Peranan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) Dalam Memenuhi Keperluan Nasional Singapura

Ringkasan eksekutif

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan inisiatif yang ingin menjadikan Johor sebagai pembekal sumber seperti air, elektrik, tanah dan buruh kepada syarikat dan pelaburan yang datang daripada Singapura. Isu ini didorong oleh beberapa faktor, antaranya, ketidakcukupan sumber di Singapura, pemberian insentif ekonomi, pembangunan infrastruktur pengangkutan yang menghubungkan dua negara, dan pengaplikasian inisiatif SG+ dibawah Southeast Asia Manufacturing Alliance (SMA). Selain daripada kerajaan Malaysia dan Singapura, aktor-aktor seperti syarikat berkaitan kerabat Johor, taikun hartanah Cina, syarikat hartanah China, syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP), syarikat Singapura, dan syarikat multinasional dijangka mendapat keuntungan hasil daripada inisiatif ini. Kesannya, pembekalan sumber air dan elektrik kepada warga tempatan akan terjejas berikutan kadar penggunaan yang tinggi oleh syarikat asing dan kebanyakan warga tempatan akan diketepikan dalam pemilikan hartanah ekoran peningkatan pembangunan kediaman mewah bagi memenuhi permintaan warga Singapura. Justeru, JS-SEZ perlu mengambil kira faktor kedaulatan dan kemampanan sumber alam negara selain daripada hanya memfokuskan kepada manfaat ekonomi sahaja.

Apa isu yang berlaku?

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) diwujudkan bagi memenuhi keperluan ekonomi dan sumber alam Singapura. Dalam hal ini, Johor mengambil posisi sebagai pembekal tanah, air, buruh, dan tenaga kepada syarikat Singapura dan syarikat multinasional sebagai pertukaran kepada pelaburan dan janaan pendapatan hasil daripada aktiviti ekonomi syarikat-syarikat tersebut. Model zon ekonomi khas ini mengambil inspirasi daripada format yang telah dibuat di Shenzhen yang menyediakan tanah dan buruh murah kepada syarikat dan pelaburan yang datang daripada Hong Kong. Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dengan bantuan zon ekonomi khas, Johor boleh menjadi Shenzhen Asia Tenggara. Tambahnya,, Shenzhen-Hong Kong hampir serupa dengan Johor-Singapura daripada aspek geografi.[1]

Pada 11 Januari 2024, Malaysia dan Singapura telah menandatangani memorandum persefahaman untuk mewujudkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS–SEZ) yang bertujuan untuk meningkatkan hubungan ekonomi dan perdagangan antara Johor, Malaysia, dan Singapura[2]. Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi JS-SEZ akan dibangunkan kira-kira 2,300 km persegi di Iskandar Malaysia dan 1,200 km persegi di Pengerang merangkumi enam pihak berkuasa di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Kulai dan Kota Tinggi. Selain itu, aktiviti ekonomi JS-SEZ akan tertumpu kepada 16 sektor iaitu elektrik dan elektronik, perubatan, farmaseutikal, penerbangan, kimia khusus, logistik kesihatan dan pendidikan, kewangan dan perkhidmatan perniagaan, tenaga, ekonomi digital, pelancongan, makanan dan teknologi pertanian, industri kreatif, industri halal serta perkilangan.[3]

MOU ini merupakan susulan daripada permukiman dua hari antara Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Singapura pada Oktober 2023. Di samping itu, perjanjian penuh melibatkan JS-SEZ dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun 2024. Pada ketika ini, proses peralihan Malaysia dan Singapura ke arah merealisasikan inisiatif ini telah bermula dengan pengenalan proses kemasukan berasaskan kod QR tanpa pasport kepada individu yang ingin merentasi sempadan samada dari Singapura ke Johor atau sebaliknya.[4]

Mengapa isu ini berlaku?

Perluasan aktiviti ekonomi Singapura ke Johor melalui SEZ adalah bagi memanfaatkan sumber di negeri itu seperti tanah, air, elektrik, dan tenaga kerja yang mampu diperoleh dengan harga yang lebih murah. Perkara ini dapat dilihat melalui tindakan Singapura yang menghentikan sementara pembinaan pusat data di negara itu dari 2019 hingga 2022 akibat daripada kekurangan tanah dan tenaga. Menurut laporan Knight Frank, jarak Johor dan Singapura telah memandu syarikat multinasional yang berpangkalan di Singapura untuk mengambil manfaat ke atas tanah Johor yang lebih murah selain kos pembinaan, perbelanjaan operasi, dan tarif elektrik yang rendah untuk pusat data mereka.[5] Antara syarikat yang sudah mengambil tempat di Johor adalah Equinix, Princeton Digital Group, dan Keppel Data Center REIT. Malah, pusat data yang terkenal di Singapura selain Equinix iaitu Singapore Telecommunications Limited (Singtel) dilaporkan turut dalam perancangan untuk membuka pusat data mereka di Johor.[6]

Selain itu, JS-SEZ dilaporkan akan menyediakan insentif ekonomi kepada syarikat Singapura dan syarikat multinasional yang berkembang ke Johor. Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, insentif berkaitan JS-SEZ bakal diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Belanjawan 2025. Walau bagaimanapun, antara insentif yang diminta oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi adalah kelepasan cukai (tax holiday) kepada perniagaan dan pelaburan yang akan datang.[7] Model keistimewaan ekonomi yang bakal dilaksanakan di JS-SEZ dijangka mengikut model di beberapa koridor ekonomi utama di Malaysia seperti Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, dan Iskandar Malaysia. Antara manfaat ekonomi yang berkemungkinan dilaksanakan adalah, pengecualian atau pengurangan cukai pendapatan individu dan korporat, pengecualian cukai jualan dan duti kastam ke atas barangan dan peralatan import, pengecualian duti setem untuk instrumen pelaburan seperti hartanah, pemberian insentif pelaburan dalam bentuk geran, subsidi, atau bantuan kewangan. Manfaat lain termasuk pendigitalan pelepasan kargo, keizinan membawa masuk barang import tanpa lesen atau permit import, dan penyediaan tanah dan buruh yang murah.[8]

Keistimewaan ekonomi dan penyediaan sumber yang diberikan kepada Singapura dilengkapi dengan pembinaan projek perhubungan rentas sempadan seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura dan kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur–Singapura (HSR). Pada 5 Jun 2024, CIMB Singapura dengan kerjasama Dewan Perniagaan & Perindustrian Cina Singapura (SCCCI) telah membawa 50 syarikat Singapura ke Johor Bahru dalam satu majlis makan tengahari bagi meneroka peluang perniagaan yang terhasil daripada pembinaan RTS. Majlis makan tengahari itu mengumpulkan hampir 280 peserta termasuk wakil daripada CIMB, Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Johor Corporation (JCorp) dan MRT Corp untuk membincangkan prospek dan peluang pelaburan di Iskandar Malaysia, pembangunan di Daerah Perniagaan Antarabangsa Ibrahim dan Ibrahim Technopolis. Projek RTS ini dijangka siap menjelang Disember 2026.[9] Sementara itu, pembinaan JS-SEZ telah mendorong kepada penghidupan semula projek HSR. Laporan The Edge pada Mac lalu menyatakan terdapat tiga konsortium dipercayai disenarai pendek sebagai calon pemenang bidaan projek HSR. Tiga konsortium tersebut ialah konsortium China yang dipimpin oleh China Railway Construction, YTL Construction Sdn Bhd-SIPP Rail Sdn Bhd dan Malaysian Resources Corp Bhd-IJM Construction Sdn Bhd-Berjaya Rail Sdn Bhd-Keretapi Tanah Melayu Bhd (MRCB-IJM-BRail-KTMB). Berdasarkan perbandingan di antara tiga konsortium tersebut, konsortium dari China dilihat mempunyai kelebihan kerana mempunyai sumber kewangan yang kuat terutamanya daripada institusi kewangan China seperti Bank Pembangunan China (CDB).[10]

