Perlembagaan merupakan asas utama kepada pembentukan sesebuah Negara yang berdaulat. Tujuan dan fungsi utama perlembagaan adalah untuk mewujudkan satu bentuk pemerintahan yang adil, mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah, mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat, alat untuk menyelesaikan masalah, menjamin riwayat negara bangsa serta mengekalkan keamanan dan kestabilan Negara.1
Malaysia, sebagai sebuah Negara yang berdaulat memiliki perlembagaannya yang unik, unggul dan tersendiri yang juga dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Malaysia merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang telah dibentuk berdasarkan kepada dua dokumen perlembagaan terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957.
Terdapat empat paksi utama atau ‘tiang seri’ yang membentuk Perlembagaan Persekutuan iaitu Agama Islam sebagai Agama Persekutuan, Hak dan kedudukan Istimewa Orang Melayu, Kedaulatan Raja-raja Melayu dan juga Bahasa Melayu sebagai rasmi. Paksi-paksi ini tidak dimasukkan secara tidak sengaja ke dalam perlembagaan melainkan adanya sejarah yang unik dan tersendiri yang membawa kepada perkara tersebut. Empat perkara tersebut telah dirangkumkan dalam sebuah perjanjian lisan yang dikenali sebagai kontrak sosial.
Kontrak Sosial merupakan satu permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan dalam kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.2 Istilah kontrak sosial sebenarnya tidak ditulis di dalam perlembagaan persekutuan 1957. Walaubagaimanapun, kita wajib memahami bahawa kontrak sosial ini telah menjadi asas utama dalam perlembagaan tersebut, yang merangkumi empat perkara iaitu kedudukan Islam, Raja-raja Melayu, Hak istimewa orang Melayu dan Bahasa Melayu. Secara mudahnya, kontrak sosial adalah satu istilah yang mewakili kesediaan orang Melayu untuk memberi kewarganegaraan kepada orang bukan Melayu dengan bayaran keempat-empat perkara yang telah dinyatakan tadi..3
Malayan Union 1946
Catatan sejarah yang jelas membawa kepada pembentukan kontrak sosial adalah ketika penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union pada tahun 1946. Faktor utama penentangan Orang Melayu terhadap bentuk pentadbiran ini ialah hak kewarganegaraan sama rata, penghapusan istilah Peribumi (Bumiputera) dan Anak negeri serta penghapusan mutlak Kedaulatan Raja-Raja Melayu.4 Perkara utama yang terkandung dalam dasar Malayan Union ialah konsep Jus Soli. Jus soli bermaksud hak untuk mendapat kerakyatan berdasarkan kelahiran di sesebuah negara. Konsep ini akan menguntungkan golongan imigran atau orang pendatang kerana mereka boleh memperoleh kerakyatan dengan mudah di Tanah Melayu pada masa itu. Hal ini berbeza dengan nasib penduduk asal Tanah Melayu pada masa itu yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu yang akan terancam status quo mereka sebagai rakyat asal di Tanah Melayu.
Secara umumnya, hak kewarganegaraan terbuka Malayan Union akan mengancam kedudukan orang Melayu dari segi penguasaan politik dan ekonomi mereka di Tanah Melayu. Mereka juga akan berhadapan dengan kemungkinan akan diatasi dari segi jumlah penduduk oleh orang bukan Melayu sehingga menjadikan mereka sebagai golongan minoriti di tanah asal mereka sendiri.
Persekutuan Tanah Melayu 1948
Bantahan orang Melayu terhadap Malayan Union kemudiannya berhasil dan memaksa pihak koloni British untuk menggantikan Malayan Union dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perjanjian ini merupakan satu kejayaan besar bagi perjuangan orang Melayu untuk mengekalkan status quo mereka terutama sekali dalam isu kewarganegaraan dan kedudukan Raja-raja Melayu. Perjanjian ini juga buat kali pertamanya menunjukkan pengiktirafan koloni British terhadap status orang Melayu sebagai penduduk asal di Tanah Melayu.5
Orang Melayu kebanyakannya telah berpuas hati dengan perlembagaan baru ini. Walaubagaimanapun, orang bukan Melayu telah menimbulkan reaksi yang berbeza disebabkan ketidakpuasan hati mereka mengenai undang-undang kerakyatan Persekutuan yang ketat.
JawatanKuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) 1949
Perbincangan mengenai hak kerakyatan bukan Melayu telah menjadi isu penting yang dibincangkan oleh CLC pada pertemuan mereka pada Disember 1949 di Pulau Pinang. Tan Cheng Lock yang merupakan salah satu anggota CLC telah memainkan peranan penting dalam usaha mendesak orang Melayu untuk menerima kerakyatan secara Jus Soli untuk orang bukan Melayu. Dalam perbincangan itu, beliau berjaya memujuk wakil CLC Melayu termasuk Dato’ Onn untuk menerima kerakyatan jus soli bagi kaum bukan Melayu.6
Keputusan mengejut daripada CLC ini telah menimbulkan kemarahan dari orang Melayu dan orang-orang UMNO sendiri. Mahasiswa-mahasiswa Melayu pada masa itu mendakwa Dato’ Onn sebagai pembelot dan pengkhianat orang Melayu. Perkara ini berlarutan sehingga Dato’ Onn meletakkan jawatan beliau sebagai Presiden UMNO dalam Persidangan Agung UMNO pada 11 Jun 1950. Beliau bagaimanapun dipilih semula sebagai Presiden dalam pemilihan UMNO pada Ogos 1950 sebelum keluar dan menubuhkan Parti Malaya Merdeka (IMP).
