Baru-baru ini, negara-negara ASEAN telah mengadakan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) yang ke-3. Bertemakan “ASEAN-Maintaining Regional Security and Stability For and by the People”, ADMM-Plus kali ini berlangsung di Malaysia. Fokus perbincangan ini adalah berkenaan kegagalan mereka untuk mencapai kata sepakat dalam mengendalikan isu yang berkaitan Laut China Selatan.
Persoalannya, apakah yang dicapai oleh 18 negara – 10 negara Asia Tenggara serta Amerika Syarikat, China, Australia, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, dan Rusia – ini dalam ADMM-Plus yang telah berlangsung?
Sebelum itu, penting untuk kita tahu apa itu ADMM-Plus. ADMM-Plus adalah versi tambahan bagi ADMM yang diadakan setiap tahun antara 10 buah negara-negara ASEAN. ADMM-Plus yang pertama telah berlangsung di Vietnam pada 2010. Mesyuarat terbaru ini diadakan dua kali setahun.
Dalam ADMM-Plus kali ini, antara perkara yang dibincangkan adalah:
1. Menubuhkan satu talian hotline untuk memudahkan komunikasi antara dua buah negara. Talian hotline ini dikatakan mampu menggalakkan komunikasi yang selamat serta pantas sekiranya berlaku sebarang krisis yang tidak diingini. Negara-negara di Asia Tenggara turut membincangkan isu keselamatan serantau dan antarabangsa seperti keganasan, keselamatan siber, dan keselamatan maritim.
2. Menggunakan kumpulan tentera ASEAN untuk bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR). Kata Hishammuddin, idea ini adalah untuk menyediakan angkatan tentera di bawah nama ASEAN untuk mengendalikan kawasan yang dilanda krisis menggunakan kaedah yang diselaraskan.
3. Pertukaran pandangan terhadap isu keselamatan serantau dan antarabangsa serta isu pertahanan. Perbincangan tersebut bukan sahaja merangkumi topik umum seperti keselamatan maritim, Islamic State, dan keselamatan siber, namun turut membincangkan isu ketegangan yang berlaku di Semenanjung Korea dan krisis kemanusiaan di Syria yang semakin meningkat. Isu Laut China Selatan juga dibincangkan dalam perjumpaan itu, mencatatkan kepentingan pelaksanaan Declaration on the Conduct (DOC) bagi parti-parti di Laut China Selatan dan juga konklusi awal bagi Code of Conduct (COC).
4. Hishammuddin menggariskan kepentingan dalam menetapkan tatakelakuan bagi Laut China Selatan untuk mewujudkan kepercayaan dan keyakinan bersama serta mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau. Malaysia yang turut terlibat dalam pertikaian Laut China Selatan, lebih mengambil tindakan untuk berdiam diri dalam perkara yang berkaitan Filipina dan Vietnam.
5. Cadangan untuk memperkukuh kerjasama pertahanan turut dibuat. Contohnya, menteri pertahanan Singapura Ng Eng Heng mencadangkan agar memperluaskan Kod untuk Pertembungan Tidak Dirancang di Laut (CUES) – sebuah perjanjian yang dicapai dalam Simposium Angkatan Laut Pasifik Barat pada 2014 – untuk melibatkan kapal-kapal awam dan turut menyeru ADMM-Plus untuk menggunakan protokol yang sama untuk pengangkutan udara.
Terjemahan oleh: Wan Nur Khairunnisa
Sumber: TheDiplomat