Malaysia akan menjadi negara boneka China seperti Australia?

Selaku Ketua Editor kepada buku PenChinaan Malaysia, saya telah berhubung dengan beberapa orang pengkaji di serata dunia yang sama memerhatikan pola pelaburan China ini dan apakah bentuk implikasi yang akan datang terhadap negara masing-masing.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakan pengkaji dari Australia Prof Clive Hamilton kerana berjaya juga melancarkan dan menerbitkan buku beliau Silent Invasion: How China is turning Australia into a puppet state?

atau dalam bahasa Melayunya disebut sebagai Penjajahan senyap: Bagaimana China menukar Australia menjadi negara boneka?

Beberapa buat syarikat penerbitan telah menolak untuk menerbitkan buku beliau kerana takut disaman oleh China, dan juga proksi Beijing di Australia. Sepatutunya buku beliau ini, dilancarkan pada tahun lepas oleh Allen & Unwin, dan juga Melbourne University Press.

Apabila bertukar-tukar pandangan dan melihat pola yang berlaku bersama pengkaji  di Afrika, Australia, New Zealand, Pakistan, dan Eropah. Konsep dan modus operandi ternyata sama.

China akan mengunakan ejen-ejen dan proksi mereka di negara-negara terbabit. Dalam kes di Australia, ribuan ejen China telah berintegrasi dalam kehidupan awam di sana. Sama ada menyelinap masuk dalam politik, akademik, perniagaan, menjadi paderi di gereja-gereja dan juga mempengaruhi media dan para jurnalis. Hal ini menjadi mudah dengan bantuan segelintir diaspora Cina di Australia yang sangup menjadi proksi kepada kerajan Beijing.

Beijing Bob

Dalam satu bab yang ditulis dalam buku ini, berjudul Beijing Bob didedikasikan khas buat bekas Menteri Luar dari parti Buruh Bob Carr.

Carr menyokong kenyataan dan tindakan Pro China selepas beliau didapati mendapat dana, melalui institut yang diterajui beliau Australia China Research Institute (ACRI), sebanyak 1.8 Juta Dollar dari Huang Xiangmo. Jutawan yang terlibat melobi banyak ahli-ahli parti politik supaya mengubal polisi Australia supaya pro kepada China.

Huang Xiangmo juga mempunyai hubungan bersama Malcolm Turnbull Perdana Menteri Australia, dan memberi dana pilihan raya yang banyak kepada parti beliau.

Gambar Huang bersama Perdana Menteri Australia Malcom Turnbull semasa sambutan Tahun Baru Cina di Sydney

Jelas disini China membuat lobi kepada kedua-dua parti komponen di Australia, Parti Liberal dan juga Parti Buruh.

Malaysia.

Di Malaysia, modus operandi yang digunakan juga tidak jauh berbeza. Dalam buku PenChinaan Malaysia, kami memberi contoh berdasarkan berita-berita yang dikumpul dan diperhati sejak tahun 2011 lagi.

Dr James Jiann Hua Toa menulis dalam bukunya Qiaowu- Extra Territorial Policies of Overseas Chinese (Qiaowu-Polisi Wilayah Tambahan Diaspora China), menjelaskan secara terperinci di dalam buku beliau bagaimana China menggunakan diaspora Cina sebagai alat untuk mereka merebut pelbagai kepentingan ekonomi dan politik. Hal ini sebagai salah satu langkah untuk mengukuhkan hegemoni China di peringkat antarabangsa. Mereka menubuhkan satu unit yang dikenali sebagai “OC affairs work” (huaqiao shiwu gongzuo ) singkatannya adalah qiaowu.

Unit Qiaowu akan mengenal pasti Huaren yang berbakat dan akan melakukan pendekatan memenangi kepercayaan mereka. Unit Qiaowu akan mengenal pasti Huaren yang berpontesi dengan melakukan infiltrasi dan penyebaran propaganda melalui:

  • Pusat-pusat Pendidikan.
  • Persatuan-persatuan Cina.
  • Dewan Perniagaan Cina.
  • Syarikat-syarikat Pelaburan Cina.
  • Bank Cina.
  • Agensi Travel Cina.
  • Pekerja Kontrak.
  • Pendanaan Media


