Amerika Syarikat, sebagai penyedia dan pengeluar utama teknologi dan minyak untuk pasaran global Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF), kini melobi Malaysia agar menggunakan perkhidmatannya dalam pembangunan industri SAF di negara ini.
Kaunselor Ekonomi di Kedutaan AS di Malaysia, Dave Williams berkata “kami berharap Malaysia dapat memanfaatkan teknologi baharu dan usaha pengkomersialan untuk SAF, dan kami mengalu-alukan usaha Malaysia dalam bidang ini.” – Malay Mail
Williams yang juga ahli lembaga pengelola Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) turut menjelaskan bahawa usaha untuk memperkenalkan teknologi canggih AS dalam bidang iklim telah bermula sejak beberapa tahun lalu melalui bengkel dan lawatan sambil belajar pegawai Malaysia ke AS yang dianjurkan oleh Kedutaan AS di Malaysia. – Malay Mail
Menurut laporan Statista, Amerika Syarikat mendahului senarai sebagai pengeluar utama SAF, dengan syarikat-syarikat seperti Gevo Inc, Fulcrum BioEnergy, dan Alder Fuels di barisan hadapan. Selain itu, syarikat-syarikat terkemuka dari Eropah seperti Shell, Neste, dan Raven SR juga tersenarai sebagai pemain utama dalam industri ini. – Statista
Langkah AS ini adalah sebahagian daripada inisiatif iklim yang diperkenalkan pada 2022 melalui undang-undang pendanaan iklim dan Akta Pengurangan Inflasi. Menerusi inisiatif ini, syarikat AS seperti Gevo Inc menerima dana untuk memperkukuhkan kedudukan AS dalam industri baharu ini. – Gevo
Pada ucapan Belanjawan 2025, Malaysia mengumumkan potensi kerjasama antara Petronas dan syarikat perladangan sawit utama (SD Guthrie dan FGV Holding) untuk menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF) daripada sisa kilang kelapa sawit. Pada ketika ini, Malaysia tiada kilang pengeluaran yang sedang beroperasi bagi tujuan ini. – Belanjawan 2025, Qcintel
Bagaimanapun, Petronas dengan kerjasama Enilive S.p.A, dan Euglena mengumumkan pembangunan kilang penapisan bio di Pengerang. Manakala, Pengeluar biofuel China, EcoCeres juga telah membina kilang penapisan RD/SAF setahun 350,000 mt setahun di Pasir Gudang, yang akan mula beroperasi pada separuh kedua 2025. – Qcintel
Berdasarkan National Energy Transition Roadmap (NETR), kerajaan menyasarkan penggunaan SAF dalam sektor penerbangan domestik meningkat sehingga 47 peratus. Pembangunan industri SAF negara juga dilaporkan selaras dengan agenda Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menerima pakai Matlamat Aspirasi Global Jangka Panjang (LTAG). – NETR
Ia juga merupakan sebahagian daripada komitmen Malaysia kepada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) untuk memperoleh pensijilan bahan api penerbangan mampan (SAF) daripada badan antarabangsa. – NETR
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab