Sistem peluru berpandu China di Laut China Selatan mampu menerobos ruang angkasa Malaysia

Gambar 1: Sistem Pertahanan YJ-12
Gambar 1: Sistem Pertahanan YJ-12

Meneruskan penguasaan maritim secara aggresif, China mengambil langkah berani mencabar kedaulatan negara-negara Asia Tenggara dengan meletakkan sistem pertahanan udara di beberapa pulau buatan manusia miliknya. Sistem peluru berpandu jarak jauh buatan China ini dijangka akan meningkatkan lagi pengaruh China di Laut China Selatan.

Menurut Collin Koh, seorang pengkaji di ‘Maritime Security Programme’, S. Rajaratnam School of International Studies, Singapura, sistem pertahanan udara ini merupakan tanda permulaan bagi China untuk mengatur kedudukan aset-aset strategiknya seperti pesawat pejuang dan pesawat pengebom di pulau-pulau miliknya. Dengan adanya pulau-pulau milik China yang lengkap dengan landasan kapal terbang dan jeti bagi kapal laut dalam, tentera China mudah untuk melakukan sebarang operasi ketenteraan di Laut China Selatan dengan kadar yang segera.

Liza Tobin dalam artikelnya di majalah terbitan Naval War College isu 2018 menyatakan salah satu aspek dalam agenda besar China, ‘Maritime Great Power’ atau Kuasa Maritim Baru adalah kebolehan mempertahankan kepentingan aset maritime milik China. Oleh itu, tentera laut China atau PLAN melakukan pengstrukturan semula tentera lautnya dengan proses memodenkan aset-aset tempur dan penguasaan ilmu persenjataan. Ini termasuk, meluaskan kawasan maritim China untuk dijadikan ‘buffer zone’ atau zon penampan bagi tujuan pertahan China.

Selain itu, sistem pertahanan udara ini juga digunakan untuk memantau aset ketenteraan milik Amerika Syarikat yang kerap menggunakan laluan Laut China Selatan dalam melakukan rondaan yang berskala global. Amerika Syarikat dilihat sebagai inspirasi dan saingan utama PLAN dalam menguasai Laut China Selatan. Dengan armada yang moden, Amerika Syarikat masih lagi memegang pengaruh kuasa maritime meskipun dihimpit kekurangan kapal dan strategis yang berkaliber.

Gambar 2: Jarak Operasi Sistem YJ-12 [1]

Sistem Pertahanan Udara China

Terdapat dua sistem peluru berpandu yang dipasang oleh PLAN di beberapa buah pulau yang terdiri daripada sistem permukaan ke udara, HQ-9 dan sistem misil anti kapal berkelajuan supersonik, YJ-12. Sistem HQ-9 mempunyai jarak operasi sejauh 160 batu nautika dan diadaptasi dari sistem pertahanan udara Rusia, S-300. Kegunaan sistem HQ-9 adalah bagi pertahanan udara jarak jauh secara strategik. Sistem YJ-12 dianggap memberi ancaman yang lebih besar kepada kawasan serantau memandangkan sistem HQ-9 berkemungkinan digunakan untuk pertahanan pulau.

Merujuk kepada Gambar 2, jarak operasi sistem YJ-12 mampu menembusi ruang angkasa Malaysia di utara Sabah. Lebih merisaukan, kebolehan senjata ini dikatakan mampu memusnahkan ‘Carrier Group’ Tentera Laut Amerika Syarikat jika ditembak dengan jumlah yang banyak (Swarming attack). Meskipun sistem radar pertahanan udara Malaysia mampu mengawasi kawasan tersebut, namun tentera Malaysia tidak mempunyai jawapan yang tepat terhadap ancaman tersebut dan terpaksa bergantung kepada pesawat seperti F-18 Hornet dan Sukhoi 30MKM dan aset permukaan milik TLDM.

Sistem YJ-12, secara teorinya memberi kelebihan China untuk mengawasi laluan perdagangan yang digunakan oleh kebanyakan syarikat perdagangan. Selain memantau, China dalam erti kata lain, cuba mempertahankan laluan penting perdagangan andai Amerika Syarikat mengenakan sekatan ekonomi melalui proses ‘blockade’ atau kepungan.

Mengapa Sistem Pertahanan Udara Berbahaya?

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh US Naval War College, China mendesak Amerika Syarikat agar memindahkan sistem pertahanan udara THAAD (Terminal High-Altitude Area Defence battery) dari Korea Selatan.

Walaupun sistem THAAD bersifat ‘defensive’ atau pertahanan dan tidak pernah digunakan sebagai senjata ‘offensive’, China masih lagi dengan pendirian tegas menolak kehadiran senjata tersebut dengan alasan senjata tersebut akan memulakan perlumbaan senjata di rantau tersebut.

Namun, pada pandangan penulis, apa yang merisaukan China bukan sistem THAAD tetapi sistem radar yang membantu THAAD mengesan sasaran, radar AN/TPY-2. Secara asas, radar boleh digunakan untuk mengesan sasaran. Radar juga boleh digunakan untuk mengesan gerak-geri aset-aset strategik seperti kapal dan pesawat. China bimbang dengan sistem radar ini, segala gerak-geri asetnya akan diperhati oleh Amerika Syarikat.

Senario yang sama berlaku di Laut China Selatan. Sistem radar bagi sistem YJ-12 mampu digunakan bagi mengesan kedudukan strategik aset-aset negara seperti Amerika Syarikat dan Malaysia. ‘Pencerobohan’ ini membolehkan China mengambil maklumat ruang udara bukan sahaja utara Sabah, malah Laut China Selatan.

Selain itu, China juga memasang sistem bagi peperangan elektronik yang berfungsi untuk menyesakan atau ‘jamming’ komunikasi kapal terbang Tentera Laut Amerika Syarikat, US Navy di kawasan ruang udara antarabangsa. Komander bagi US Pacific Command, Laksamana Philip Davidson berkata kemajuan tentera China memaksa Pacific Command untuk meningkatkan pelaburan terhadap armada Amerika Syarikat di Laut China Selatan. Ancaman China di Laut China Selatan adalah merupakan ancaman serantau dan perlu disekat agar kedaulatan negara tidak tergadai.

Oleh:

Irfan Alias

Penganalisa Pertahanan, University of New South Wales

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Chinese premier arrives in Indonesia for official visit

Next Post

RUNDINGAN SEMULA PROJEK CHINA DI MALAYSIA

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content