Putin, Rusia sekutu atau seteru Israel?

Bibi Putin

Umum mengetahui permusuhan di antara Rusia dan Amerika Syarikat sejak sekian lama, terutamanya sejak Perang Dingin (1945-1991) yang berakhir dengan kejatuhan USSR. Amerika Syarikat dikatakan telah membekal senjata kepada para mujahidin Afghanistan dalam memerangi tentera USSR. Amerika Syarikat sehingga kini terus menjalankan perang propaganda terhadap Rusia melalui media mereka.

Namun, yang menjadi persoalan adalah bagaimana pula hubungan di antara Rusia dan Israel?

Menurut Paul Johnson (A History of the Jews, 1987), Joseph Stalin telah mengamalkan dasar luar pro-Zionis. Pada 1947, sebelum tertubuhnya negara Israel, Rusia dan semua negara-negara di bawah naungan USSR telah menyokong Plan Pembahagian Palestin Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi mengiktiraf negara baru bagi bangsa Yahudi.

Hubungan Rusia-Israel menjadi keruh apabila Rusia dan sekutu-sekutunya telah membekalkan senjata kepada negara-negara Arab iaitu Mesir, Syria, Libya, Yaman, Algeria dan Iraq terutamanya dalam menghadapi krisis Terusan Suez yang berakhir dengan kekalahan Israel di dalam peperangan yang berlaku pada tahun 1973. Israel telah kehilangan penguasaan ke atas Terusan Suez dan Semenanjung Sinai kepada Mesir serta sebahagian Bukit Golan kepada Syria.

Episod baru hubungan Rusia-Israel bermula selepas kejatuhan Soviet Union pada tahun 1991. Penghijrahan Yahudi Rusia ke Israel mencatatkan angka yang tertinggi berbanding dari negara lain. Keadaan ini menyebabkan akhbar-akhbar dalam Bahasa Rusia mula wujud dan saluran-saluran televisyen Rusia juga mula disiarkan di dalam Israel.

Pada tahun 2006, delegasi rasmi kerajaan Rusia ke Israel telah mendapati tidak kurang 1 juta rakyat Israel berasal dari Rusia. Ketua Delegasi, Vladimir Zhirinovsky ketika itu berkata bahawa Rusia tidak akan membiarkan apa juga bentuk keganasan dilakukan terhadap Israel.”

Putin, di dalam satu kenyataan beliau pada tahun 2011 berkata bahawa Israel merupakan sebahagian daripada ‘Dunia Rusia’ dan merupakan salah satu dari negara luar yang menggunakan Bahasa Rusia, di mana lebih daripada separuh rakyat Israel boleh berbahasa Rusia.

Pada Jun 2012, Israel merupakan destinasi pertama Putin sebaik sahaja memenangi pilihanraya Presiden Rusia. Sempena lawatan tersebut, beliau memuji negara Israel dan menyatakan perasaan bangga beliau kerana sebahagian besar rakyat Israel berasal dari Rusia dan masih berbahasa Rusia.

Dalam perang Israel ke atas Gaza pada tahun 2014 yang berlangsung selama 51 hari, Putin di dalam menyokong Israel telah berkata bahawa beliau secara peribadi menyokong usaha Israel dalam melindungi keselamatan warganegaranya.

Dari aspek ekonomi, pada tahun 2014 Rusia telah meningkatkan import buah-buahan dari Israel selepas ia memboikot import barang makanan dari Eropah, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia. Manakala Rusia merupakan sumber import daging bagi Israel.

Menurut Reuters, pada Oktober 2015, Israel dan Rusia telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan penyelarasan operasi ketenteraan di negara Syria bagi mengelakkan sebarang pertembungan di antara kedua-dua pihak.

Rentetan peristiwa Turki menembak jatuh pesawat Su-24 Rusia, Jerusalem Post melaporkan kenyataan seorang pegawai atasan tentera udara Israel bahawa Israel tidak akan menembak jatuh pesawat Rusia jika ia memasuki ruang udara Israel. Kewujudan pesawat perang Rusia bukan ancaman ke atas Israel, tambah beliau lagi.

Sebagai tindak balas Rusia terhadap peristiwa yang sama, Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev berkata bahawa Rusia akan memutuskan sebarang hubungan perdagangan atau ekonomi dengan Turki. Rusia merupakan sumber utama gas asli bagi negara Turki. Di dalam kenyataan yang sama, beliau menyatakan minat Rusia untuk menjadikan Israel sebagai salah satu alternatif bagi menggantikan Turki. Turki merupakan destinasi pelancongan popular di kalangan sebahagian besar rakyat Rusia dan merupakan sumber import pertanian negara tersebut.

Hubungan mesra Rusia-Israel ini bukanlah sesuatu yang terselindung. Ia dilaporkan secara terbuka di dalam mana-mana media. Namun, persoalan yang lebih penting, di dalam krisis Timur Tengah, terutamanya di Syria, kepentingan siapakah yang dilindungi oleh pihak-pihak yang bertelagah?

Oleh:

Salman Abdul Rahman
Pengarah Muslim Leadership Development Centre (MILAD)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Perdana Menteri Baru Kanada Penyokong Kuat Israel di Perhimpunan Umum PBB

Next Post

Turki tidak perlu memohon maaf kepada Rusia

Related Posts
Skip to content