Dalam pada itu, penempatan JS-SEZ di Johor dilihat sebagai salah satu mekanisme untuk menjayakan strategi “Singapore+1” yang dilancarkan oleh Southeast Asia Manufacturing Alliance (SMA). SG+ meletakkan Singapura sebagai pusat ekonomi di Asia Tenggara yang menjaga pintu masuk ke rantau ini dan juga pintu keluar ke pasaran global. Sebagai contoh, syarikat semikonduktor multinasional yang ingin memasuki pasaran Asia Tenggara akan menubuhkan ibu pejabat wilayahnya dan fasiliti “front end” di Singapura yang merangkumi aktiviti seperti reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pembuatan wafer, kemudian aktiviti pembuatan bahagian belakang atau “back-end” seperti pembungkusan dan ujian akan dilakukan di Malaysia untuk mengurangkan kos. Seterusnya, produk akhir itu akan melalui samada Lapangan Terbang Changi atau pelabuhan maritim Singapura untuk di eksport ke pasaran global. Menerusi model ini, Singapura memegang aspek perniagaan yang bernilai tinggi, manakala, Johor kekal sebagai hab pengeluaran kos rendah.[11]

Model Twinning yang menjadi asas kepada strategi menguasai sektor pembuatan di Asia Tenggara oleh Singapura melalui SG+

Siapakah aktor yang terlibat?

Secara umum, penubuhan JS-SEZ dirangka dan dibina dengan kerjasama kerajaan Malaysia dan Singapura. Hal ini dapat dilihat melalui siri perjumpaan Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10 pada Oktober 2023 dan ke-11 yang bakal diadakan pada hujung tahun ini melibatkan Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura. Kedua-dua kerajaan juga bertanggungjawab untuk merealisasikan dan melaksanakan JS-SEZ. Sebagai contoh, pada 11 Januari 2024, Menteri Ekonomi Malaysia (MOE), Mohd Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian Singapura (MTI), Gan Kim Yong telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di Johor Bahru, untuk mengusahakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).[12]

Limpahan daripada JS-SEZ menyaksikan beberapa aktor utama dijangka mendapat manfaat dan keuntungan. Antaranya adalah syarikat berkaitan kerabat Johor. Projek Forest City yang merupakan sebahagian daripada Iskandar Malaysia dimiliki 40 peratus oleh syarikat milik penuh Sultan Johor, Esplanade Danga 88 Sdn Bhd.[13] Manakala, Tunku Ismail Idris pula dilaporkan mempunyai pegangan sebanyak 21 peratus dalam anak syarikat Benalec Holdings, Spektrum Kukuh Sdn Bhd (SKSB) dan Spektrum Budi Sdn Bhd (SBSB) yang memiliki pegangan dalam Pengerang Maritime Industrial Park (PMIP).[14],[15] PMIP adalah sebahagian daripada Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) yang menempatkan kilang penapisan minyak milik bersama Petronas dan Aramco.

Sementara itu, ahli kepada Mahkamah Diraja Majlis Johor yang juga merupakan penasihat rapat kepada Sultan Johor, Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman meningkatkan pegangannya dalam Ranhill Utilities Berhad daripada 2.9 peratus kepada 34.32 peratus melalui SIPP Power untuk mendapat kawalan ke atas sumber air di Johor.[16] Percaturan ini membolehkan Datuk Daing memperoleh keuntungan hasil daripada pembinaan pusat-pusat data dan pembangunan industri dalam JS-SEZ. Selain itu, bagi projek HSR Kuala Lumpur-Singapura, Datuk Daing melalui SIPP Rail dan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail melalui Berjaya Rail Sdn Bhd dilaporkan disenarai pendek sebagai dua konsortium tempatan yang terpilih iaitu YTL Construction Sdn Bhd-SIPP Rail Sdn Bhd dan Malaysian Resources Corp Bhd-IJM Construction Sdn Bhd-Berjaya Rail Sdn Bhd-Keretapi Tanah Melayu Bhd.[17] Tunku Aminah memegang 30 peratus kepentingan dalam Berjaya Rail.[18]

Dalam pada itu, penempatan JS-SEZ di Iskandar Malaysia dijangka memberi keuntungan kepada Iskandar Waterfront Holdings (IWH), syarikat milik taikun hartanah, Tan Sri Lim Kang Hoo dan syarikat hartanah China. IWH berperanan samada sebagai penjual atau pemaju bersama bagi tanah di Iskandar Malaysia kepada syarikat-syarikat hartanah China. Bagi projek Danga Bay, Iskandar Waterfront telah menjual 57 ekar tanah kepada Country Garden pada 2013.[19] Pada 2014, Greenland Group membeli 14 ekar tanah daripada IWH untuk pembangunan Greenland Jade Palace.[20] Pada tahun sama, syarikat yang berpangkalan di Guangdong, R&F Properties dilaporkan membeli 116 ekar tanah berdekatan Tambak Johor-Singapura secara langsung daripada Sultan Johor bagi pembangunan Princess Cove.[21] IWH juga bertanggungjawab ke atas projek hartanah China lain seperti Forest City, Helios Cove, dan Central Park di Johor.[22]

Meskipun syarikat berkaitan kerabat Johor, dan syarikat hartanah China mendominasi tanah di Zon Utama A, Pusat Bandaraya Johor Bahru, kerajaan persekutuan melalui Iskandar Investment Berhad (IIB), sebuah syarikat usaha sama diantara Khazanah (60 peratus), Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) (20 peratus), dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) (20 peratus) menguasai tanah di Zon Utama B, Iskandar Puteri. Hal ini dapat dilihat menerusi projek Gerbang Nusajaya yang dipimpin oleh anak syarikat Khazanah, UEM Sunrise Berhad. Projek yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM42 bilion itu meliputi tanah seluas 4,551 ekar dan mempunyai kedudukan yang strategik iaitu 5 kilometer dari Pusat Pemeriksaan Tuas melalui Jambatan Kedua Malaysia-Singapura, yang memudahkan akses ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura.[23]

Wilayah Iskandar Malaysia dan Lima Zon Utama

Selain itu, inisiatif Akses Pihak Ketiga (TPA) yang bakal dilaksanakan bermula September bakal memperluas kawalan Penjana Tenaga Bebas (IPP) dalam industri bekalan elektrik. Pelaksanaan Akses Pihak Ketiga membolehkan Penjana Tenaga Bebas (IPP) menyalurkan bekalan tenaga secara terus kepada pengguna tanpa melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB).[24] Johor yang kini tersenarai sebagai pusat data terbesar di Malaysia dan ke-9 terbesar di Asia Pasifik memerlukan jumlah elektrik yang tinggi bagi menampung pertumbuhan pusat data di negeri itu. Berdasarkan laporan Suruhanjaya Tenaga, Penjana Tenaga Bebas (IPP) mewakili 74 peratus daripada kapasiti terpasang di Semenanjung Malaysia berbanding TNB pada 16.6 peratus. Di Johor, Malakoff Corporation merupakan penjana tenaga terbesar dengan 3,100MW kapasiti terpasang daripada Tanjung Bin Power Plant dan Tanjung Bin Energy Power Plant. Malakoff juga antara pemain tenaga terbesar di peringkat nasional dengan pemilikan ke atas beberapa loji janakuasa seperti Loji Janakuasa Kapar, Loji Janakuasa Segari, dan Loji Janakuasa Prai. Dengan pengenalan Akses Pihak Ketiga, kawalan Malakoff ke atas industri bekalan elektrik akan meluas dari penjanaan ke pengagihan.[25]

Apakah implikasi isu ini?

JS-SEZ berisiko menyebabkan bekalan air dan elektrik warga tempatan terjejas berikutan kadar penggunaan yang tinggi oleh infrastruktur syarikat-syarikat asing. Petanda awal krisis ini dapat dilihat menerusi peningkatan pusat-pusat data baharu di Johor. Bercakap mengenai kepesatan pusat data di Johor, Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman mengakui bekalan air dan elektrik menjadi masalah utama buat negeri itu. Menurutnya, meskipun menggalakkan pelaburan adalah penting, ia tidak sepatutnya mengorbankan keperluan tempatan dan domestik rakyat.[26] Berdasarkan laporan Affin Hwang Capital, permohonan bekalan elektrik daripada pusat data mewakili 40 peratus atau 11,000 megawatt daripada kapasiti terpasang di Semenanjung Malaysia iaitu kira-kira 27,000MW. Laporan The Straits Times menyatakan tanpa pengurusan yang betul, permintaan tenaga untuk pusat data dalam tempoh 10 tahun akan datang boleh mengatasi bekalan elektrik yang ada. Manakala, pusat data yang berkapasiti 100MW dilaporkan menggunakan kira-kira 1.1 juta gelen air setiap hari untuk penyejukan, bersamaan dengan penggunaan air harian untuk sebuah bandar dengan 10,000 orang.[27]

