11hb Mei 2021
Dalam sebuah laporan yang diterbitkan oleh Sin Chew dalam bahasa Mandarin, Hamas digelar sebagai “Kumpulan Militan Islam Hamas”. Kenyataan ini sememangnya menimbulkan persoalan, adakah media ini memberikan sokongan kepada kekejaman yang dilakukan oleh Zionis Israel sambil mengecam tindakan yang dilakukan oleh Hamas?
Berikut merupakan terjemahan penuh berita yang telah disunting dari sumber asal:
Keadaan tegang antara Israel dan Palestin semenjak beberapa hari lalu memuncak dan mengakibatkan berlakunya insiden berbalas serangan. Kumpulan militan Islam Hamas di tebing Gaza telah menembak roket ke Jerusalem dan Selatan Israel pada hari Isnin. Tentera Israel telah membalas dengan serangan udara dan mendakwa telah membunuh seorang komander kanan Hamas. Jabatan Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 20 orang mati dalam serangan udara tersebut, antaranya adalah 9 kanak-kanak manakala 65 orang dilaporkan cedera.
Terdahulu, Hamas telah meminta tentera Israel untuk mengarahkan anggota polis yang berada di Masjid Al-Aqsa berundur, dan bila tempoh diberi tamat, Hamas telah melancarkan beberapa serangan roket sebagai respon kepada pencerobohan masjid Al-Aqsa.
Ini adalah serangan roket pertama Hamas ke Israel semenjak 2014 yang juga merupakan keadaan paling tegang antara Israel dan Palestin sejak beberapa bulan lepas.
Menurut tentera Israel, Hamas telah melancarkan lebih dari 150 buah roket. Perdana Menteri Israel Netanyahu berkata Hamas telah melepasi “Garis Merah”, dan pihaknya akan bertindak balas dengan kekuatan. Setiausaha Negara AS Blinken meminta Gaza untuk segera menghentikan serangan roket, selain meminta semua pihak mengambil langkah mengurangkan ketegangan.
Sejak bulan Ramadan, konflik antara Israel dan Palestin terus berlanjutan, keadaan bertambah tegang sejak “Hari Jerusalem” minggu lepas yang memperingati pendudukan Jerusalem Timur pada 1967.
Selain itu, sekumpulan penunjuk perasaan Palestin telah melempar batu ke arah polis Israel yang dikerahkan di luar Masjid Al-Aqsa di Jerusalem pada Isnin pagi menyebabkan
polis Israel bertindak memasuki masjid, melepaskan gas pemedih mata dan tembakkan peluru getah bagi menyuraikan kumpulan tersebut. Menurut Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin, 300 warga Palestin cedera dalam insiden itu, dengan 228 dihantar ke hospital dengan kebanyakkannya berada dalam keadaan kritikal. Pihak polis Israel melaporkan 21 anggotanya mengalami kecederaan.