2 tahun selepas dunia berhadapan dengan wabak Pandemik Covid-19, kini semua mata tertumpu kepada Perang Rusia Ukraine sebagai “megatrend” baharu bagi tahun 2023 dan mendatang. Implikasi ketidaktentuan masa hadapan yang dicetuskan Perang ini terhadap persekitaran strategik semasa adalah membimbangkan negara-negara dunia, terutama selepas bergelut untuk pulih daripada impak Pandemik Covid-19.
Krisis harga tenaga, kekurangan bekalan makanan, peningkatan inflasi global, dan gangguan dalam rantaian bekalan telah menyebabkan situasi ini bertambah sukar. Negara-negara dunia terpaksa berjalan dalam keadaan ruang fiskal yang terhad, serta beban hutang yang tinggi akibat Pandemik Covid-19.
Antara kesan daripada situasi ini, sesetengah negara mengambil langkah yang lebih bersifat ‘protectionist’ untuk melindungi kepentingan negara masing-masing. Negara-negara kuasa besar pula bersaing dalam suasana ketidaktentuan.
Berdasarkan pemerhatian IRIS INSTITUTE dalam Laporan Perkembangan Strategik separuh penggal yang dikeluarkan pada Ogos 2022 lalu, Perang Rusia-Ukraine menunjukkan tanda-tanda perubahan suasana geopolitik dunia ke arah pembentukan kuasa multipolar melalui permainan kuasa di peringkat antarabangsa.
Perang Rusia Ukraine telah mengakibatkan berlaku sedikit perubahan terhadap orde ekonomi dunia. Dominasi Dolar telah mula menunjukkan trend penurunan di samping berlaku pengukuhan terhadap pakatan-pakatan baru kewangan dan perdagangan akibat daripada sekatan yang dikenakan oleh Barat terhadap Rusia. Secara geopolitiknya, dunia bergerak ke arah kuasa multipolar walaupun susunan pakatan-pakatan dunia sebelum ini masih lagi status quo dan tidak berlaku perubahan yang ketara dalam pelbagai bidang.
Selain itu, persaingan antara China dan Amerika Syarikat untuk menjadi kuasa serantau telah menghasilkan pertembungan dalam pelbagai dimensi. Persaingan dalam dimensi ekonomi dan ketenteraan dilihat paling dominan pada tahun 2022.
China sedang menghampiri persaingan dengan Amerika Syarikat dari sudut kekuatan hegemoni serantau. Hal ini boleh dilihat melalui kekuatan ketenteraan China yang semakin meningkat dan juga projek-projek pelaburan OBOR yang sudah semakin kukuh. Sementara itu, Amerika Syarikat dilihat lebih bersifat reaktif dalam melancarkan polisi dari sudut ketenteraan mahupun pelaburan luar. Sehingga kini projek yang sedang dijalankan tidak berjaya menandingi saiz, skala dan kelajuan projek OBOR.
Kesimpulan
Persaingan antara kuasa-kuasa besar di peringkat global dan serantau didorong oleh beberapa trend yang bersifat “driver utama” seperti digitalisasi, perlumbaan merebut sumber baru tenaga, gangguan dan peralihan rantaian bekalan, inflasi dan beban hutang negara meningkat, ketidakstabilan politik global dan nasional, akan mencorakkan perjalanan tahun 2023.
Situasi ketidaktentuan dalam konteks persaingan kuasa di peringkat global dan serantau ini mempunyai potensi ke arah pertembungan yang bersifat fizikal, khususnya di kawasan yang menjadi flashpoint sebelum pandemik lagi, seperti di Laut China Selatan dan Taiwan.
Di Malaysia, ketidakstabilan politik nasional menyebabkan urus tadbir negara terganggu. Ketidakstabilan ini menyebabkan pelbagai tuntutan dilakukan oleh pihak-pihak berkepentingan kepada kerajaan dengan tujuan untuk memenangi agenda masing-masing di peringkat nasional. Monopoli modal dan sumber oleh taikun-taikun menyebabkan negara tidak dapat memanfaatkan sumber untuk kemajuan ekonomi nasional.
Ini menyebabkan perjalanan politik dan pentadbiran negara berada dalam keadaan terdedah kepada direction daripada pihak lain (kapitalis/kuasa asing). Potensi negara dan rakyat tidak dapat sepenuhnya dibangunkan dan negara masih lagi kekal dalam kitaran/siling sebagai negara ketiga sahaja.
Krisis harga tenaga, kekurangan bekalan makanan, peningkatan inflasi global, dan gangguan dalam rantaian bekalan telah menyebabkan situasi ini bertambah sukar. Negara-negara dunia terpaksa berjalan dalam keadaan ruang fiskal yang terhad, serta beban hutang yang tinggi akibat situasi ini.
Asyraf Farique
Ketua Pegawai Operasi, IRIS Institute