YOU TAI: YAHUDI DI ASIA TIMUR

UntitledGambar 1: Komunti You Tai di Kaifeng, China

Kehadiran masyarakat Yahudi dalam dunia benua Asia secara umumnya boleh dikatakan sebagai pelik atau kelihatan seperti mustahil. Semua orang tahu, ketika proses pembinaan Negara bangsa sedang rancak berkembang pada penghujung abad ke-18 dan 19, bangsa Yahudi wujud dan menetap di Eropah. Walaupun mereka boleh dikatakan sebagai tidak bernasib baik kerana menerima layanan buruk daripada sistem feudal, dan kemudiannya digantikan oleh sistem Negara bangsa, sejarah telah memahat bangsa Yahudi sebagai bangsa yang sinonim dengan dunia Eropah. Meskipun tidak dinafikan terdapat kemungkinan penghijrahan orang Yahudi daripada Eropah ke Asia dalam skala yang kecil, kewujudan mereka boleh dianggap sebagai tidak begitu signifikan berbanding populasi besar di Asia.

Walaupun begitu, menurut laporan Joshua Project, sebuah pertubuhan missionary Kristian terbesar dunia, di China hari ini, Populasi You Tai, Chinese-Jewish (Cina-Yahudi) adalah seramai 2560 orang. 30% Kristian daripada mereka adalah Kristian di mana suku daripada jumlah itu adalah daripada mazhab Kristian Evangelist. Menurut laporan itu lagi, Bahasa utama yang menjadi pertuturan You Tai ini adalah Bahasa Mandarin. [1]

Terdapat pelbagai teori kedatangan Yahudi ke Tanah Besar China. Menurut Professor Chavannes, bangsa Yahudi mula datang ke China antara 960M sehingga 1126 M (Dinasti Sung) daripada India melalui jalan laut. [2] Terdapat beberapa teori lagi terutamanya dari kaedah dan laluan yang digunakan oleh bangsa Yahudi yang kebanyakannya mendiami kawasan Barat daya Russia ke Tanah Besar China. Antaranya ialah menggunakan laluan sutera antara Utara India dan barat daya China. Malah, ada pendapat, Yahudi mula datang sejak zaman dinasti Ming lagi iaitu 58-75 M daripada wilayah-wilayah barat Tanah Besar China termasuklah Samarkand dan Parsi.

ASIMILASI YAHUDI KE DALAM BANGSA CINA

Asimilasi Yahudi kedalam bangsa Cina bermula pada 1421M selepas Hassan atau Ah San yang merupakan seorang Yahudi telah mendapat anugerah daripada Maharaja China selepas membocorkan cubaan memberontak Putera Su daripada wilayah Kaifeng terhadap Maharaja. Beliau dianugerahkan nama Cina oleh Maharaja dan seterusnya memberi peluang untuk masyarakat Yahudi diiktiraf sebagai sebahagian daripada Cina dan mengambil nama Cina menggantikan nama-nama Yahudi. Ramai Yahudi terutamanya di wilayah Kaifeng pada masa itu mula masuk ke dalam kerajaan dan menduduki jawatan-jawatan penting. Kesannya, ramai Yahudi di China pada masa itu mula jauh daripada prinsip asal dan kebudayaan Yahudi dan mengambil adat dan kebudayaan masyarakat tempatan dalam kehidupan seharian mereka. Mereka turut terputus hubungan dengan masyarakat Yahudi luar negara.

Kewujudan You-Tai tidak disedari oleh Yahudi Eropah sehinggalah Matteo Ricci, seorang Missionary Katolik (Jesuit) menjumpai 500 ke 600 orang You Tai di Kaifeng pada Jun 1605. You Tai yang berjumlah sedikit ini masih memelihara dan mengamalkan adat-adat Yahudi seperti bersunat dan berdoa menghadap ke Baitulmuqaddis. [2] Bukti lain yang memperkukuhkan berlakunya asimilasi yahudi ke dalam masyarakat Cina dapat dilihat menerusi pengakuan William Milne apabila berjumpa dua orang You Tai di Shanghai. Mereka dikenali sebagai Chaou Wan Kei dan Chaou Kin-Ching. Mereka bercakap menggunakan Bahasa Cina, berpakaian Cina dan memiliki karakter orang Cina walaupun berdarah Yahudi dan mengamalkan sebahagian adat Yahudi iaitu bersunat semenjak lahir lagi.[3]

Botak 1Botak 2

Gambar 2: Chaou Wan-Kei (atas) & Chaou Kin-Ching (bawah)

Di Wilayah Kaifeng yang menempatkan masyarakat Yahudi terbesar, etnik majoriti adalah Han dan Hui. Hui dikenali sebagai masyarakat Cina yang beragama Islam, manakala Han adalah kelompok yang terdiri daripada beberapa etnik Cina. Salah satunya ialah Etnik Hakka. Boleh dikatakan terdapat kemungkinan asimilasi Yahudi berlaku ke dalam beberapa etnik, termasuklah etnik Hakka. Ini diperkuatkan lagi dengan beberapa persamaan dari segi ciri-ciri antara Yahudi dan etnik Hakka.

