Morsi, Qaradawi Dihukum Mati

mohammed-morsi-8
KAHERAH, 17 Jun – Dr Muhammad Morsi, Presiden Mesir pertama dalam sejarah negara tersebut yang dilantik secara demokrasi dan adil, telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Jenayah Mesir semalam berhubung tuduhan cubaan melepaskan diri dari penjara di Wadi Natroun sepanjang Revolusi Januari 2011.

Mahkamah tersebut juga telah menjatuhkan hukuman yang sama ke atas 99 ahli dan penyokong Ikhwan Muslimin (IM) termasuk Dr Muhammad Badie, Dr Saad Al-Katatni, Dr Esam Eryan dan seorang tahanan wanita Sandos Asem serta Syeikh Yusuf Al-Qaradawi di Qatar.

Mahkamah Jenayah Mesir telah menjatuhkan hukuman mati tersebut pada awal Mei tahun ini dan telah mendapat persetujuan Mufti Negara Mesir, Syeikh Ali Jumaah pada 17 Mei. Perbicaraan 16 Jun telah mengesahkan hukuman tersebut setelah perbicaraan kes pada 2 Jun ditunda, namun keputusan ini masih boleh dibuat rayuan di Mahkamah Tinggi Mesir.

Pada awal hari yang sama, Dr Morsi bersama Dr Muhammad Badie dan 12 tahanan politik yang lain telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selama 25 tahun (mengikut undang-undang Mesir) atas tuduhan bersekongkol dengan pihak luar iaitu Hamas dari Palestin dan Hezbollah dari Lebanon yang boleh mengancam keselamatan Mesir.

Sementara Ir Khayrat Shateer dan 15 tahanan yang lain dijatuhkan hukuman mati atas tuduhan yang sama.
Ekoran keputusan berat sebelah mahkamah tersebut, sistem keadilan Mesir telah dicemuh dan mendapat kritikanhebat daripada pelbagai pihak.

 

Respon pelbagai pihak
Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan telah menyifatkan tragedi ini sebagai ‘kehancuran undang-undang dan hak asasi’ selain menyeru komuniti antarabangsa untuk membantah keputusan mahkamah tersebut.

“Kami (Turki) menyeru semua komuniti antarabangsa untuk bertindak supaya hukuman mati yang dijatuhkan di bawah pemerintahan rejim tentera ini dibatalkan, dan menamatkan penganiayan ini yang boleh mengancam keamanan rakyat Mesir,” kata beliau sejurus perbicaraan kes tersebut.

Nader Oman, jurucakap Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) sayap parti IM juga menyuarakan kekecewaan beliau atas keputusan mahkamah tersebut.

“Saya tidak menyangka akan keputusan tersebut kerana dakwaan yang dikenakan amat tidak berasas dan tiada ruang kepada defenden untuk membela diri” kata Nader dari ibu pejabatnya di Istanbul, Turki. Tambah beliau, “Ikhwan Muslimin adalah sebuah organisasi yang telah aktif berjalan selama lebih 80 tahun. Memenjarakan pimpinan kami tidak akan menghentikan kami daripada terus berjuang”.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB juga dalam satu kenyataan menzahirkan kerisauan beliau ke atas kestabilan jangka masa panjang rakyat Mesir atas hukuman mati Dr Morsi yang dijatuhkan Mahkamah Jenayah Mesir.

 

Sumber : AlJazeera, MEM, Ahramonline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Australia Dikecam Kerana Menolak Pelarian Rohingya

Next Post

Donald Trump Bertanding Jawatan Presiden

Related Posts
Skip to content