Petronas Hantar kargo LNG neutral karbon pertama ke Jepun

KUALA LUMPUR, 18 Ogos  — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah menyelesaikan penghantaran kargo pertamanya bagi gas asli cecair (LNG) neutral karbon kepada Shikoku Electric Power Company, Inc.

Kargo itu dihantar dari Kompleks LNG Petronas (PLC) di Bintulu, Sarawak dan telah diterima pada Selasa di terminal LNG Sakaide yang terletak di Pulau Shikoku, Jepun.

Petronas menjelaskan ia mengimbangi jangkaan jejak karbon kitar hayat kargo LNG itu menerusi kredit karbon berasaskan boleh baharu untuk pelepasan yang dijana daripada cari gali dan pengeluaran gas huluan, pengangkutan, pencecairan dan penghantaran kargo.

Selain itu, kredit karbon yang digunakan Petronas bagi penghantaran itu disahkan menerusi proses pengesahan yang ketat mengikut program Standard Karbon DiPerakui, yang diiktiraf di peringkat global dan telah diterima guna oleh peserta dan pengeluar tenaga.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata dalam membuktikan sokongan terhadap peralihan tenaga dan sejajar dengan pernyataan tujuan Petronas, pihaknya akan terus mempelbagaikan produk dan tawaran kepada pasaran.

“Dalam masa yang sama, mentransformasikan Petronas untuk menjadi penyedia tenaga lebih bersih dan lebih mampan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Shikoku Electric bagi penghantaran kargo LNG neutral karbon pertama, yang bertepatan dengan tarikh ulang tahun ke-47 Petronas.

“Bagi Petronas, ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha kami menyediakan penyelesaian tenaga lebih bersih yang memacu kemajuan berlandaskan cara yang bertanggungjawab,” katanya.

Dalam industri LNG, LNG neutral karbon dilihat sebagai pemangkin untuk menggalakkan komitmen karbon yang lebih luas, dengan semakin ramai pengguna LNG mencari jalan untuk mengurangkan jejak karbon masing-masing.

Menurut Petronas, sebagai peserta tenaga bersepadu, pihaknya berusaha untuk menjalinkan kerjasama dengan pembeli dan pengguna akhir ke arah mencapai matlamat kelestarian.

Mengulas penghantaran itu, Presiden Shikoku Electric, Keisuke Nagai berkata pihaknya mempunyai hubungan baik dengan Petronas sejak 15 tahun lepas.

“Kami gembira Petronas telah memulakan usaha ini yang menandakan pencapaian penting memandangkan industri LNG semakin beralih ke arah masa depan yang lebih lestari,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Can Malaysia’s economy survive this Covid-19 pandemic?

Next Post

Penstrukturan semula pembaharuan fiskal, kunci kepada pemulihan ekonomi negara

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content