Ringkasan Eksekutif
Model SG+ merupakan inisiatif Singapura untuk menjadi hab logistik dan rantaian bekalan global khususnya di Asia Tenggara. Model SG+ ini melibatkan pelbagai negara di Asia Tenggara terutamanya Vietnam, Malaysia-Johor (SG+Johor) dan Indonesia-Batam, Bintan, Karimun (SG+BBK). Setakat ini, model berkembar SG+ diterjemahkan melalui penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Batam-Bintan-Karimun (BBK-SEZ). Model SG+ ini diperkenalkan sebagai penyelesaian untuk mengukuhkan rantaian bekalan global yang terganggu apabila berlaku pandemik COVID-19 dan konflik geopolitik antarabangsa. Model SG+ ini dilihat lebih menguntungkan Singapura yang fokus kepada aktiviti ekonomi bernilai tinggi seperti perkhidmatan perniagaan dan kewangan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) berbanding negara-negara Asia Tenggara lain seperti Malaysia yang terlibat dalam aktiviti ekonomi bernilai lebih rendah seperti pembuatan dan pemasangan produk.
SG+ Sebagai Inisiatif Singapura Kukuhkan Kedudukan Sebagai Hab Logistik Asia Tenggara
Singapura melancarkan SG+ “twinning model” untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab logistik dan rantaian bekalan global dan menjadi pintu masuk bagi Asia Tenggara. Satu pakatan telah dibentuk untuk meluaskan lagi pelaksanaan model ini iaitu Southeast Asia Manufacturing Alliance (SMA). Pakatan ini merupakan platform kerjasama bagi negara-negara anggota untuk meningkatkan daya saing, inovasi, dan efisiensi dalam industri pembuatan. Setakat ini, SMA meliputi lebih 10 kawasan perindustrian di Thailand, Indonesia, Malaysia dan Vietnam, seperti Nusajaya Tech Park di Malaysia, Kawasan Perindustrian Batam di Indonesia, Kawasan Perindustrian Maptaput di Thailand dan Kawasan Perindustrian Vietnam Singapura[1]. Model SG+ ini menggunakan pakatan SMA sebagai medium untuk meluaskan rantaian bekalan Singapura yang mana setakat ini melibatkan negara Vietnam, Malaysia dan Indonesia yang dinamakan sebagai SG+ Johor dan SG+ BBK[2]. Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Batam-Bintan-Karimun (BBK-SEZ) merupakan sebahagian daripada perancangan Singapura dalam usaha untuk menjayakan SG+ ini. Model ini telah menggabungkan kelebihan perniagaan dan kekuatan pembuatan serantau di mana Singapura menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan yang canggih serta perkhidmatan kewangan dan logistik, manakala kilang pembuatan yang akan memasang, menguji dan membungkus barangan dibina di negara-negara lain di Asia Tenggara. Barangan yang dihasilkan di kilang-kilang tersebut dihantar semula ke Singapura untuk dipasarkan ke seluruh dunia[3],[4]. Kesimpulannya, model SG+ ini, memfokuskan Singapura kepada aktiviti ekonomi bernilai tinggi manakala negara-negara Asia Tenggara lain hanya terlibat dalam aktiviti ekonomi bernilai rendah.
Kekurangan sumber dan konflik geopolitik faktor pendorong inisiatif SG+
Model SG+ dibuat untuk mengukuhkan lagi perancangan Singapura bagi mendominasi rantaian bekalan dan perdagangan di Asia Tenggara dalam keadaan Singapura tidak memiliki sumber dan tenaga yang mencukupi. Singapura sering dianggap sebagai pilihan utama syarikat multinasional untuk membuka ibu pejabat perniagaan mereka di Asia Tenggara kerana kelebihan dalam R&D, teknologi dan logistik Singapura yang lebih maju dan moden[5],[6]. Kelebihan ini menjadikan Singapura mengambil kesempatan ke atas negara-negara jiran dengan memanfaatkan bekalan buruh, sumber dan tenaga yang ditawarkan pada harga yang lebih rendah untuk meraih keuntungan tinggi dan menjaga kepentingan Singapura[7].