JS-SEZ dijangka menyumbang kepada peningkatan kediaman mewah di Johor berikutan akses rentas sempadan yang lebih mudah dan kewujudan RTS. Tinjauan pasaran hartanah 2024 oleh PropertyGuru menyatakan JS-SEZ dan RTS merangsang permintaan untuk rumah di Johor dan seterusnya menyumbang kepada kenaikan harga hartanah. Johor yang kini mencatatkan jumlah rumah tidak terjual tertinggi di Malaysia juga mendahului dan mendominasi peratusan permintaan asing terhadap sektor perumahannya terutamanya di Iskandar Puteri, Puteri Harbour, Medini, Horizon Hills, Tebrau, Perling, Permas Jaya, dan Gelang Patah. Menurut Dr. Lee Nai Jia, Ketua Perisikan Hartanah Kumpulan PropertyGuru, permintaan asing di Johor sebahagian besarnya disumbangkan oleh warga Singapura.[28] Hal ini demikian kerana, nilai hartanah yang tinggi di Singapura menyebabkan ramai daripada warganya mencari hartanah bernilai RM1 juta ke bawah di Johor disamping tertarik dengan tawaran-tawaran baharu inisiatif Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H).[29] Kesannya, bilangan rumah mampu milik meruncing dan peluang golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah semakin rendah.[30]

Kesimpulan

Inisiatif JS-SEZ memenuhi agenda nasional Singapura yang ingin menjadi hab ekonomi di Asia Tenggara dengan meletakkan Johor sebagai lokasi pengeluaran kos rendah bagi syarikat Singapura dan syarikat multinasional yang berpangkalan di Singapura. Selain Johor, Batam, Bintan, dan Karimun di Indonesia juga termasuk dalam strategi SG+. Hal ini kerana, kepentingan dan keuntungan syarikat-syarikat berkepentingan seperti taikun Cina dan syarikat hartanah China di Johor mendahului kepentingan nasional. Akibatnya, kemampanan dan kecukupan sumber alam berisiko terjejas dalam jangka masa panjang di samping pemilikan hartanah oleh warga tempatan yang menjadi semakin sukar. Oleh itu, JS-SEZ tidak seharusnya dilihat dari konteks ekonomi sahaja, namun perlu mengambil kira faktor seperti kedaulatan dan kemampanan sumber alam.

Rujukan

Aman, A. S. (2024, May 6). Johor now the largest data centre market in Malaysia, driven by investments from MNCs: report. NST Online.

Amin, N. a. M. (2024, May 12). Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura bakal dibangunkan di Iskandar Malaysia, Pengerang. Sinar Harian.

Azmi, Anis & Majid, M. & Jaffar, Abdul & Che Man, Noordini. (2017). Iskandar Malaysia’s Neighbourhood Design and Its Low Carbon City Vision

Aw, N. (June 11, 2015). Royal businesses – who is Daing A Malek?. Malaysiakini.

Baxtel (n.d.). Johor Data Centers Market.

Beatty, G.H. (January 24, 2024). Johor experiences strongest property demand from foreigners, led by Singaporeans. The Sun.

Benalec Holdings Berhad.(2022). Annual Report 2021. Retrieved June 19, 2024, from https://ir2.chartnexus.com/benalec/docs/AR/ar2021.pdf

Bloomberg. (2024, May 13). ‘Shenzhen of Southeast Asia’: Malaysia’s Johor plays up Singapore-linked special economic zone. South China Morning Post.

