SMART Sawah Berskala Besar: Bukti Lobi Korporat Berleluasa Di Kementerian Pertanian?

Saya telah diberikan sebuah carta rantaian industri padi dan beras dibawah projek Smart Sawah Berskala Besar (seperti dalam gambar dibawah). Carta ini adalah daripada pembentangan oleh pihak Industri Padi dan Beras (IPB), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI). Cuba lihat penglibatannya. Hampir 100% swasta. Menurut penerangan daripada taklimat tersebut, keputusan berkenaan urusan bendang akan dibuat oleh pihak pengurusan korporat syarikat – syarikat peneraju yang dilantik.

Gambar 1: Rantaian di bawah SMART Sawah Berskala Besar

Berdasarkan pembentangan yang dibuat. Kerja-kerja sawah akan diambil alih oleh 11 syarikat peneraju yang dilantik oleh MAFI. Urusan tersebut adalah urusan baja dan kapur, urusan trektar dan jentera, urusan racun, urusan mesin padi dan lori padi, urusan memilih kilang padi dan jualan padi, urusan menentukan pemborong dan peruncit serta urusan jualan di kedai dan pasaraya.

Petani tidak lagi buat keputusan tetapi hanya bekerja dan ikut arahan pihak pengurusan syarikat atau jika petani adalah pemilik tanah, hanya duduk dirumah dan menerima bayaran sewa dan keuntungan bulanan. Jika begini, saya khuatir lama kelamaan, tidak wujud lagi petani tetapi hanya pekerja ladang. Kesan daripada itu, ilmu tradisi dan pengalaman turun temurun akan turut hilang sedikit demi sedikit.

Saya ingin berkongsi beberapa respons yang saya terima daripada para pesawah berkenaan perlaksanaan SBB ini antaranya; petani-petani muda yang kini banyak menyewa bendang akan kehilangan bendang yang disewa apabila pemilik tanah menyertai skim sawah estet, pekerja-pekerja yang mengambil upah menabur dan meracun kehilangan kerja apabila pekerja warga asing yang lebih murah dibawa masuk suatu hari nanti, pengusaha trektar dan mesin padi bersaing dengan vendor besar yang dilantik oleh syarikat peneraju, risiko kehilangan tanah akibat tempoh perjanjian yang terlalu lama dan perjanjian yang berat sebelah, risiko tanggungan hutang yang berlebihan kepada petani dan tuan tanah jika hasil berkurangan.

Respon-respon ini bukan cakap kosong tetapi berdasarkan pengalaman dan pemerhatian petani-petani menyertai projek estet seperti ini yang lepas-lepas di Kedah, Johor dan Pulau Pinang.

Apa pula yang terjadi jika dana dan subsidi telah habis? Bagi syarikat korporat, senang sahaja, tutup syarikat dan buat kerja lain. ‘The bigger you are, the harder you fall’, ladang besar mempunyai risiko yang lebih besar dan mudah dipengaruhi oleh kepentingan politik dan wang. Pemantauan sukar dilakukan dan kesilapan boleh membawa kepada kejatuhan keseluruhan ladang. Di negara besar seperti Australia, saiz ladang adalah besar. Apabila terdapat ladang yang bankrap, jumlah ladang dinegara itu semakin kecil dan pengeluaran hasil pada tahun itu berkurangan dengan banyak. Kerana itulah, trend global terkini di kebanyakan negara maju sekarang adalah saiz lading semakin kecil bukannya semakin besar.

Ladang yang kecil mempunyai risiko yang kecil yang lebih mudah diuruskan. Masalah petani kecil bukanlah mereka tidak pandai bertani tetapi mereka disekat oleh pelbagai faktor kawalan dan dieksploitasi. Pihak berkuasa boleh membantu petani kecil menangani halangan-halangan ini tanpa perlu membentuk ladang besar yang berisiko tinggi. Antara halangan yang membelenggu petani selama ini adalah sistem bekalan benih yang dikuasai kartel, kawalan kualiti benih yang teruk dan pilihan variasi benih yang diluluskan kerajaan adalah terhad.

Ini tidak termasuk isu lain seperti pertikaian potongan pemutuan dan monopoli di peringkat perkilangan dan pasaran beras tempatan. Melaksanakan SBB adalah jalan singkat untuk melepaskan tangan terhadap perkara-perkara ini. Tidak ada jalan singkat untuk menyelesaikan isu-isu ini melainkan dengan melaksanakan sesi konsultasi bersama petani dan pemain industri untuk mencari jalan keluar. Banyak saranan yang telah dibuat oleh ahli akademik dan NGO petani namun tiada kemahuan politik yang kuat di pihak kerajaan untuk melakukan perubahan yang betul.

