Setelah saya tercari-cari apakah solusi kepada krisis ekonomi yang melanda negara ekoran pandemik Covid-19, saya akhirnya menemui jawapan yang memuaskan dalam ucaptama Prof Madya Dr Aznan Hasan dalam persidangan ICRIS 2021 (International Conference on Interdisciplinary and Strategic Studies) anjuran IRIS Institute pada hari Khamis lepas, 12 Ogos 2021. Persidangan yang mengangkat tema ‘kemandirian dan kemampanan sumber nasional’ ini telah menarik penyertaan dari pelbagai negara.
Kerajaan tidak dapat mengelak daripada memikul perbelanjaan yang besar akibat pandemik Covid-19 seperti kos rawatan pesakit Covid-19, kos imunisasi rakyat serta pakej-pakej rangsangan ekonomi sehingga meningkatkan hutang negara. Namun pada masa yang sama, kesihatan fiskal negara boleh menjadi tenat setelah menanggung defisit fiskal berpanjangan sejak 1998. Dilema yang bermain di fikiran ini terjawab setelah mendengar saranan-saranan bernas yang diutarakan oleh bekas penasihat Bank Negara ini.
Agenda utama dalam mencapai keseimbangan fiskal adalah penstrukturan semula pembaharuan fiskal yang merangkumi beberapa aspek. Aspek yang pertama adalah meningkatkan pendapatan negara. Menurut Dr Aznan, polisi fiskal yang mampan dapat dicapai melalui kutipan cukai yang efektif sebagai sumber pendapatan utama negara. Secara spesifik, pendapatan cukai bukan ditingkatkan dengan menaikkan kadar cukai tetapi dengan menggalakkan perniagaan berkembang sekali gus mengurangkan kadar pengangguran dan menambah hasil kutipan cukai perniagaan dan cukai pendapatan. Selain itu, kerajaan perlu meneruskan usaha dalam mengurangkan kebergantungan kepada hasil bukan cukai seperti hasil petroleum dan dividen.
Dr Aznan turut mengusulkan beberapa cadangan kepada Jawatankuasa Reformasi Cukai:
- Kurangkan jurang cukai terutamanya dalam sektor tidak formal dan sukar dikenakan cukai, serta membesarkan tapak kutipan cukai menerusi digitalisasi dan aktiviti penguatkuasaan yang efektif.
- Kurangkan ketirisan cukai dengan mengkaji semula undang-undang dan insentif cukai sedia ada.
- Teroka sumber pendapatan baru yang mampan seperti cukai digital dan cukai alam sekitar.
- Tambah baik pengurusan cukai dengan menyemak semula undang-undang serta memudahkan proses pentadbiran dan prosedur bagi meningkatkan kadar pematuhan cukai.
Aspek kedua dalam polisi fiskal yang baik adalah perbelanjaan kerajaan yang optima. Menurut pakar ekonomi yang berpengalaman luas sebagai penasihat bank pusat dalam dan luar negara ini, pengurusan perbelanjaan kerajaan yang baik bukan sekadar menampung kos operasi negara seperti bayaran gaji dan pencen penjawat awam malah dapat memberi pulangan dan menjana pendapatan melalui pelaburan. Dalam Belanjawan 2019, perbelanjaan kerajaan Malaysia masih banyak tertumpu pada perbelanjaan operasi iaitu sebanyak 83% berbanding 17% bagi perbelanjaan pembangunan. Tambah beliau lagi, pembaharuan fiskal juga perlu melibatkan re-engineering dalam sistem penyampaian awam, subsidi dan bantuan sosial yang lebih bersasar, projek pembangunan berasaskan keperluan serta penambahbaikan struktur kos.
Dr Aznan turut mengulas tentang kadar hutang negara yang tinggi. Menurut beliau, kadar hutang yang tinggi tidak semestinya menjadi masalah sebagaimana Singapura, Jepun dan Amerika yang memiliki kadar hutang berbanding keluaran dalam negara kasar melebihi 100%. Malaysia mencatatkan kadar hutang berbanding keluaran dalam negara kasar sekitar 65% namun isunya adalah bagaimana hutang tersebut digunakan. Jurang fiskal negara dapat dikurangkan di masa akan datang sekiranya hutang yang diambil digunakan bagi pelaburan dan meningkatkan pendapatan kerajaan.
Selain itu, Dr Aznan juga menekankan kepentingan polisi fiskal mengambil berat agenda Bumiputera tanpa mengabaikan kaum lain. Tumpuan kepada ekonomi Bumiputera selaku penduduk majoriti akan memastikan kestabilan ekonomi melalui pengagihan kekayaan yang inklusif dan pengurangan jurang sosioekonomi. Pendek kata, sumber nasional perlu dimanfaatkan bukan sahaja untuk meningkatkan pendapatan negara bahkan lebih utama dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Sebelum ucaptama Dr Aznan berakhir, Presiden Association of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS) ini mengemukakan potensi besar instrumen kewangan Islam iaitu zakat dan wakaf dalam membangunkan ekonomi negara. Zakat yang telah terkumpul sewaktu ekonomi dalam fasa pengembangan sebelum ini dapat digunakan bagi meningkatkan bantuan kepada Muslimin dan Muslimat yang amat terkesan dengan pandemik Covid-19 ketika ekonomi sedang menguncup sekarang.
Wakaf pula bukan sahaja dapat membantu menampung perbelanjaan negara malah ia merupakan sebuah instrumen pelaburan yang dapat menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.
Dr Aznan membuat kesimpulan bahawa Malaysia memiliki prospek pertumbuhan ekonomi yang cerah sekiranya dapat membendung pandemik Covid-19 dengan baik. Sekiranya cadangan-cadangan beliau dapat dilaksanakan seiring dengan pembukaan semula semua sektor ekonomi secepat mungkin dengan kadar vaksinasi yang pantas tidak mustahil negara dapat mencapai lebihan fiskal.
Dr. Adilah Zafirah
Ketua Kolumnis Fokus dan Penyelidik IRIS Institute