Rakyat Malaysia pasti tahu di mana terletaknya negeri Kedah dan perkara-perkara asas tentang negeri itu. Namun adakah semuanya peka akan sejarah yang pernah bertapak di tanah ini? Sejak di bangku sekolah, kita sekadar menghafal sejarah berkenaan negeri-negeri yang terdapat di Tanah Melayu yang telah diasaskan sejak berkurun yang lalu. Tetapi sukar untuk kita pelajari apa sebenarnya nilai ataupun pengajaran yang terkandung dalam sejarah Tanah Melayu itu sendiri.
Tanpa kita sedar, kita telah kehilangan sebahagian nilai terpenting dalam hidup kita kerana tidak mempelajari sejarah serta tidak belajar daripadanya. Justeru, pengenalan tentang sejarah kerajaan yang tertua di Asia Tenggara ini diharapkan dapat membuka mata kita semua serta menyuntik semangat untuk mengembalikan kegemilangan bangsa kita seperti 2,000 tahun yang lalu.
Bagi yang masih tertanya-tanya apakah perkara yang signifikan yang pernah berlaku di Kedah Tua pada zaman dahulu, jawapannya terdapat di Tapak Arkeologi Sungai Batu.
Ahli-ahli pengkaji di sini telah menjumpai penemuan-penemuan penting yang membuktikan bahawa terdapat pembinaan tamadun yang gah di Sungai Batu sejak 2,000 tahun yang lalu. Berdasarkan kenyataan yang dipetik dari BERNAMA, antara penemuan yang penting adalah monumen ritual ibadat yang berbentuk bulatan di dasar dan binaan segi empat di atasnya dan dikatakan berusia 1,900 tahun. Penemuan ini telah menunjukkan bahawa tamadun Sungai Batu ratusan tahun lebih tua daripada Borobudur, Indonesia dan Angkor Wat.
Apa yang mengagumkan adalah Kedah Tua juga telah mencapai zaman keunggulannya apabila ia sangat terkenal dengan industri peleburan besi yang terhebat di Asia Tenggara. Hal ini dapat dibuktikan dengan penemuan tinggalan relau-relau besi di tapak arkeologi tersebut. Sekiranya Sungai Batu begitu terkenal dengan industri terbabit, maka ini bermaksud di sini juga terdapat pelabuhan yang lengkap dengan kemudahan-kemudahan untuk perdagangan.
Menurut kitab Al-Rujjar yang ditulis oleh ahli geografi Arab, Idrisi, beliau mencatatkan:
“Orang-orang Zabag (Srivijaya atau Kedah Tua) telah pergi ke Tanah Sofala (kini dikenal pasti berdekatan Beira, Mozambique) dan mengeksport besi. Dari sana mereka membekalkannya ke seluruh Tanah India. Tiada besi yang mampu menandingi besi-besi mereka dari segi mutu dan ketajaman.”
Selain daripada itu, pada tahun 940 Masihi Abu Dulaf dalam catatannya pula menyatakan:
“Apabila saya sampai di Kalah, saya dapati tempatnya amat indah dengan tembok-tembok kota, taman-taman bunga dan aliran mata-mata air dari bumi. Saya lihat lombong bijih timah yang tidak ada tolok bandingnya dalam dunia ini. Di dalam kota ada tukang-tukang membuat pedang “Qala’i” iaitu pedang Hindi yang tulen…”
Catatan-catatan berikut nyata sangat jelas menceritakan betapa Kedah Tua pada masa itu telah mencapai satu zaman di mana ketamadunnya diagung-agungkan oleh para pedagang serta ahli-ahli ilmuan yang lain. Dari segi industri pemprosesan besi, ternyata tukang-tukang besi di Kedah Tua pada ketika itu menggunakan teknologi yang maju, dan hasilnya adalah produk-produk besi yang berkualiti tinggi. Ketika tamadun-tamadun di Eropah masih belum berkembang, Kedah Tua telah mencipta dan menggunakan pengangkutan seperti kapal untuk pelayaran dan perdagangan.
Bukti-bukti sejarah yang telah ditemui di Sungai Batu jelas menunjukkan bahawa bangsa Melayu mempunyai latar belakang yang sangat hebat. Namun selepas berlaku penjajahan yang berterusan di Tanah Melayu, sejarah kegemilangan tersebut langsung lenyap daripada pengetahuan masyarakat kita. Inilah masanya untuk kita membongkar semula sejarah ketamadunan ini agar dapat mengembalikan semangat perjuangan kita untuk bangkit dan bebas daripada segala jenis bentuk penjajahan ke atas bangsa yang bertuah ini.
Wan Nur Khairunnisa
Penganalisis IRIS
Sumber:
- http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1167681
- http://thevocket.com/penemuan-kapal-berusia-2000-tahun-di-kedah-bukti-kerancakan-industri-besi-melayu-purba/?utm_source=facebook