Dana Shariah China A-Shares ETF Value Partners mula disenaraikan di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR -Value Partners Group Ltd telah berjaya menyenaraikan dana VP-DJ Shariah China A-Shares 100 ETF, dana dagangan bursa (ETF) Saham- A pertama di dunia, di Bursa Malaysia.

ETF Shariah China A-Shares mula disenaraikan di Pasaran Utama pada harga terbitan awal RM2 seunit.

Pengasas bersama, pengerusi bersama dan ketua pegawai pelaburan bersama Value Partners Datuk Seri Cheah Cheng Hye berkata ETF Shariah China A-Shares menggunakan pakai ciri patuh Syariah dan berpengkhususan dalam pelaburan sekuriti di China.

“Kami sangat berterima kasih kepada Bursa Malaysia kerana menyediakan platform dan berharap ia akan menjadi pusat global untuk produk patuh Syariah melabur dalam sekuriti China,” katanya pada majlis penyenaraian yang diadakan secara maya hari ini.

ETF Shariah China A-Shares dilancarkan secara rasmi pada 12 Julai, 2021 dan dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh Value Partner Group, Value Partners Asset Management Malaysia Sdn Bhd.

Cheah berkata ETF memberi pendedahan kepada pelabur mengenai saham patuh Syariah dalam lingkungan dunia ekuiti Saham-A China.

“Apabila kehendak pelaburan pelabur Malaysia terus berkembang, pelbagai instrumen pada kos yang lebih murah dengan akses cepat akan terus memainkan peranan penting dalam membina portfolio pelabur.

“Justeru, Bursa Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam menyediakan akses kepada pelabur melalui ETF seperti ETF Value Partners Shariah China A-Shares,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Muhamad Umar Swift, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan penyenaraian hari ini akan memberi peluang untuk meningkatkan pasaran ETF di Malaysia.

“Bagi memanfaatkan trend positif ini, bursa  akan terus mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan ekosistem bagi menyokong pengembangan dan pertumbuhan produk ETF baharu,” katanya.

Ini, menurut beliau termasuk meningkatkan kesedaran dan keterlihatan ETF dalam kalangan pelabur, serta memperluas saluran pengedaran untuk menjadikan pelaburan di ETF lebih mudah diakses.

“Sokongan berterusan dari pihak pengawal selia dan penggubal dasar melalui inisiatif seperti lanjutan  lima tahun pengecualian duti setem untuk ETF yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecairan dan urus niaga ETF di pasaran domestik,” tambah beliau.

Di peringkat global, Bursa Malaysia terus menyaksikan populariti ETF yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur, katanya sambil menambah bahawa ETF disukai kerana mudah diakses, kepelbagaian kos rendah dan pelbagai peluang perdagangan.

Sejak diperkenalkan pada awal tahun 1990-an, pasaran global untuk ETF telah menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa, dengan aset di bawah pengurusan dijangka melebihi RM36.9 trilion menjelang 2022.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

AS sedia bekerjasama ‘bangunkan semula’ Indo-Pasifik Pasca-COVID

Next Post

MAHB catat penurunan jualan komersial sebanyak 85 peratus

Related Posts
Skip to content