Singapura bukan jiran yang baik ?

Ketegangan diplomatik hubungan dua hala Malaysia-Singapura di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir

Hubungan Malaysia-Singapura dilihat berada dalam keadaan stabil semasa pemerintahan Najib Razak dan Barisan Nasional. Namun, semenjak Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 15 Mei 2018 yang lepas, hubungan dua hala Malaysia-Singapura menjadi semakin tegang berikutan beberapa isu struktural yang berlaku antara dua negara. Antaranya adalah isu pembatalan pembinaan kereta api laju (HSR), isu maritim; perluasan had pelabuhan Johor Bharu, isu pengunaan ruang udara Pasir Gudang, dan isu perjanjian air 1962 antara Malaysia dan juga Singapura.

Isu pembatalan pembinaan Kereta Api Laju (HSR)

Tun Mahathir dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa projek HSR ini adalah satu kerugian besar buat Malaysia dan hanya akan menguntungkan Singapura. Sementara itu, Singapura melalui Menteri Luarnya Dr Balakrishnan mengatakan bahawa Singapura akan bertindak balas terhadap pembatalan Malaysia dengan mengesa Malaysia membayar balik pampasan sekiranya projek HSR itu dibatalkan. Beliau mengatakan, “the crux of this issue is the sancity of international law and agreements” – isu utama di sini  (HSR) adalah berkaitan kesucian undang-undang dan perjanjian antarabangsa.

Isu Maritim: Peluasan had pelabuhan Johor Bharu

Ketegangan hubungan Malaysia Singapura tidak hanya terhenti di situ. Beberapa bulan selepas Malaysia menyatakan hasrat untuk membatalkan projek HSR, isu maritim yang sekian lama menjadi pertikaian kedua buah negara kembali menjadi hangat. Pertikaian itu tercetus apabila Singapura mendakwa peluasan had pelabuhan Johor Bahru menceroboh kawasan perairannya di Tuas manakala Malaysia pula mendakwa usaha republik itu untuk memperluas had pelabuhan Singapura di luar Tuas menceroboh perairan Malaysia.  Tun Mahathir berkata kapal milik negara akan terus berada di kawasan pertikaian itu sehingga proses perundingan membabitkan kedua-dua negara selesai.

Isu ruang udara: Hak pengunaan ruang udara Pasir Gudang

Malaysia juga kelihatan bertegas terhadap Singapura dalam isu kedaulatan ruang udara. Antara isu yang menjadi pertikaian Malaysia Singapura adalah berkenaan hak pengunaan ruang udara Pasir Gudang oleh pesawat yang ingin mendarat di Lapangan Terbang Selatar. Singapura menyatakan alasan bahawa perjanjian untuk mengunakan ruang udara itu telah dipersetujui pada tahun lepas oleh kerajaan Barisan Nasional. Namun, kerajaan Malaysia melalui Menteri Luar Saifuddin Abdullah tetap bertegas mengatakan bantahan dengan mengisytiharkan ruang udara itu adalah kawasan terhad.  Malaysia juga mengisytiharkan pewujudan kawasan larangan kekal di ruang udara Pasir Gudang berkuat kuasa 2 Januari lalu dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengeluarkan Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) pada 25 Disember lalu.

Isu perjanjian air 1962: Malaysia akan bawa ke Makhamah Antarabangsa

Tidak berakhir di situ, Wisma Putra dalam satu kenyataanya pada 12 Mac 2019 yang lalu mengatakan bahawa Malaysia tidak akan mengalah dalam Isu air membabitkan Malaysia dan Singapura. Wisma Putra menegaskan, sekiranya Singapura tetap enggan menyelesaikan isu melalui rundingan, Malaysia bersedia untuk membawa perkara ini ke proses timbang tara yang juga diperuntukkan dalam Perjanjian 1962.  Menurut Wisma Putra lagi, kenyataan yang dibuat oleh Menteri Luar Singapura (Vivian Balakrishnan) di Sidang Parlimen Singapura pada 1 Mac 2019 tidak menggambarkan persefahaman yang dicapai oleh kedua-dua negara sebelum ini. “Malah, beliau mengkritik dan membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas terhadap Malaysia, “

Wisma Putra berkata lagi kenyataan negatif dan tidak berasas Balakrishnan tidak menggambarkan Singapura sebagai jiran yang baik dan tidak mencerminkan komitmennya untuk memelihara jalinan hubungan dua hala antara kedua-kedua negara berdasarkan prinsip saling menghormati dan kesaksamaan.

Penutup

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra ini memberikan satu indikator baru, terhadap bentuk hubungan dua hala yang akan terjalin pada masa-masa akan datang antara Malaysia dan Singapura di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir. Namun, beberapa kemungkinan boleh dilihat. Siapakah sebenarnya yang cuba mencetuskan ketegangan dalam hubungan dua hala ini? Adakah sebenarnya tidak balas Singapura ini berikutan pilihan raya yang akan datang di republik itu? Dengan tindakan seperti itu, adakah Malaysia akan terus melihat Singapura sebagai jiran yang baik?

Oleh:

Asyraf Farique
Ketua Editor FOKUS

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Landskap Edisi 3

Next Post

Landskap Edisi 4

Related Posts
Skip to content