Pandemik COVID-19 dan konflik geopolitik antarabangsa yang berlaku telah menjadi pemangkin kepada perancangan Singapura untuk memperluas pengaruh dan mengukuhkan kedudukan ekonominya di rantau Asia Tenggara. Syarikat-syarikat multinasional bertindak balas kepada masalah gangguan rantaian bekalan global dan nasionalisme ekonomi ekoran pandemik COVID-19 dan konflik geopolitik antarabangsa dengan menggunakan pendekatan glokalisasi. Mereka mencari dan menggunakan pembekal tempatan dalam rantaian bekalan mereka untuk pembangunan dan pengedaran produk atau perkhidmatan mereka secara global[8]. Dalam kes JS-SEZ, Johor menjadi pembekal tanah, air, buruh, dan tenaga kepada Singapura dan syarikat multinasional yang telah melabur untuk beroperasi mengikut model SG+[9]. Dalam kata lain, Malaysia secara menyeluruh tidak mempunyai perancangan dan hala tuju sendiri dalam membangunkan sumber dan potensi tempatan tetapi hanya mengikut dan memenuhi perancangan asing.
Pihak terlibat disebalik perancangan SG+
Model SG+ ini telah dikeluarkan oleh Singapore Economic Development Board (EDB), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura yang bertanggungjawab membuat strategi untuk meningkatkan kedudukan Singapura sebagai pusat perniagaan, inovasi dan bakat global. Pada 3 Februari 2021, EDB, Enterprise Singapore (ESG), dan pihak swasta seperti CapitaLand, Gallant Venture dan Sembcorp Development telah melancarkan Southeast Asia Manufacturing Alliance (SMA) untuk menjayakan perancangan Singapura menjadi hab ekonomi dan pintu masuk Asia Tenggara. Selain itu, aktor elit global seperti InCorp Global, EY dan Deloitte berperanan mempromosi model SG+ dan menawarkan perkhidmatan perundingan kepada syarikat-syarikat yang berminat untuk menyertai model ini berkenaan dengan pembukaan syarikat, pendaftaran harta intelek dan semua yang berkaitan sehinggalah kepada diskaun pembayaran cukai.
SG+ kekalkan negara Asia Tenggara terlibat dalam aktiviti ekonomi bernilai rendah dan sederhana
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah menyatakan hasrat supaya zon ekonomi khas Johor, boleh menjadi seperti Shenzhen Asia Tenggara[10]. Hasrat ini telah bermula sejak tahun 2006 lagi. Shenzhen telah menjadi tempat limpahan pembangunan dari Hong Kong yang dilihat mempunyai kedudukan geografi yang hampir sama dengan Johor dan Singapura. Apa yang berlaku di Shenzhen suatu ketika dahulu menyaksikan perubahan polisi yang berlaku hanya menguntungkan pelabur dan pemaju berbanding penduduk dan kerajaan tempatan[11]. Mengambil kira kajian yang telah dibuat terhadap Shenzhen, sekiranya Johor ingin menjadi Shenzhen Asia Tenggara dikhuatiri dasar dan polisi baharu, akan lebih memenuhi kepentingan syarikat dan pelabur asing berbanding penduduk tempatan yang sekadar mendapat tempias pulangan pembangunan yang kecil. Justeru, model SG+ ini akan mengukuhkan pengaruh dan kuasa Singapura terhadap kawasan yang menjadi hak milik Singapura di negara-negara Asia Tenggara.
Selain itu, model SG+ ini menjadikan Singapura sebagai pusat tumpuan aktiviti ekonomi bernilai tinggi sedangkan negara-negara Asia Tenggara lain hanya terlibat dalam aktiviti ekonomi bernilai rendah. Keadaan ini tidak akan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global apabila hanya menjalankan aktiviti pembuatan bahagian belakang atau “back-end” seperti pemasangan, pembungkusan dan pengujian[12]. Justeru, sukar bagi Malaysia untuk keluar daripada perangkap pendapatan menengah sekiranya masih kekal pada aktiviti ekonomi bernilai rendah dan sederhana.
Syarikat-syarikat antarabangsa membuka ibu pejabat di Singapura untuk meluaskan perniagaan di seluruh ASEAN dan Asia kerana Singapura memiliki akses kepada jaringan perdagangan yang luas seperti ASEAN-China, ASEAN-Hong Kong, dan perjanjian perdagangan bebas (FTA) ASEAN-India[13]. Singapura juga menjadi tumpuan pelaburan global dalam sektor korporat dan teknologi, berbanding negara-negara Asia Tenggara yang menawarkan sumber air, tanah, dan buruh pada harga yang lebih rendah untuk aktiviti pembuatan[14]. Justeru, model SG+ ini bukan sahaja menjadikan Singapura hab logistik dan rantaian bekalan global di Asia Tenggara malah akan mengekalkan jurang pembangunan ekonomi antara Singapura dengan negara-negara Asia Tenggara.
