New Delhi: Imej satelit terbaru analisa daripada Kolonel (B) Vinayak di laman The Print menunjukkan kerja-kerja pembinaan telah bermula di pelabuhan Gwadar, Pakistan. Pelabuhan ini telah dipajak secara jangka panjang kepada syarikat China selama 45 tahun, sehingga 2059.
Projek ini kelihatan lebih sesuai untuk dijadikan pangkalan tentera pada masa hadapan, bukannya pelabuhan komersial.
Imej satelit belum menunjukkan ciri-ciri pangkalan tentera China utama seperti di Djibouti tetapi sekurang-kurangnya dua lokasi yang strategik ini diperuntukkan untuk menampung infrastruktur ketenteraan pada masa hadapan.
Gwadar mempunyai kepentingan strategik kerana lokasi geografinya di pintu masuk Teluk Parsi yang menjadikannya titik pusat antara Asia Tenggara dan Asia Tengah. Kebanyakan Talian Komunikasi Laut Dunia (SLOCs) – di mana kebanyakan aliran perdagangan global – boleh dipantau dari Gwadar.
China sedang mengeksploitasi potensi besar Gwadar ini atas nama memajukan Pakistan, terutamanya di bahagian Balochistan (kawasan yang sangat kaya dengan sumber alam , tetapi ekonomi penduduknya sangat miskin) .
Walaupun pelabuhan ini telah dirasmikan berkali-kali oleh Presiden, Perdana Menteri dan juga ketua penguasa undang-undang tentera, tidak banyak kemajuan dalam pembinaan atau operasi semenjak tahun 2006 sehingga November 2016.
Kemahuan China untuk menjadikan Gwadar sebagai hab utama Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) – sebahagian daripada Belt and Road Initiative (BRI) – maka berlangsungnya beberapa pembinaan atau operasi, namun sangat perlahan.
Imej satelit menunjukkan bahawa pelabuhan ini masih tidak mempunyai jalan atau kemudahan penyimpanan yang betul, terutamanya penyimpanan minyak dan peralatan pengendalian kargo.
Kerja pembinaan di pelabuhan bermula pada bulan November 2016 dan imej satelit dari Google Earth bertarikh 20 Mei 2017 menunjukkan pembinaan yang dijalankan dalam tempoh ini masih terhad.
Akses jalan
Akses jalan ke pelabuhan masih sempit pada kelebaran hanya 5 m. Perbatasan terakhir sepanjang 5 km belum lengkap, kemungkinan kerja pembinaan berjalan dengan perlahan disebabkan oleh bantahan penduduk tempatan. Namun, kerajaan China telah memperuntukkan $ 250 juta sebagai ganti rugi kepada penduduk tempatan.
Saluran air
Kerja-kerja untuk memperdalam saluran air masih belum dimulakan. Pelabuhan ini memerlukan sekurang-kurangnya dua ruang yang cukup besar untuk membolehkan kapal-kapal kargo menukar arah dengan mudah. Walaubagaimanapun, kapal korek (dregers) tidak kelihatan berhampiran dengan pelabuhan sejak sekian lama.
Pangkalan tentera China
Satu kawasan besar yang telah diperuntukkan demi pembangunan pelabuhan pada masa hadapan sedang dimajukan dengan pelbagai jenis bangunan, namun tiada ciri-ciri seperti sebuah terminal. Kemungkinan besar kawasan ini sedang dibangunkan sebagai pangkalan tentera China.
Dua bangunan bertingkat dan sebuah gudang yang sangat besar juga sedang dibina. Dinding penahan di sebelah barat telah dipecahkan untuk membuat laluan lautan ke kawasan pangkalan tentera ini. Kawasan terminal kargo di sebelah timur dan kuarters penempatan kakitangan China juga sedang dibangunkan.
Dermaga kekal sama
Tiada perubahan saiz dan bentuk dermaga. Pada masa kini, hanya tiga kapal boleh ditempatkan di Gwadar pada bila-bila masa. Terdapat lima buah kren berat yang membantu meningkatkan prestasi tempoh masa pemuatan dan pemunggahan barang. Selain itu, tiada kemudahan lain yang ditambah.
Kuarters baru
Sekurang-kurangnya 30 kuarters besar telah dibina baru-baru ini untuk kakitangan China. Kuarters ini disertakan dengan tiga lapisan keselamatan namun hakikatnya pengawal keselamtan hanya ditempatkan di pintu masuk. Padang bola sepak yang besar juga terdapat di kawasan tersebut.
Kawasan penyimpanan
Kawasan berpagar besar berhampiran kuarters telah diperuntukkan untuk penyimpanan bahan binaan dan tempat letak kenderaan. Beberapa bahan binaan dan kenderaan disimpan secara tersembunyi berhampiran kawasan tersebut.
Kekeliruan dan Halangan
Terdapat kekeliruan dan halangan utama dalam memajukan pelabuhan Gwadar.
Kerajaan China telah berjanji untuk membina sebuah pelabuhan besar untuk kemudahan nelayan di sebelah barat Gwadar tetapi tiada apa-apa yang dilakukan dalam hal ini. Dermaga yang kononnya dibina bukanlah sebuah dermaga atau tidak cukup panjang seperti yang dirancang. Imej terkini memperlihatkan jenis struktur pemecah air dan bukannya tiang dermaga.
Para nelayan tempatan belum lagi mengosongkan dermaga mereka di sebelah timur. Hal ini akan menimbulkan halangan kepada pergerakan kapal kargo besar. Walaubagaimanapun, prospek pelabuhan Gwadar untuk dijadikan pangkalan tentera China seolah-olah lebih cerah sekarang berbanding sebelum ini dengan dapatan analisa satelit di atas.
Oleh:
Syakirah Kharal Anuar
Dapatkan buku PengChinaan Malaysia di pasaran.