Pivot 2.0

CSIS (Centre for Strategic & International Studies) pada awal tahun ini mengeluarkan dokumen bertajuk “Pivot 2.0” menyenaraikan peluang bagi US (Amerika Syarikat) terlibat di rantau Asia.[1] Badan ini memetik sebuah survey yang dijalankan pada tahun lepas oleh The Chicago Council on Global Affairs yang menunjukkan majoriti rakyat US bersetuju bahawa mereka mempunyai kepentingan yang tinggi di rantau ini.[2] Survey ini juga mendapati majoriti pakar Asia menyokong usaha Obama untuk mengimbangi kuasa di rantau Asia Pasifik ini.

Walau bagaimanapun, beberapa keadaan dikenalpasti mampu melemahkan rancangan ini termasuklah sokongan yang berkurang semasa pilihan raya US tahun 2014, kekangan bajet kewangan serta keterlibatan dalam krisis di Ukraine dan Iran – Iraq. Meskipun begitu, kekuatan mereka terletak pada persepakatan kukuh antara Parti Demokrat (kerajaan) dan Parti Republikan (kongress) terhadap isu ini (penglibatan di rantau Asia).

Artikel kali ini akan merumuskan dua aspek cadangan yang terkait dengan Malaysia iaitu Trans-Pacific Partnership (TPP) dan situasi semasa di negara sekitar Laut China Selatan (LCS). Ia bertujuan memberikan penerangan dari sudut mengapa dan bagaimana US mahu terlibat di rantau ini. Artikel ini bukanlah menyokong keinginan mereka di rantau ini, sebaliknya memberikan kefahaman terhadap tindakan US agar strategi mereka terlibat di sini dapat dibaca dan dijangka terlebih dahulu.

Cadangan pertama diutarakan dalam dokumen tersebut ialah memulakan kempen membina sokongan masyarakat mereka agar menyokong pelaksanaan TPP dan perjanjian perdagangan yang berkaitan sebelum musim panas (Jun) 2015. Bagi US, TPP akan menjadi komponen ekonomi yang utama dalam mengimbang kuasa di Asia. Dengan termeterainya TPP akan menjadikan Asia sebagai kawasan perdagangan bebas yang terbesar (40% of all merchanise trade) bagi US.

TPP penting bagi US kerana ia akan membantu menyediakan set peraturan perdagangan baru untuk Asia Pasifik yang akan memberikan keuntungan besar terhadap syarikat mereka pada masa ini dan akan datang. TPP juga akan mengukuhkan kehadiran mereka di rantau ini dengan memaparkan imej mereka sebagai kuasa di kawasan Pasifik. Tanpa TPP, negara serantau hanya akan memandang skeptik pengimbangan kuasa US di sini sebagai suatu bentuk projek ketenteraan semata-mata.

Selain proses undang-undang dalaman US yang memerlukan persetujuan kedua-dua parti di sana, perkara lain yang diperlukan untuk menjayakan TPP pada tahun 2015 ialah persetujuan negara terlibat. Awal 2008, Pentadbiran George W Bush telah melibatkan Singapura, Brunei, Chile dan New Zealand dalam usahanya melancarkan TPP. Pentadbiran Obama selepas itu pula cuba mengembangkannya menjadi 12 buah negara di Asia Pasifik termasuklah Malaysia. Rundingan ketika ini sedang menghampiri penamatnya. Ketika persidangan Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) November 2014, mereka menyatakan, “kami telah mengarahkan menteri kami untuk menjadikan penyelesaian rundingan TPP ini sebagai suatu keutamaan besar”.

Untuk rekod, selain menerima bantahan keras rakyatnya daripada menandatangani TPP lantaran bakal merugikan negara,[3] Malaysia belum memberi kata putus untuk menyertai Perjanjian TPP. Beberapa fleksibiliti diminta oleh Malaysia dalam beberapa isu berkepentingan seperti bumiputera, hak cipta intelektual dan syarikat milik negara.[4]

Cadangan kedua dalam dokumen tersebut pula, antara lain ialah mendapatkan sokongan antarabangsa dan serantau dalam keputusan mahkamah melibatkan Filipina menentang tuntutan Sembilan Garis Putus (9GP) oleh negara China di LCS. Dijangkakan keputusannya akan dikeluarkan sebelum penghujung tahun ini. Selain tuntutan Filipina, Malaysia dan Vietnam pernah menghantar penghujahan secara bersama di Commission on the Limits of the Continental Shelf untuk menyemak batasan pentas benua negara masing-masing sehingga menimbulkan bantahan negara China.[5] Bagi CSIS, apapun keputusannya nanti, ia akan menjadi titik perubahan terhadap kes pertindihan tuntutan di sana serta akan melihatkan sama ada penglbatan US di rantau ini menyakinkan atau tidak.

