Dunia kini sedang mengalami satu perubahan drastik sehingga wujudnya istilah yang disebut sebagai norma baharu. Akan tetapi, di peringkat global, opportunisme tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas bagi negara adikuasa khususnya China.
Pada 16 Mac 2020, telah wujud persepakatan di antara China dan Itali dengan terma “Health Silk Road (HSR)” (健康丝绸之路) yang merupakan cabang daripada Belt and Road Initiative (BRI). China merupakan negara pertama yang menghantar bantuan perubatan ke Itali yang disaksikan sendiri oleh Luigi Di Maio, Menteri luar Itali.
Situasi yang sama juga berlaku di Serbia melalui presidennya Aleksandar Vučić. Sepanyol juga turut serta dan diperkukuhkan lagi dengan harapan yang diberikan oleh Xi Jinping kepada Pedro Sánchez dengan berkata, “sunshine comes after the storm”.
Tindakan dan gerak-geri China memberikan satu tamparan yang cukup hebat kepada Kesatuan Eropah (EU) dan paling terkesan sekali sudah tentu musuh utamanya iaitu Amerika Syarikat (AS). Sikap individualistik EU menyebabkan ahli-ahlinya terkapai-kapai mencari tempat untuk bergantung. EU menyekat sumber bekalan perubatan dan mengambil sikap tidak peduli.
Di Itali, ada pun bantuan yang diberikan oleh EU, ironinya mereka dikenakan bayaran dan dibiayai oleh pihak hospital. Tambahan pula, Donald Trump melakukan sekatan pelancongan terhadap Eropah. AS memberitahu bahawa sebelum ini mereka juga beri bantuan kewangan kepada negara-negara yang terjejas termasuklah China.
Dikatakan AS juga telah menghantar 17.8 tan bekalan perubatan kepada China. Itu cerita lama. Sekarang apa yang berlaku, AS menjuarai carta negara yang paling terjejas akibat Covid-19. Di AS, bantuan diberikan melalui Jack Ma dengan sumbangan berupa 1 juta topeng muka, 500 ribu kit ujian.
China bergerak secara ofensif dengan menggunakan modus operandi yang cukup terkenal iaitu kuasa lunak (soft power). Kesan pandemik ini mencerminkan China sebagai adikuasa dan ‘mileage’ politiknya semakin meningkat dan merupakan satu kritikan halus dan tindak balas kepada EU dan AS yang berlepas tangan.
Krisis wabak global ini merupakan peluang besar untuk China meluaskan hegemoninya dengan mengatasi EU dan AS. Pada masa yang sama juga, AS tidak menang tangan untuk membantu sekutu-sekutu tradisinya dan dalam perang naratif.
China mula menonjolkan diri sebagai hero ketika mana AS berada dalam mod “America First”. China ingin ‘bertanggungjawab’ seperti mana telah berlakunya krisis ekonomi 2008 apabila pakej rangsangan ekonomi telah meningkatkan permintaan global.
Benua Afrika juga tidak terlepas. Sebuah pesawat yang penuh berisi dengan 5.4 juta topeng muka, lebih dari sejuta kit ujian dan ribuan pakaian pelindung diri (PPE) dari China tiba di Ethiopia untuk diagihkan ke semua 54 negara Afrika merujuk Yayasan Jack Ma Foundation (JMF) dan Alibaba Foundation.
Walaupun bantuan itu bukan secara terus dari China, naif sekali sekiranya menganggap yayasan-yayasan tersebut tidak dipengaruhi China sedangkan pengasas mereka sendiri saling mempunyai hubungan yang sangat rapat terutamanya dalam sektor ekonomi dan perdagangan.
Pada masa yang sama, China mendasari penglibatan jangka masa panjang dalam sektor kesihatan awam. Contohnya, Kenya mengumumkan bahawa China telah mendanai serta mempunyai komitmen sebanyak $78.2 juta dolar untuk membina sebuah pusat penyelidikan penyakit 21 tingkat. Ianya diketahui selepas Kenya menerima hasrat daripada WHO dan Kesatuan Afrika untuk dijadikan sebagai pusat penyelidikan penyakit bagi rantau itu.
Bagi blok Timur Tengah pula, Iraq dan Iran merupakan negara pendahulu yang menerima bantuan pakar dari China. Diikuti dengan Arab Saudi seterusnya menerima 8 ahli pakar yang terdiri daripada bidang ujian virus dan penyakit berjangkit, masalah pernafasan dan rawatan intensif dan turut serta perubatan tradisional cina.