Institusi Pengajian Tinggi

Terdapat beberapa bentuk “soft power” yang dijalankan oleh China dengan kerjasama diaspora Cina di Malaysia melibatkan institusi pengajian tinggi. Salah satunya adalah melalui projek pembangunan institusi pengajian tinggi seperti penubuhan Universiti Xiamen Malaysia di Salak Tinggi, Shanghai Jiaotong University yang bakal dibina di Sarawak dan beberapa kolej swasta dan persendirian. Untuk penulisan ini, Universiti Xiamen Malaysia akan menjadi topik utama untuk dibincangkan kerana ia merupakan antara projek utama yang melibatkan institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Menurut akhbar The Star bertarikh 7 Mei 2017M, Universiti Xiamen Malaysia menawarkan geran istimewa sehingga 100 peratus kepada pelajar India dan Bumiputera. Langkah itu dilihat untuk menarik lebih ramai lagi rakyat Malaysia untuk menyertai universiti tersebut dan  dilihat sebagai salah satu langkah soft power dalam bidang pendidikan China. Menurut satu analisis di Foreign Policy, Universiti Xiamen Malaysia akan menjadi hub pendidikan China di rantau Asia Tenggara, dengan modus operandi melatih pemimpin muda supaya mempunyai cara fikir menurut acuan China dan lebih pro kepada dasar-dasar yang diketengahkan oleh kerajaan China.

 

Dalam akhbar The Star bertarikh 13 Mac 2016M dengan tajuk “No easy end to SPM Chinese Saga”, Presiden Persekutuan Persatuan Cina di Malaysia (HuaZong) iaitu Pheng Yin Huah mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengkaji semula sistem peperiksaan yang melibatkan bahasa Cina SPM. Pheng menambah lagi, melalui inisiatif One Belt, One Road, peluang melanjutkan pelajaran di China semakin meningkat dan seharusnya peluang tersebut tidak dilepaskan oleh pelajar Cina di Malaysia untuk terus menguasai bahasa Cina bagi menjamin masa depan mereka.

Malaysia juga tidak ketinggalan. Pada tahun 2015, Confucius institute telah dibuka dengan usaha sama SEGI University. Pembukaan tersebut telah dirasmikan oleh Huang Peiyi, Pengarah Perhubungan Luar, Hainan Normal University, China dan disaksikan oleh pengarah-pengarah tertinggi SEGI University. Selain SEGI,  Universiti Malaysia juga merupakan antara yang terawal membina koloborasi dengan Chinese Language Council International Office (Hanban) di China  dalam penubuhan Institusi Kong Zi .

Meurut Professor Jiang Yinlian, Pengarah institusi Kong Zi di Universiti Malaya, penubuhan tersebut telah banyak membantu dalam  mengukuhkan hubungan antara rakyat China dan Malaysia melalui medium bahasa dan kefahaman budaya. Dalam satu temubual dengan akhbar China Xinhua, Jiang menyebut, bahasa adalah medium terbaik bagi membina jambatan hubungan yang erat dan merapatkan jurang perbezaan dalam kalangan masyarakat majmuk pelbagai budaya seperti di Malaysia.

Media

China juga menyebarkan soft power mereka melalui media, sebagai alat propaganda yang penting. Di bawah boleh diperhatikan bentuk perjanjian-perjanjian yang telah dimeterai.

Kerajaan Malaysia telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan China dalam bidang media pada 24 Januari 2017. Memorandum persefahaman (MoU) ini adalah antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan CICC. CICC atau singkatan kepada China Intercontinental Communication Centre ditubuhkan di Beijing pada Disember 1993.

 

Kerjasama Politik

Pengaruh soft power China bukan sahaja dapat dilihat dalam bidang ekonomi, pendidikan, media, bahasa dan budaya, tetapi juga dapat dilihat melalui bidang politik. Tidak dinafikan hubungan yang sangat erat antara MCA dan Parti Komunis China (PKC) telah terjalin melalui pelbagai kerjasama antara mereka. Perkara ini disokong oleh Presiden MCA sendiri iaitu Datuk Seri Liow Tiong Lai yang ingin mengeratkan hubungan bersama PKC dengan menjalinkan kerjasama terutamanya dalam bidang pendidikan dan kebudayaan dengan PKC.

