Tentera Mesir mula mengepam air laut ke dalam paip-paip besar di mana baru-baru ini telah dipanjangkan merentasi sempadan yang menghubungkan Gaza dan Mesir dalam cubaan untuk menghapuskan kebanyakan terowong yang digunakan untuk menyeludup barangan ke dalam Gaza.
Projek telah lama dirancang
Salah seorang pemilik terowong tersebut, Abu Mohammad, seorang warga Palestin, memberitahu Anadolu Agency,”Tentera Mesir mula mengepam air laut yang banyak dari Laut Mediterranean ke dalam terowong melalui kebanyakan paip bawah tanah yang besar serta mempunyai beratus lubang di dalamnya. Kesemua paip ini telah dipanjangkan sejak dulu lagi merentasi sempadan antara Mesir dengan Jalur Gaza”.
Mohammad turut menjelaskan beberapa pemilik terowong terpaksa menggunakan pam-pam besar untuk mengeluarkan air dari terowong tersebut supaya tidak runtuh. Namun, beliau meragui dengan keupayaan mereka untuk mengawal jumlah air yang dipam masuk oleh tentera.
Jentera dan penggali milik kerajaan Mesir pernah dilihat di sempadan Rafah di mana tentera Mesir menyusun kesemua paip ke dalam parit untuk mengepam air laut ke dalam terowong di Rafah, Mesir pada 18 September 2015.
Operasi Kolam Ikan
Projek tersebut yang dinamakan ”Operasi Kolam Ikan” oleh tentera Mesir, berupaya membanjiri kawasan sempadan dengan berkesan dan direka untuk menghentikan aktiviti penyeludupan di kesemua terowong tersebut.
Seorang ahli keselamatan warga Palestin yang tidak ingin didedahkan namanya, berkata tujuan tindakan tentera Mesir tersebut adalah mahu menghapuskan kebanyakan terowong yang merentasi sempadan tersebut tanpa perlu mengenalpasti kedudukannya.
Penterjemah : Nurul Fitrah Abdullah
Sumber : MEM