha campur tangan. Dilaporkan dalam ‘The Guardian’ bahawa:

“Keperluan Eropah untuk memastikan kelangsungan kedudukannya dalam dunia yang lebih luas sudah kerap dibincangkan sebagai suatu agenda setelah urusan dalaman diselesaikan, namun saat itu sentiasa ditangguhkan. Sedangkan dunia selebihnya tidak menunggu. Masyarakat yang takut ditindas sedang mengerumuni pagar (sempadan) Eropah”.

 

Keamanan untuk rakyat Syria dan masyarakat dunia

Sementara banyak negara cuba untuk membantu dan memberikan perhatian terhadap krisis pelarian ini, jenayah peperangan dan campur tangan haram yang berlanjutan selama berdekad ini tidak melihat sebarang tindakan undang-undang atau keadilan dilaksanakan terhadap pihak atau pemimpin yang bertanggungjawab.

Bush, Cheney, Rumsfeld, Rice, Powell dan pentadbiran Amerika Syarikat sebelumnya yang mencetuskan peperangan demi menjayakan dasar imperialisme mereka sedang menikmati imuniti tanpa sebarang kebertanggungjawaban.

Masyarakat dunia harus membuka mata ke arah masa depan yang lebih cerah. Mereka mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju dan dasar kerajaan negara mereka sekiranya mereka mahukan keamanan dan kestabilan bukan sahaja di negara masing-masing malahan di seluruh dunia. Hari ini Syria menangisi berjuta-juta kematian, dan tidak mustahil tempias tragedi itu tidak akan terkena kepada kita sekiranya kita merelakan sebarang campur tangan kuasa asing berlaku.

 

Danial A. Shaari

Penganalisis Iris

 

Sumber:

  1. Sarah Wolff, “US and EU Engagement with Islamists in the Middle East and North Africa”, Translantic Academy.
  2. Bill Van Aucken, “Who Is Responsible for the Refugee Crisis in Europe?”, The Global Research.
  3. Adam Johnson, “The Syrian Refugee Crisis and the ‘Do Something’ Lie”, The Global Research.
  4. BlackCattie, “Mainstream Media Solution: ‘Bomb Assad and Save the Refugees”, The Global Research.
  5. Nafeez Ahmad, “Syria intervention plan fuelled by oil interests, not chemical weapon concern”, The Guardian.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Video: Polis Hungary Beri Makan Pelarian ‘Macam Binatang’

Next Post

Jurukamera TV Hungary Dirakam Menendang Kanak-kanak Pelarian

Related Posts
Skip to content