Wakil Keamanan Yaman, Ismail Ould Cheikh Ahmed memberitahu, rundingan awal persidangan bakal menemukan perwakilan daripada kerajaan Yaman pimpinan presiden Mansour Hadi, wakil daripada gerakan Syiah Houthi, General People’s Congress (GPC) milik bekas presiden Ali Abdullah Saleh dan kumpulan-kumpulan pembangkang yang lain.
PBB mengambil peluang memujuk ahli-ahli politik yang memainkan peranan dalam gerakan politik Yaman untuk duduk berbincang dalam suatu situasi yang aman, penuh rasa percaya dan hormat antara satu sama lain, tanpa sebarang pra-syarat.
Delegasi pimpinan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi telah sampai ke Geneva, Sabtu lalu menggunakan pesawat khas yang disediakan oleh PBB bagi menerbangkan perwakilan-perwakilan yang bakal hadir ke persidangan tersebut. Perwakilan gerakan Syiah Houthi dan GPC bagaimanapun enggan ke Geneva menggunakan pesawat yang sama kerana pesawat tersebut dipercayai bakal mendarat sebentar di Arab Saudi; yang telah mengetuai kempen serangan udara ke atas mereka, sejak Mac lalu.
Jurucakap PBB, Ahmad Fawzi berkata, wakil daripada kedua-dua pihak telah tiba di Geneva pada keesokkan harinya (Ahad). Persidangan akan dimulakan dengan pendekatan ‘proximity talks’ di dalam dua buah bilik yang berbeza, dengan harapan memperoleh kerjasama di antara mereka. Rundingan secara intensif bakal dilaksanakan sepanjang persidangan damai tersebut.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, akan merasmikan persidangan Isnin ini sebelum kembali ke New York. Beliau dan Kaunsel Keselamatan PBB telah membangkitkan isu bagi menamatkan krisis kemanusiaan di Yaman selepas perjanjian perdamaian sementara yang dicapai Mei lalu.
“Kami masih berharap parti-parti yang terlibat akan mencapai kata putus untuk menamatkan konflik kemanusiaan yang dialami oleh rakyat Yaman,” tambah Fawzi.
Persidangan tersebut bertujuan mencapai persetujuan gencatan senjata di Yaman, membentangkan pelan penarikan diri gerakan Houthi daripada Yaman, dan meningkatkan usaha bantuan kemanusiaan kepada rakyat Yaman.
Stephen O’Brien, menyifatkan krisis kemanusiaan di Yaman sebagai sebuah bencana berskala besar melibatkan 20 juta penduduk yang memerlukan bantuan; mewakili 80 peratus populasi penduduk Yaman secara keseluruhan.
Sumber: AlJazeera