Malaysia Mula Cenderung kepada China Dalam Krisis Laut China Selatan, Beri Amaran kepada Campur Tangan Amerika Syarikat

Pada 25 April 2024, Malaysia menyatakan pendiriannya dalam isu Laut China Selatan dengan menentang campur tangan kuasa luar ketika sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China di Beijing. Meskipun Menteri Luar Malaysia, Mohamad Hasan tidak menyatakan dengan jelas siapakah “kuasa luar” tersebut, kenyataanya senada dengan China yang menggunakan istilah “kuasa luar” untuk mengkritik campur tangan Amerika Syarikat dalam krisis di Laut China Selatan. (SCMP)

Lawatan rasmi Malaysia ke China berlangsung ketika Filipina dan Amerika Syarikat sedang melakukan latihan ketenteraan Balikatan 2024 dari 22 April hingga 18 Mei. Latihan Balikatan ini dilaporkan yang terbesar pernah dilakukan melibatkan lebih 16,700 askar Filipina dan Amerika Syarikat di samping ia merupakan operasi yang paling meluas sehingga ke pinggir zon ekonomi eksklusif Filipina. Selain Filipina dan Amerika Syarikat, tentera laut Australia dan Perancis juga mengambil bahagian bersama 14 negara pemerhati yang lain. (The Guardian, Benar News).

Di sebalik latihan Balikatan ini, Filipina dipersiapkan dengan teknologi ketenteraan baharu yang diperoleh daripada Amerika Syarikat termasuk dua sistem peluru berpandu canggih iaitu Spyder dan Typhon. Selain itu, Filipina juga bakal menerima bantuan ketenteraan sebanyak US$2.5 bilion daripada A.S. di bawah akta baharu yang diperkenalkan oleh Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat A.S. iaitu Akta Ketahanan Dipertingkat Filipina 2024. (SCMP, Kaine Senate).

Perkembangan ini menunjukkan Malaysia mula cenderung kepada China di peringkat global atau di Laut China Selatan khususnya. Kecenderungan ini disokong dengan peningkatan pelaburan dari China dan sikap lembut Malaysia dalam menangani pencerobohan kapal tentera China. Laporan tinjauan ISEAS 2024 menyatakan peratusan kecenderungan Malaysia kepada China meningkat daripada 54.8 peratus pada 2023 kepada 75.1 peratus pada 2024. Manakala, kecenderungan kepada Amerika Syarikat pula menjunam kepada 24.9 peratus pada 2024. (ISEAS)

Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute

Berita ini dikemas kini pada 2 Mei 2024.

**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Bank Dunia Gesa Malaysa Tingkatkan Kutipan Cukai dalam Negara, Dijangka Bagi Membiayai Inisiatif Berkaitan SDG

Next Post

Normalisasi Saudi-Israel dijangka Seawal Tahun Ini, Bakal Jalinkan Pakatan Keselamatan dengan Amerika Syarikat dan Tubuhkan Kerajaan Proksi di Gaza

Related Posts
Skip to content