Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail, berkata Pusat Pengajian Kecerdasan Buatan (AI) pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan memulakan program akademiknya pada Oktober tahun ini. Menurutnya, tempoh kursus ini adalah kira-kira tiga tahun dan 120 pelajar akan menjadi perintis fakulti bagi sesi akademik 2024/25. (TheStar)
Terdahulu, semasa pembentangan Bajet 2024 pada 13 Oktober tahun lepas, Perdana Menteri iaitu Anwar Ibrahim mengumumkan pusat pengajian AI pertama negara akan ditubuhkan di UTM dengan peruntukan awal RM20 juta untuk mempergiatkan penerokaan AI merentas disiplin. (TheStar)
Penubuhan fakulti AI di UTM ini selari dengan pembangunan YTL Green Data Center Park yang pertama dibangunkan di Kulai, Johor dengan kerjasama NVIDIA. UTM yang turut membuat kerjasama dengan NVIDIA dijangka akan menggunakan modul pembelajaran dan teknologi AI daripada NVIDIA. Kerjasama antara UTM dan NVIDIA ini juga telah lama berlangsung dalam bidang pengkomputeran dan data analitik iaitu sejak 2015 lagi apabila UTM telah dipilih sebagai ‘NVIDIA GPU Research Center’. (UTMNews, UTM, YTL)
Melihat kepada trend yang berlaku, kewujudan fakulti AI di UTM ini akan dimanfaatkan untuk kegunaan pusat data YTL-NVIDIA daripada sudut keperluan tenaga kerja. Hal ini kerana, mereka lebih memahami teknologi AI NVIDIA.
Terdahulu, pembinaan pusat data ini akan lebih menumpukan kepada pasaran di Singapura. Menurut Dato’ Yeoh Seok Hong, Pengarah Urusan YTL Power, pusat data ini merupakan projek perdana bagi visi YTL untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan di Singapura. Pusat data ini juga akan mempunyai sambungan gentian gelap (Dark Fiber) ke Singapura untuk kegunaan telekomunikasi dan rangkaian komunikasi syarikat-syarikat di Singapura. (YTL)
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.