Setiap tahun, elit global hadir di Davos, Switzerland atas alasan untuk menyelesaikan krisis dunia (Isu iklim, pelarian). Tetapi apa yang berlaku adalah kekayaan elit ini semakin tahun semakin bertambah, dan masalah dunia tidak juga dapat diselesaikan.
Menurut kenyataan yang ditulis di dalam satu artikel The Print, pendapatan Elit global semakin meningkat dari pendapatan sebelumnya selepas hadir ke Davos. David Rubenstein (pengasas dan pengerusi bersama Kumpulan Carlyle) telah melipatkaligandakan kekayaannya sejak 2009. Jamie Dimon (Pengerusi dan CEO JP Morgan Chase) pula mempunyai lebih tiga kali ganda nilai bersihnya. Manakala Stephen Schwarzman (Pengasas Firma Blackstone) telah meningkatkan kekayaannya enam kali ganda dari sebelumnya. Ketiga-tiga mereka adalah antara peserta yang hadir di World Economic Forum (WEF) pada tahun 2009.
Pendapatan peserta Davos 2009 telah melonjak sebanyak 175 bilion USD
Menurut data bloomberg, pendapatan elit global yang menyertai World Economic Forum (WEF) 2009 telah melonjak sebanyak 175 bilion USD selepas 10 tahun. Pendapatan jutawan India, Mukesh Ambani meningkat sebanyak 174% daripada 16.0 Bilion USD kepada 43.8 Bilion USD. Marc Benioff, seorang usahawan internet Amerika, merupakan antara yang tertinggi peningkatan peratusan pendapatannya pada tahun 2019 iaitu peningkatan sebanyak 823% berbanding tahun 2009. Namun, George Soros antara elit global yang mengalami penurunan pendapatan pada tahun 2019 berbanding tahun 2009. Peningkatan yang berlaku ini membuktikan bahawa pertemuan mereka dalam persidangan Davos 2009 sememangnya menambah status kewujudan mereka di mata elit global yang lain.
Meskipun pendapatan elit global ini melonjak positif, fakta sebaliknya berlaku kepada pendapatan separuh daripada populasi miskin dunia. Pendapatan mereka dianggarkan jatuh kepada 11 peratus pada tahun lepas menurut Oxfam.
“Ekonomi kita terpecah-pecah apabila beratus-ratus juta orang hidup dalam kemiskinan yang melampau manakala ganjaran besar diterima oleh mereka yang berada paling atas,” kata Oxfam.
Oleh itu, timbul satu persoalan, adakah persidangan ini merupakan platform untuk mereka menyelesaikan masalah manusia sejagat, atau ianya hanya sekadar perjumpaan ekslusif untuk menambahkan lagi pengaruh elit global ini?
Wafiq Azman
Kolumnis Fokus