Laut Cina Selatan merupakan salah satu flashpoint atau titik bermula ledakan yang kritikal di Asia Tenggara.
Selain daripada isu pertikaian terhadap pertindihan sempadan antara China dengan beberapa buah negara Asia Tenggara , kawasan ini juga menjadi pentas untuk penentuan dominasi geopolitik dan ekonomi bagi dua kuasa besar dunia – US dan China yang sedang bersaing merebut hegemoni di benua Asia.
Kini, konflik di Laut Cina Selatan telah berubah daripada sebuah konflik sempadan kepada konflik yang melibatkan soal keselamatan serantau.
China dan US dijangka akan bertarung di pentas Laut Cina Selatan bagi menentukan dominasi masing-masing di rantau ini.
Namun peperangan ini tidak akan berlaku dalam bentuk pertembungan langsung secara konvensional antara kedua-dua kuasa. Ia akan bermula dalam bentuk perang ‘asymmetric’ (tidak seimbang) antara China dengan salah satu negara kecil di Asia Tenggara.
US dijangka akan menjadikan pertempuran ini sebagai sebab untuk terlibat secara langsung dalam bentuk ketenteraan. Kesannya, peperangan tersebut boleh berlarutan dan menjadi sebuah perang serantau dengan US dan sekutunya di satu pihak, dan China di satu pihak lagi.
Dalam situasi sekarang, selain daripada Taiwan, Vietnam adalah negara yang paling berpotensi kerana memiliki hubungan yang paling tegang dengan China dalam isu pertindihan sempadan Laut Cina Selatan.
Dalam sebuah kajian yang dikeluarkan oleh RAND Corp pada tahun 2001, China telah dikenal pasti memiliki potensi untuk melakukan serangan ketenteraan di rantau Asia Tenggara.
Walau bagaimanapun, China tidak akan memilih untuk bertempur di tengah-tengah perairan Laut Cina Selatan dan bertempur secara langsung dengan US atas sebab-sebab yang jelas iaitu; 1) Ia akan mengganggu laluan perdagangan dunia itu dan menjejaskan ekonomi China sendiri (yang bergantung kepada laluan tersebut untuk import), dan 2) Kemampuan ketenteraan China yang tidak dapat menyaingi kemampuan tentera US khususnya di laut dan udara.
Namun, laporan tersebut menyatakan bahawa China kekal memiliki motivasi untuk menegaskan kedaulatan dan haknya ke atas kawasan di Laut Cina Selatan. Oleh itu, China akan kekal bersikap agresif dan provokatif khususnya ke atas negara-negara yang memiliki pertikaian dengannya. Hal ini boleh mencetuskan insiden yang berpotensi membawa kepada peperangan.
Selain itu, China juga boleh melancarkan serangan jika ia merasa terancam dengan pengepungan pengaruh US, atau berdasarkan kiraannya, negara-negara di Asia Tenggara akan mengancam atau menyerang China terlebih dahulu (khususnya di perairan mereka sendiri) dengan bantuan US.
Kelebihan first strike (siapa menyerang dahulu) boleh menjadi pemangkin kepada keputusan China untuk melancarkan serangan.
Sehubungan dengan itu, Vietnam ketika ini dilihat sebagai negara yang mengumpulkan elemen-elemen yang boleh mengundang serangan dari China. Derek Grossman daripada RAND dalam sebuah analisisnya menyatakan bahawa terdapat 3 sebab mengapa Vietnam akan menjadi tapak tercetusnya perang.
Pertama, tentera China (PLA) memerlukan sebuah medan pertempuran (battleground) untuk menguji dan meningkatkan kemampuan mereka khususnya dalam ruang udara dan maritim. Pergeseran sedia ada dengan Vietnam boleh dijadikan sebab untuk mereka melaksanakan serangan sebenar.
Kedua, Vietnam buat masa ini masih dinilai oleh China sebagai belum sepenuhnya berada dalam pengaruh US. Berbanding dengan Thailand dan Filipinai, Vietnam tidak memiliki sebarang perjanjian hitam putih untuk pertahanan bersama dengan US. Walaupun US kini cuba mengangkat hubungan ketenteraannya dengan Vietnam, tiada jaminan US akan benar-benar menghantar armada lautnya untuk mempertahankan Vietnam.
Ketiga, jika China perlu melaksanakan serangan pertama di rantau ini, ia haruslah menjadi satu serangan yang bersifat pasti menang. Ketika ini, China menilai Vietnam sebagai sasaran mudah ekoran jurang besar antara kekuatan udara dan lautnya (walaupun dengan segala penambahan/modenisasi yang berlaku) berbanding China.
Berdasarkan faktor-faktor itu, antara strategi US ialah membiarkan China melakukan serangan pertama kepada Vietnam di Laut Cina Selatan. Peluang ini akan membuka ruang kepada US untuk memberikan respons atas prinsip menjaga kebebasan perairan antarabangsa.
Respons US akan digerakkan melalui semua saluran utama iaitu 1) Ketenteraan; dengan mengatur gerakkan armada laut dan udara pada kadar yang sesuai, di samping mengepung China dengan bantuan Jepun, Australia dan India, 2) Institusi antarabangsa; dengan mengusulkan kepada PBB agar meluluskan resolusi bagi memaksa China berundur keluar dari Laut Cina Selatan dan 3) Ekonomi; dengan melancarkan sekatan ekonomi (sanction) secara kolektif ke atas China.
Jika China bertegas untuk meneruskan pertempuran (atas faktor kedaulatan, maruah parti CCP dan reinforcement atau bantuan daripada Rusia/Korea Utara), maka skala pertempuran akan berubah daripada pertempuran di medan perairan Vietnam kepada pertempuran yang lebih besar, melibatkan keseluruhan rantau Asia Tenggara.
Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), IRIS Institute