Adakah ekonomi negara masih mampu bertahan mengharungi pandemik Covid-19?

Persoalan saya ini terjawab sewaktu mendengar ucaptama Prof Madya Dr Aznan Hasan dalam persidangan ICRIS 2021 (International Conference on Interdisciplinary and Strategic Studies) anjuran IRIS Institute pada Khamis lepas, 12 Ogos 2021.

Prof Madya Dr Aznan Hasan telah menyuarakan kebimbangan beliau tentang defisit belanjawan negara yang telah berlanjutan terlalu lama sejak 1998 dan diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.

Menurut beliau, kedudukan kewangan negara kini masih mampu bertahan dengan hutang yang meningkat tetapi amat bahaya untuk jangka masa panjang.

Beliau turut memberikan beberapa saranan bagi memulihkan ekonomi negara dan mencapai kemampanan fiskal. Kerajaan perlu melakukan penstrukturan semula pembaharuan fiskal yang merangkumi peningkatan kecekapan kutipan cukai dan peningkatan produktiviti dalam perbelanjaan kerajaan. Kadar kutipan cukai yang wajar harus dikekalkan manakala kerajaan perlu lebih serius memainkan peranan dalam menggalakkan pengembangan perniagaan sekali gus membuka peluang pekerjaan dan menambah kutipan cukai perniagaan serta cukai pendapatan.

Tambah beliau, perbelanjaan kerajaan pula harus memberikan pulangan menerusi pelaburan bukan sekadar menampung kos operasi seperti membayar gaji dan pencen kakitangan awam.

Selain itu, kerajaan juga disarankan untuk memanfaatkan instrumen kewangan Islam seperti zakat dan waqaf bagi melengkapi perbelanjaan kerajaan dan kutipan cukai dalam menstabilkan ekonomi negara. Zakat yang telah terkumpul dalam fasa pengembangan ekonomi sebelum pandemik Covid-19 melanda negara boleh digunakan bagi meningkatkan pemberian zakat kepada penerima yang layak sewaktu ekonomi sedang menguncup dalam situasi pandemik ini. Waqaf pula dapat dinikmati oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira pegangan agama.

Menurut beliau, potensi waqaf amat besar sebagaimana Empayar Turki Uthmaniyah memanfaatkan waqaf sebagai sumber dana utama yang menampung perbelanjaan kerajaan.

Pakar ekonomi yang berpengalaman luas sebagai penasihat bank-bank pusat di serata dunia ini menyimpulkan bahawa Malaysia memiliki prospek pertumbuhan ekonomi yang baik sekiranya kita berjaya membendung pandemik ini.

Perbelanjaan kerajaan yang tinggi tidak dapat dielakkan sewaktu pandemik ini tetapi penstrukturan semula pembaharuan fiskal berupaya memulihkan defisit fiskal negara sekiranya semua sektor ekonomi dapat dibuka semula secepat mungkin dengan kadar imunisasi yang pantas.

Dr. Adilah Zafirah
Ketua Kolumnis Fokus dan Penyelidik IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kuala Lumpur antara 10 bandar di Asia Pasifik mendahului hab inovasi teknologi

Next Post

Can Malaysia’s economy survive this Covid-19 pandemic?

Related Posts
Skip to content