Objektifnya adalah untuk berkongsi pengalaman dan tawaran latihan untuk kakitangan perubatan Arab Saudi. Sementara itu, beberapa bantuan secara berkala tiba di Timur Tengah. Mesir, Lubnan, Tunisia, Algeria dan Syria antaranya.
Negara-negara berkenaan hanyalah lebih kepada perkongsian dua hala tentang pengalaman-pengalaman China inisiatif menangani Covid-19. Pakar dari Arab dan China telah pun mengadakan satu persidangan video yang dihoskan oleh Liga Arab. Haifa Abu-Ghazaleh, Penolong Setiausaha Jeneral Hal Ehwal Sosial berkata ianya bertujuan untuk perbincangan luas dalam menangani covid-19.
Di sebelah Asia Tenggara, Kemboja antara yang terawal menerima bantuan dari China. Filipina telah menerima 12 pakar perubatan dan termasuklah 30 buah ventilator, 5000 PPE, 300 ribu topeng muka pembedahan, 30 ribu respirator N95, dan 5000 pelindung muka.
Indonesia juga turut menerima bekalan peralatan perubatan berupa kit ujian, topeng muka pembedahan, PPE, ventilator dan sebagainya. Malaysia juga turut terlibat dan didatangkan bersamanya sekali peribahasa melayu, ‘Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing’ dan ‘Bukit Sama Didaki, Lurah Sama Diturun!’.
China menyerahkan sebanyak 100,008 Kit Diagnostik Asid, 100 ribu kit ujian, 100 ribu topeng muka N95, 500 ribu topeng muka tiga lapisan, 50,000 PPE, dan 200 unit ventilator. Malaysia juga dihantar oleh China 8 pakar perubatan untuk berkongsi pengalaman dan inisiatif menangani Covid-19. Ianya diperakui sendiri oleh Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Luar Negeri Malaysia.
Akhirnya, Respons China semasa pandemik adalah dengan ‘revitalize’ HSR supaya BRI/OBOR dapat diperkukuhkan lagi dan dikalibrasikan semula. China memungkinkan untuk memperbaiki reputasi nasional dan global setelah mana Wuhan dari wilayahnya sendiri menjadi sebagai ‘epicentre’ dan asal tercetusnya novel virus korona.
Secara literalnya, pembersihan nama yang sudahpun tercemar berulang kali. Tujuan lain juga adalah kerana bersifat keghairahan untuk meningkatkan ‘mileage’ politik antarabangsa dan oppoturisme terhadap musuhnya AS dan sekutu dan EU juga turut terkesan. China merealisasikan falsafah tradisionalnya “Rompaklah rumah yang sedang terbakar (趁火打劫)”.
Covid-19 inilah peluang dan ruang kepada China untuk terus meneroka dengan mewujudkan satu terma multilateralisme daripada pelbagai rantau ketika mana AS sedang berada dalam situasi ‘dasar pemencilan’. Covid-19 juga memberikan aspirasi global China untuk berusaha dalam menyediakan satu acuan fundamental dan norma antarabangsa serta menjadi peneraju adikuasa utama demi mencapai “The Middle Kingdom”.
Rujukan:
1. China sends doctors and masks overseas as domestic coronavirus infections drop – The Guardian
2. What Good Is Chinese Soft Power? – National View
3. From cover-up to global donor: China’s soft power play – Financial Times
4. COVID-19: A Breakthrough Moment for China’s Soft Power in Africa – China Africa Project
5. China continues to show solidarity as Covid-19 cases exceed 200,000 in Middle East – The Star
6. Coronavirus: Masks and test kits donated by Jack Ma arrive in US – South China Morning Post
7. China Focus: China sends medical expert team to Philippines – Xinhua Net
8. Paket Bantuan Medis dari China untuk Perangi Corona COVID-19 Tiba di Jakarta – Liputan6
9. China hantar bantuan topeng muka, ventilator, alat pelindung PPE – Astro Awani
10. 8 doktor China bantu Malaysia tangani COVID-19 – Astro Awani
11. Gambar hiasan -– Financial Times
*Anas Zamri merupakan pelajar dalam bidang Syariah Islamiah, Tahun 1 Kuliah Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.