Kesimpulan
Singapura memiliki perancangan yang lebih proaktif dan terkehadapan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab logistik dan rantaian bekalan global bagi Asia Tenggara. Malaysia pula lebih reaktif dan cenderung mengikut perancangan asing dalam pembangunan ekonominya. Model SG+ ini dilihat lebih menguntungkan Singapura yang fokus kepada aktiviti ekonomi bernilai tinggi berbanding Malaysia yang terlibat dalam aktiviti ekonomi bernilai lebih rendah. Sekiranya Malaysia tidak membangunkan keupayaan perindustrian untuk meningkatkan kedudukannya dalam rantaian nilai global, Malaysia akan kekal dalam perangkap pendapatan menengah dan rakyat hanya mendapat tempias pulangan ekonomi yang kecil.
Rujukan
ASEAN Briefing. (N.d). Why Do Foreign Businesses Relocate to Singapore?
Bloomberg. (2024, May 13). ‘Shenzhen of Southeast Asia’: Malaysia’s Johor plays up Singapore-linked special economic zone. South China Morning Post.
Economic Development Board (EDB). (5 December 2022). Manufacturers: Expand supply chains in Southeast Asia and enjoy these benefits.
Economic Development Board (EDB). (N.d). Infografik.
Economic Development Board (EDB). (30 April 2024). SG+: Twin to win the supply chain long game with Singapore as the gateway to Southeast Asia. Singapore Economic Development Board.
Go Global Gem. (N.d). Singapore+1 Strategy: Upgrading, Transforming, Automating.
IRIS Institute. (2024). Peranan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam memenuhi keperluan nasional Singapura. Fokus.my.
InCorp. (8 March 2024). Why is the SG+ Twinning Model a Winning Supply Chain Strategy?
Zhu, J. (1994). Changing Land Policy and its Impact on Local Growth: The Experience of the Shenzhen Special Economic Zone, China, in the 1980s. Urban Studies, 31(10), 1611–1623.
Lim, L,W & Tay,X. (13 Jun 2024). Commentary: As Johor-Singapore SEZ plans accelerate, who stands to benefit?
Theresa, H & Cate, M. (22 October 2021). How diverse sourcing can create more resilient supply chains. Ernst & Young (EY).
Nota Kaki
Go Global Gem. (N.d). Singapore+1 Strategy: Upgrading, Transforming, Automating ↑
Economic Development Board (EDB). (5 December 2022). Manufacturers: Expand supply chains in Southeast Asia and enjoy these benefits ↑
InCorp. (8 March 2024). Why is the SG+ Twinning Model a Winning Supply Chain Strategy? ↑
Economic Development Board (EDB). (N.d). Infografik. ↑
InCorp. (8 March 2024). Why is the SG+ Twinning Model a Winning Supply Chain Strategy? ↑
Economic Development Board (EDB). (30 April 2024). SG+: Twin to win the supply chain long game with Singapore as the gateway to Southeast Asia. Singapore Economic Development Board. ↑
InCorp. (8 March 2024). Why is the SG+ Twinning Model a Winning Supply Chain Strategy? ↑
Theresa, H & Cate, M. (22 October 2021). How diverse sourcing can create more resilient supply chains. Ernst & Young (EY). ↑
IRIS Institute. (2024). Peranan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam memenuhi keperluan nasional Singapura. Fokus.my. ↑
Bloomberg. (2024, May 13). ‘Shenzhen of Southeast Asia’: Malaysia’s Johor plays up Singapore-linked special economic zone. South China Morning Post. ↑
Zhu, J. (1994). Changing Land Policy and its Impact on Local Growth: The Experience of the Shenzhen Special Economic Zone, China, in the 1980s. Urban Studies, 31(10), 1611–1623. ↑
EDB Singapore. (June 21, 2021). Twin to win: How manufacturing companies in Singapore are growing in the region. ↑
ASEAN Briefing. (N.d). Why Do Foreign Businesses Relocate to Singapore? ↑
Lim, L,W & Tay,X. (13 Jun 2024). Commentary: As Johor-Singapore SEZ plans accelerate, who stands to benefit? ↑