Kehadiran wakil PKC di Mesyuarat Agung Tahunan MCA ke-63 menimbulkan tanda tanya terhadap hubungan antara kedua-dua parti tersebut. Wakil PKC juga sempat menyampaikan surat ucapan tahniah atas pelantikan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Presiden MCA yang baharu. Ini menunjukkan bahawa kerjasama antara kedua-dua parti ini bukan hanya terbatas pada bidang pendidikan dan budaya malah juga dalam bidang politik.

MCA juga menafikan dalam satu laporan akhbar di The Star pada 16 Mei 2017 bahawa ahli-ahlinya yang dilatih dan dihantar menjalani latihan politik di Akademi Latihan Kepimpinan Parti Komunis di Pudong, China sebagai menjalani lawatan biasa sahaja dan bukannya menerima sebarang doktrinisasi oleh Parti Komunis China

Persoalan yang boleh kita timbulkan, adakah kerjasama- kerjasama seperti ini boleh menghakis nilai taat setia kepada negara? Sejauh mana diaspora ini telah digunakan sebagai alat untuk melaksanakan agenda politik China? Ataupun kerjasama ini hanyalah kerjasama politik biasa yang tiada sebarang kepentingan dan manfaat ?

Kesimpulan.

Contoh-contoh yang diberikan ini hanyalah secebis dari data-data yang berjaya dikumpulkan. Pelancaran buku ini bukanlah bertujuan meraih undi politik, kerana kami (IRIS INSITUTE) merupakan sebuah badan kajian tidak berkepentingan. Hasrat kami hanyalah untuk:

  1. Memupuk budaya sihat dalam kalangan rakyat negara Malaysia supaya kita boleh berhujah secara sihat dan berdasarkan fakta.
  2. Kami menuntut parti pemerintah agar menghantar wakil untuk mendengar, supaya hujah-hujah yang dikemukakan dapat dibalas berdasarkan fakta. Bukannya mengelak dan memberikan jawapan seperti pihak sekolah setiap kali forum-forum dijalankan.
  3. Kita ingin mengurangkan mudarat apa yang bakal terjadi kepada Malaysia, dan ingin mengelakkan agar Malaysia terjatuh ke dalam perangkap hutang dan menjadi negera boneka.
  4. Adalah lebih sihat jika wacana seperti ini dapat dikembangkan dan dipapar kepada rakyat. Kami tidak mahu isu ini hanya sekadar menjadi modol undi pilihan raya sahaja, tetapi berpanjangan dan berkesinambungan kajian yang dijalankan.
  5. Penulisan dan kajian ini hanyalah berlaku pada peringkat awal sahaja. Kami menuntut supaya usaha kenal pasti siapakah ejen-ejen kerajaan China di Malaysia dilakukan. Siapakah mereka yang telah menjual kedaulatan negara untuk kepentingan diri sendiri? Ahli politik, ahli akademik? Ahli perniagaan? Media? Siapakah mereka?

Dengan ini kami menjemput Tuan, Puann yang berminat untuk sama-sama hadirkan diri ke pelancaran buku PenChinaan Malaysia: Tergadaikah Tanah Kedaulatan Bangsa? Majlis pelancaran ini akan menampilkan beberapa orang panelis iaitu Dr Ahmad Murad Abd Halim Pakar Perdagangan Asing China dan mempunyai pengalaman belajar dan bekerja di China selama 15 tahun, juga En Abdul Muein Abadi Pensyarah Sains Politik UKM mengkaji tentang strategi China di Laut China Selatan dan juga En Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim selaku CEO IRIS INSTITUTE pakar dalam bidang strategi dan keselamatan antarabangsa.

Masa: 8.30-12.30 tengah hari
Tarikh: 7 Mac 2018
Tempat: Hotel Tenera Bangi

Masuk adalah percuma.

Link Pendaftaran: https://www.eventbrite.co.uk/e/majlis-pelancaran-buku-penchinaan-malaysia-umum-tickets-43737901240

Preorder Buku: http://bit.ly/PreOrderPengChinaanMalaysia

 

OLEH: 

ASYRAF FARIQUE
KETUA EDITOR BUKU PENCHINAAN MALAYSIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Padan Muka Amerika Dibelasah Turki

Next Post

Al Jazeera lapor 3 negara bantu cubaan rampas kuasa Qatar

Related Posts
Skip to content