PEMBERONTAKAN TAIPING DI TANAH BESAR CHINA

Pada tahun 1850 sehinggalah 1870, berlaku pemberontakan Taiping di China bertujuan menjatuhkan kerajaan dinasti Qing (Manchuria). Pemberontakan ini dipimpin oleh Hong Xiuquanyang merupakan seorang yang berasal daripada etnik Hakka[4]. Malah, beberapa pimpinan tertinggi pemberontakan Taiping adalah keturunan etnik Hakka. [3]

Antara kesan pemberontakan ini ialah pembunuhan beramai-ramai terhadap Pemberontak Taiping dan Yahudi oleh Tentera Imperial Manchuria untuk menghalang kemaraan pemberontak ke Beijing[3].   Ramai daripada rakyat Tanah Besar China mula berhijrah atau dihalau ke seberang laut, terutamanya ke Asia Tenggara. Penghijrahan rakyat China semakin hebat apabila British menjalankan perdagangan kuli bagi memenuhi keperluan tenaga buruh di Asia Tenggara [5]. Orang-orang China sanggup berhijrah kerana mereka telah hilang keyakinan terhadap Kerajaan Manchu serta untuk melarikan diri daripada penderitaan di negeri China. Bekas-bekas pengikut Taiping pula berhijrah ke seberang laut untuk lari daripada hukuman Kerajaan Manchu. Etnik Hakka yang mendominasi pemberontakan ini antara yang paling ramai melarikan diri daripada Tanah Besar China.

Antara punca-punca yang membawa kepada pemberontakan adalah gerakan anti-manchu yang banyak dipelopori oleh kumpulan kongsi gelap, kesengsaraan ekonomi dan sosial akibat banjir besar yang berlaku di sekitar Sungai Yangtze dan kemarau panjang di wilayah Hunan. Selain itu, kelemahan pentadbiran kerajaan Imperial yang ketara seperti rasuah, penyelewengan serta ketidakcekapan dalam pentadbiran. Ramai pegawai mengamalkan rasuah untuk kepentingan diri.

JEJAK YAHUDI DI TANAH MELAYU

Muncul persoalan penting. Wujudkah komuniti Yahudi di Tanah Melayu seperti di Tanah besar China atau sekurang-kurangnya komuniti Cina yang mempunyai darah dan kaitan rapat dengan Yahudi, seperti You Tai?

Menurut sebuah dokumentari mengenai komuniti Yahudi yang bertaburan di serata dunia yang diterbitkan oleh Budiyanskiy, dikatakan You Tai telah dikenalpasti wujud di Melaka 60 tahun sebelum You Tai di Kaifeng, China ditemui oleh Matteo Ricci [7]. Selain itu, terdapat juga satu surat daripada St. Francis Xavier mengenai satu kelompok pendatang Cina di Melaka yang tidak makan daging Khinzir dan merayakan perayaan yang berbeza daripada Cina yang lain. St. Francis Xavier membuat kesimpulan bahawa mereka ini sama ada kelompok Kristian Cina yang mengikut adat Yahudi, atau kelompok Yahudi-Cina (you-tai). [6]

Etnik Hakka juga dikatakan masuk secara beramai-ramai ke Tanah Melayu dan juga di Sabah dan Sarawak melalui skim pengambilan pekerja. Etnik Hakka seperti yang disebutkan sebelum ini adalah salah satu daripada bangsa Han yang berada di Kaifeng yang menjadi petempatan utama bagi Yahudi yang berasimilasi ke dalam masyarakat Cina. Antara perkara yang mengejutkan ialah aktiviti perdagangan keluarga Yahudi, iaitu Kadoorie dalam industri getah di Tanah Melayu semasa era kehadiran koloni British di Tanah Melayu. [5]

KESIMPULAN

Bangsa Yahudi sinonim dengan  diaspora (penghijrahan beramai-ramai) dan tidak hairanlah mereka muncul di merata-rata tempat di dunia. Penghijrahan ke Tanah Besar China boleh dikatakan agak menarik kerana sebahagian besar Yahudi yang berhijrah ke sana berasimilasi ke dalam beberapa kelompok etnik di China terutamanya etnik Hakka. Mereka hidup dengan budaya cina, mempunyai rupa paras orang cina dan berbahasa dengan Bahasa cina. Maka tidak hairanlah jika kewujudan kelompok ini sukar untuk dikenalpasti oleh kelompok-kelompok Yahudi lainnya di seluruh dunia. Hubungan rapat dan saling faham-memahami ini mungkin menjadi sebab Dr Sun Yat Sen (etnik Hakka) yang merupakan pengasas dan Presiden Republik Rakyat China yang pertama telah menulis surat menyatakan sokongan terhadap projek Zionis. Melalui dapatan di atas, hipotesis awal mendapati terdapat Yahudi berketurunan Cina di Tanah Melayu ini.

 

RUJUKAN

[1] “You Tai, Chinese Jew in China,” Joshua Project, 2014. [Online]. Available: joshuaproject.net. [Accessed 8 September 2014].
[2] D. Y. Levine, “The Jews of China,” Department of Mathematical Sciences, New Jersey.
[3] I. Welch, ““In the Forest of the Light:” Christians and Jews in Nineteenth Century China,” Australian National University, Canberra, 2013.
[4] “TaipingRebellion.com,” [Online]. Available: http://taipingrebellion.com/. [Accessed 18 September 2014].
[5] E. M. Mung, “International Migration by Ethnic Chinese,” International Encyclopedia of the Social & Behavioral Sciences, pp. 7794-7799, 2001.
[6] C. H. James, The Life and Letters of Saint Francis Xavier, London: Burns, Oates & Washbourne, 1935.
[7] B. Budiyanskiy, Director, A New York Jew In China-The Jews of Malaysia and Singapore. [Film]. Israel: The Forward Association, 2010.

 

Oleh:

fahmi bahrudin

Zul Fahmi Bahrudin
Penganalisis Sejarah dan Perlembagaan Malaysia
Institut Kajian ArusBaru Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

ISIS: Kaedah “SEMANTIC INFILTRATION” Terhadap Konsep NEGARA ISLAM ( Siri 2)

Next Post

Presiden Morsi dipenjara 20 tahun atas tuduhan kekerasan

Related Posts
Skip to content