Dalam hal ini, pentadbiran Obama telah mengambil banyak langkah bijak dalam menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap tuntutan China di LCS. Yang terbaru merupakan laporan kajian keabsahan 9GP yang dikeluarkan State Department.[6] US dijangkakan akan turut mendapatkan sokongan antarabangsa terhadap keputusan tribunal ini dalam masa yang sama menekan negara China agar menerima apa sahaja keputusan yang akan diberikan. Sokongan dan tekanan US penting dalam usahanya mengukuhkan kedudukannya di Asia Tenggara agar hak Filipina membawa kes tersebut ke mahkamah mendapat sokongan penuh ASEAN.

Dalam masa yang sama, US perlu menggandakan usahanya meningkatkan kesedaran terhadap kawasan maritim, patrol dan kemampuan mencegah (deterrence capabilities) di Asia Tenggara. Perkara ini termasuklah melipatgandakan dana, latihan dan pemindahan peralatan kepada rakannya di sini termasuklah Malaysia. Ini tidak lain agar US dapat kelihatan gah dalam berdepan negara China yang berpotensi mencabar dominasi kuasanya di sini. Oleh sebab itulah, US perlu nampak berperanan dalam tuntutan ini dengan apa juga cara seperti menyampaikan saranan dan sokongan terhadap apa-apa tindakan diplomasi yang berkaitan.

Menariknya pada cadangan kedua ini, laporan turut menimbang demokrasi yang tidak stabil di Myanmar dan Thailand sebagai peluang untuk terlibat di rantau Asia Tenggara ini. Melihatkan perkembangan mutakhir di Malaysia yang menyaksikan hukuman penjara terhadap Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, ia kelihatannya membuka ruang tambahan kepada penglibatan US di sini. Selain wujudnya petisyen mendesak pentadbiran Obama mempercepat proses pembebasan Anwar dari penjara[7], duta US ke Malaysia turut menyuarakan kritikan secara terbuka keputusan badan kehakiman negara.[8] Perkembangan seperti ini sebenarnya boleh dijangka melihatkan kesungguhan US untuk terlibat secara aktif di rantau ini.

Nota Tambahan: Boleh dikatakan tahun 2015 ialah masa untuk rakyat Malaysia berjaga-jaga dengan tindak-tanduk US, khususnya berkenaan polisi mereka ke atas negara-negara di rantau ini. Rekod seperti yang ditulis William Blum (2000) menyaksikan campurtangan US dalam sesebuah negara hanya menguntungkan kuasa besar tersebut semata-mata sedangkan tuan rumah akhirnya akan ditinggalkan menderita.[9] Cukuplah sejarah ini menjadikan kita berhati-hati dalam berurusan dengan negara kuasa besar ini.


Faqih Ahmad Shuhaili

Faqih Ahmad Shuhaili terlibat dalam Unit Kajian dan Analisis di IRIS Institute. Beliau yang merupakan graduan Master of Engineering (M.Eng) in Chemical Engineering dari University of Sheffield, UK mempunyai minat yang mendalam dalam perhubungan antarabangsa dan politik. Selama 4 tahun di United Kingdom, beliau banyak berkecimpung dalam aktiviti mahasiswa dan kemanusiaan melalui pelbagai persatuan pelajar dan masyarakat. Dalam akademik, beliau bercita-cita menguasai bidang biochemistry dan renewable energy selain terlibat dalam pembuatan polisi berkaitannya.

 

 


 Rujukan

[1] Michael J. Green, Nicholas Szechenyi, Victor Cha, “Pivot 2.0”: How the Administration and Congress Can Work Together to Sustain American Engagement in Asia to 2016, 2015

[2] Dina S. Smeltz and Craig Kafura, Americans Affirm Ties to Allies in Asia, 2014

[3] Memorandum bantahan TPPA, Aug 29, 2013,http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130829/dn_01/Memorandum-bantahan-TPPA

[4] TPPA: Malaysia minta fleksibiliti, Feb 26, 2014,http://ww1.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140226/ek_01/TPPA:-Malaysia-minta-fleksibiliti

[5] Permanent Mission of the People’s Republic of China to the United Nations, letter to Ban Ki-moon, May 7, 2009,http://www.un.org/depts/los/clcs_new/submissions_files/mysvnm33_09/chn_2009re_mys_vnm_e.pdf

[6] U.S. Department of State, Limits in the Seas No. 143 China Maritime Claims in The South China Sea, 2014, http://www.state.gov/documents/organization/234936.pdf

[7] Petisyen desak pembebasan Anwar dibuat di laman web White House, Feb 11, 2015,http://www.astroawani.com/berita-dunia/petisyen-desak-pembebasan-anwar-dibuat-di-laman-web-white-house-53751

[8] U.S. Embassy Statement on The Conviction of Anwar Ibrahim, Feb 10, 2015,http://malaysia.usembassy.gov/pr_emb_statement_anwar-021015.html

[9] William Blum, Rogue State: A Guide to the World’s Only Superpower, 2000

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Malaysia Leads ASEAN Economic Integration

Next Post

Revisiting Tahrir Square: Lessons from the Coup

Related Posts
Skip to content