CIMB Singapore. (2024, June 5). CIMB Singapore and SCCCI leading the way to capture new opportunities arising from the Johor Bahru-Singapore RTS Link. PR Newswire.

EDB Singapore. (June 21, 2021). Twin to win: How manufacturing companies in Singapore are growing in the region.

IRIS Institute. (April 15, 2024). Trend Kemasukan Warga Asing Terutamanya Dari China Melalui program MM2H. FOKUS: IRIS Brief.

Kamarul, A. (2024, March 25). Three consortia believed to be on shortlist for KL-Singapore HSR project. The Edge Malaysia.

Lee,E. (October 13, 2014). Johor Sultan is stakeholder of Forest City project. The Edge Malaysia.

Lim, G & Ng, K.K. (June 8, 2022). How Malaysian Politics Shaped Chinese Real Estate Deals and Economic Development. Carnegie Endowment for International Peace.

Malay Mail. ( December 2, 2013). China developer to pay Johor royals RM4.6b for land expansion. Malay Mail. Retrieved June 19, 2024.

Ministry of Economy, Malaysia & Ministry of Trade and Industry Singapore (MTI). (January 11, 2024). Malaysia and Singapore strengthens economic connectivity with Johor-Singapore Special Economic Zone. Press Release.

Mohamed, F.N. (May 26, 2024). Akses Pihak Ketiga bekalan elektrik negara berkuat kuasa September depan. Berita Harian.

Paccot, H. (2024, February 6). Malaysia: The Establishment of the Johor-Singapore Special Economic Zone – Import and Trade Remedies Blog. Import and Trade Remedies Blog.

PropertyGuru. (2024). Malaysia Property Market Outlook 2024. Retrieved June 19, 2024, from https://angel-prod-public-content.s3.ap-southeast-1.amazonaws.com/wp-content/uploads/sites/4/2024/02/PMOMY2024-09022024.pdf

Saieed, Z. (June 9, 2024). Malaysia’s push for data centres could strain power and water supplies, warn experts. The Straits Times.

Sinar Harian.(2024, June 4). PM dijangka umum insentif, pengecualian cukai JS-SEZ dalam Belanjawan 2025.

Sinar Harian. (12 September 2023). Berjaya Rail lantik Tunku Aminah sebagai pengerusi.

Suruhanjaya Tenaga. (2023). Maklumat Prestasi & Statistik Industri Pembekalan Elektrik Malaysia 2020.Laporan.

Syafiqah, S. (May 30, 2024). Water, power remain major issues for Johor’s data centres, says JB mayor. The Edge Malaysia.

The Star. (May 28, 2024). YTL Power’s unit ups stake in Ranhill, triggers MTO. Retrieved June 19, 2024.

NOTA KAKI

  1. Bloomberg. (2024, May 13). ‘Shenzhen of Southeast Asia’: Malaysia’s Johor plays up Singapore-linked special economic zone. South China Morning Post.

  2. Malaysia and Singapore strengthens economic connectivity with Johor-Singapore Special Economic Zone. (n.d.). (MTI Singapore)

  3. Amin, N. a. M. (2024, May 12). Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura bakal dibangunkan di Iskandar Malaysia, Pengerang. Sinar Harian.

  4. Ministry of Economy, Malaysia & Ministry of Trade and Industry Singapore (MTI). (January 11, 2024). Malaysia and Singapore strengthens economic connectivity with Johor-Singapore Special Economic Zone. Press Release.

  5. Aman, A. S. (2024, May 6). Johor now the largest data centre market in Malaysia, driven by investments from MNCs: report. NST Online.

  6. Baxtel (n.d.). Johor Data Centers Market.

  7. Sinar Harian.(2024, June 4). PM dijangka umum insentif, pengecualian cukai JS-SEZ dalam Belanjawan 2025.

  8. Paccot, H. (2024, February 6). Malaysia: The Establishment of the Johor-Singapore Special Economic Zone – Import and Trade Remedies Blog. Import and Trade Remedies Blog.

  9. CIMB Singapore. (2024, June 5). CIMB Singapore and SCCCI leading the way to capture new opportunities arising from the Johor Bahru-Singapore RTS Link. PR Newswire.