Selain itu, sasaran Self Sufficient Level (SSL) yang ditetapkan melalui projek ini hanya 75%, meningkat 5% daripada 70% sekarang. Adakah berbaloi dengan segala perubahan dan risiko daripada Sawah Berskala Besar ini? Manakala, sasaran pendapatan petani yang menyertai ladang skala besar ini adalah RM7,900 setahun atau RM658 sebulan, adakah jumlah ini berbaloi berbanding risikonya? Lebih mengejutkan, pengurangan jumlah orang yang bekerja dalam industri padi dan beras ini sudah pun dirancang dalam draf Dasar Agro Makanan Negara yang baharu,2021-2030.

Dokumen tersebut menyatakan jumlah pekerja dalam sektor ini pada tahun 2021 yang dianggarkan sebanyak 109,000 orang akan berkurangan kepada 28,000 orang sahaja pada tahun 2030. Apa sudah jadi? Adakah nanti lebih banyak input pertanian dan hasil pertanian akan diimport sahaja?. Dasar ini jelas mengabaikan faktor ekonomi dunia post-covid yang menyaksikan banyak pekerja kehilangan pekerjaan di bandar-bandar dan negara-negara di dunia mengalami gangguan bekalan makanan, barangan dan komoditi. Inilah masanya untuk negara membuat perubahan ekonomi (economic shift) ke arah ekonomi yang lebih lestari dan bersifat lokal. Sasaran pengurangan jumlah orang yang terlibat dalam sektor pertanian menjelang 2030 adalah tidak berpijak di dunia nyata.

Timbul pula persoalan, adakah sasaran ini semata-mata untuk mengurangkan subsidi kerajaan untuk pertanian? Jika ya, apa akan jadi kepada jaminan bekalan makanan negara (food security) yang merupakan salah satu aspek terpenting ketika zaman ekonomi dan politik dunia yang tidak menentu ini? Perlu difahami bahawa subsidi untuk pertanian bukanlah untuk petani semata-mata tetapi untuk menjamin bekalan makanan dari sumber lokal yang mencukupi dengan harga yang berpatutan kepada rakyat.

Semua orang tahu seperti yang sering diperdebatkan di WTO (World Trade Organization) bahawa di negara ekonomi liberal pun, seperti Amerika Syarikat, subsidi bayaran tunai kepada petani mencecah sehingga 22 bilion dolar setahun. Ini semua demi menjamin agenda pengeluaran makanan dalam negara dan agenda geopolitik untuk mengurangkan kebergantungan kepada makanan import dari negara lain seperti China.

Lebih hairan lagi, cadangan SBB yang akan mengubah landskap industri padi dan beras ini hampir 180 darjah, tidak membawa perubahan yang besar pun dalam sumbangan Industri Padi dan Beras kepada ekonomi negara. Cuba kita teliti sasaran Pengeluaran Dalam Negara Kasar (GDP) yang disasarkan iaitu dari RM2.47 bilion pada tahun 2021 hanya kepada RM2.91 bilion tahun 2030. Jadi, apa dan kepada siapa sebenarnya manfaat ekonomi projek Sawah Berskala Besar ini ditujukan?

Projek penswastaan seperti ini seringkali digambarkan sebagai tindakan untuk menyelesaikan masalah ketidakcekapan agensi dan mengurangkan kos pentadbiran dimana syarikat swasta akan menanggung kos perlaksanaannya. Namun hakikatnya, ia adalah projek pihak swasta untuk mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan ke atas keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka melalui sistem kuota, lesen-lesen khas dan subsidi input. Hanya industri penting yang memang ada untung sahaja yang akan diswastakan, industri yang tidak popular dan tidak untung, tidak ada siapa yang berminat untuk ambil alih.

Eloklah projek SBB ini dibincangkan dan difikirkan dengan mendalam oleh para petani dan pihak-pihak yang berkepentingan dalam industri ini sebelum bersetuju untuk menerimanya.

Nurfitri Amir Muhammad
8Julai2021

*Nurfitri Amir Muhammad merupakan seorang penyelidik dan aktivis masyarakat yang terlibat dalam program pembangunan komuniti dan advokasi dasar dalam isu-isu sosial dan sosioekonomi.

2 comments
  1. Sebenar nya tujuan dan objektif menjadikan sawah sedia ada adalah bagus. Para pesawah adalah bebas untuk menyertai program ladang ini atau pun tidak. Baik buruk nya smart ladang ini bergantung kepada pesawah itu sendiri kerana mereka yang akan membuat keputusan. Kerajaan sudah tentu ingin membantu petani ini menambah kan pendapatan mereka. Salah satu cara nya adalah dengan cara smart ladang. Tuan tanah juga berhak menyewakan pada syarikat jika ianya lebih menguntung kan mereka dari menyewa nya pada individu. Apa yang ingin di katakan di sini adalah pesawah boleh membuat keputusan mereka sendiri dan bukan mendengar atau membuat andaian dari artikel seperti ini dan bukan nya pandangan dari pesawah itu sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Covid-19, Dedah Kerosakan ‘Sistem’ Selama Ini

Next Post

Abbas Adakan Tuntutan Sulit Dengan Amerika Syarikat

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content