Perlembagaan Kemerdekaan 1957
Menjelang kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, Suruhanjaya Reid telah ditubuhkan bagi merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebelum memperoleh kemerdekaan daripada Britain. Suruhanjaya ini ditubuhkan pada Mac 1956. Sebanyak 118 pertemuan telah diadakan antara Jun hingga Oktober 1956, iaitu selepas rombongan Parti Perikatan pulang dari Perundingan London, dan telah menerima 131 memorandum dari pelbagai pihak individu dan organisasi. Semua surat memorandum daripada rakyat jelata yang berminat akan dipertimbangkan dan terdapat juga yang ditolak termasuk daripada Parti Perikatan yang telah memenangi Pilihan Raya umum 1955 itu sendiri.
Terdapat lima jenis kerakyatan yang terkandung di dalam Perlembagaan Kemerdekaan ini. Kategori yang kedua di dalam syarat kerakyatan ini jelas menunjukkan ciri kerakyatan Jus Soli yang mana mereka yang dilahirkan di Tanah Melayu selepas Kemerdekaan akan memperolehi kerakyatan walaupun kedua-dua ibu atau bapanya masih belum memiliki kerakyatan. 7 Selain itu, kategori-kategori lain kerakyatan yang terkandung dalam suruhanjaya ini juga jelas membawa kepada konsep kerakyatan terbuka yang menimbulkan kritikan daripada Parti Politik, Organisasi dan pemimpin-pemimpin Melayu.
Secara umumnya, orang Melayu membantah dan menyuarakan kebimbangan atas cadangan suruhanjaya Reid ini. Menurut majalah Qalam bilangan 70, keluaran Jun 1956, prinsip jus soli yang terkandung dalam suruhanjaya Reid akan menyebabkan bangsa Melayu akan menjadi penumpang dalam negara ini dan mereka akan diperintah oleh orang asing dalam masa sepuluh atau dua puluh tahun akan datang disebabkan peningkatan bilangan golongan pendatang di Tanah Melayu.8
PAS turut membantah terhadap Laporan Suruhanjaya Reid telah membawa parti tersebut mengadakan satu rapat umum di Padang Malaya, Kuala Terengganu pada 17 Mac 1957 yang dihadiri kira-kira 2,000 orang penyokong. Dalam rapat umum tersebut, Dr. Burhanuddin al-Helmy (Yang Di-pertua Agung PAS) telah menyatakan bahawa syor-syor dalam Suruhanjaya Reid tersebut merugikan bangsa Melayu dan terbabas dari keadilan.9
Kesimpulan
Rentetan peristiwa sejarah yang berlaku bermula daripada 1946 iaitu sejak penubuhan Malayan Union sehinggalah kepada Laporan Suruhanjaya Reid, yang menjadi isi utama perlembagaan Negara merupakan bahagian penting kepada pembinaan Negara berdaulat kita pada hari. Penentangan orang Melayu terhadap konsep kerakyatan terbuka melalui konsep jus soli bukanlah bersandarkan kepada emosi semata-mata, sebaliknya berpunca daripada sejarah mereka yang panjang di Tanah Melayu yang hari ini dikenali sebagai Malaysia. Akhirnya, tuntutan-tuntutan kewarganegaraan terbuka oleh orang bukan Melayu diterima tetapi bersyarat, iaitu orang bukan Melayu wajib menerima Islam sebagai agama Persekutuan, Hak istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu sebagai Bahasa rasmi dan kedaulatan Raja-raja Melayu. Sejarah ini jelas menunjukkan kepada rakyat Negara, sama ada Melayu atau bukan Melayu, bahawa sebarang usaha untuk mencabar asas perlembagaan ini hanya akan mengakibatkan ketidakstabilan serta huru hara di tanah air yang kita cintai ini.
Sumber
1 Pusat Maklumat Rakyat, http://pmr.penerangan.gov.my.
2 Abdul Manaf Haji Ahmad. 2009. Kontrak Sosial, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
3 Shamsul Asri Baharuddin. 2012. Modul Hubungan Etnik (Edisi Kedua), Institut Kajian Etnik, Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia.
4 Abdul Halim Ramli. ND. Perdebatan Antara Kaum Mengenai Isu Kerakyatan Sebelum Merdeka,Jurnal Sejarah. 57.
5 ibid.60
6 ibid.64
7 ibid. 74
8 ibid. 72
9 ibid. 76
Zul Fahmi Bahrudin
Penganalisis Politik Dan Sejarah Malaysia
IRIS INSTITUTE