  10. Kamarul, A. (2024, March 25). Three consortia believed to be on shortlist for KL-Singapore HSR project. The Edge Malaysia.

  11. EDB Singapore. (June 21, 2021). Twin to win: How manufacturing companies in Singapore are growing in the region.

  12. Ministry of Economy, Malaysia & Ministry of Trade and Industry Singapore (MTI). (January 11, 2024). Malaysia and Singapore strengthens economic connectivity with Johor-Singapore Special Economic Zone. Press Release.

  13. Lee,E. (October 13, 2014). Johor Sultan is stakeholder of Forest City project. The Edge Malaysia.

  14. Aw, N. (June 11, 2015). Royal businesses – who is Daing A Malek?. Malaysiakini.

  15. Benalec Holdings Berhad.(2022). Annual Report 2021. Retrieved June 19, 2024, from https://ir2.chartnexus.com/benalec/docs/AR/ar2021.pdf

  16. The Star. (May 28, 2024). YTL Power’s unit ups stake in Ranhill, triggers MTO. Retrieved June 19, 2024.

  17. Kamarul, A. (2024, March 25). Three consortia believed to be on shortlist for KL-Singapore HSR project. The Edge Malaysia.

  18. Sinar Harian. (12 September 2023). Berjaya Rail lantik Tunku Aminah sebagai pengerusi.

  19. Lim, G & Ng, K.K. (June 8, 2022). How Malaysian Politics Shaped Chinese Real Estate Deals and Economic Development. Carnegie Endowment for International Peace.

  20. Ibid

  21. Malay Mail. ( December 2, 2013). China developer to pay Johor royals RM4.6b for land expansion. Malay Mail. Retrieved June 19, 2024.

  22. Lim, G & Ng, K.K. (June 8, 2022). How Malaysian Politics Shaped Chinese Real Estate Deals and Economic Development. Carnegie Endowment for International Peace.

  23. Ibid

  24. Mohamed, F.N. (May 26, 2024). Akses Pihak Ketiga bekalan elektrik negara berkuat kuasa September depan. Berita Harian.

  25. Suruhanjaya Tenaga. (2023). Maklumat Prestasi & Statistik Industri Pembekalan Elektrik Malaysia 2020.

  26. Syafiqah, S. (May 30, 2024). Water, power remain major issues for Johor’s data centres, says JB mayor. The Edge Malaysia.

  27. Saieed, Z. (June 9, 2024). Malaysia’s push for data centres could strain power and water supplies, warn experts. The Straits Times.

  28. PropertyGuru. (2024). Malaysia Property Market Outlook 2024. Retrieved June 19, 2024, from https://angel-prod-public-content.s3.ap-southeast-1.amazonaws.com/wp-content/uploads/sites/4/2024/02/PMOMY2024-09022024.pdf

  29. Beatty, G.H. (January 24, 2024). Johor experiences strongest property demand from foreigners, led by Singaporeans. The Sun.

  30. IRIS Institute. (April 15, 2024). Trend Kemasukan Warga Asing Terutamanya Dari China Melalui program MM2H. FOKUS: IRIS Brief.

Disediakan oleh:
Knowledge Management Center (KMC)
IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel akan mula fasa ke-3 serangan ke atas gaza, beralih kepada seranga udara yang lebih spesifik berdasarkan risikan

Next Post

Amerika Syarikat Gugurkan pengesan kapal selam di laut china selatan, ancaman risikan a.s. terhadap pergerakan kapal di perairan

Related Posts

Langgan sekarang untuk terus membaca.

Dapatkan akses premium merangkumi berita, senario bidang-bidang utama yang dirumuskan dan laporan analisa khas.

Pakej Asas

RM200 / tahun

Pakej Perak

RM500 / tahun

Pakej Premium

Bermula RM1000

Berminat Untuk Menyumbang?

Fokus adalah komuniti penulisan bebas dan tidak bermatlamatkan keuntungan.
Oleh itu, kami membuka ruang untuk individu-individu yang berminat menyumbang terutamanya bagi membantu kami dari sudut operasi.

Skip to content