Perangkap Multikulturalisme Dalam pembinaan Etos Nasional

Kebangkitan semula isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, cadangan mengangkat ‘Bak Kut Teh’ sebagai makanan kebangsaan, larangan melaungkan azan di Pulau Pinang, mempersendakan ayat suci Al-Quran dalam media sosial, LGBTIQ, penghinaan terhadap institusi raja antara isu yang menyentuh sensitiviti bangsa Melayu dan Islam baru-baru ini.

Ini merupakan contoh perangkap multikulturalisme yang sengaja diwujudkan bagi menimbulkan kecelaruan kepada pemimpin dan rakyat, dan telah membuktikan bahawa negara kita masih gagal menyelesaikan isu identiti nasional yang bertunjangkan bangsa Melayu dan agama Islam.

Walaupun secara realitinya sebahagian besar rakyat Malaysia menjalankan kehidupan seharian secara aman, namun sehingga ke hari ini, kemunculan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama Islam dan bangsa Melayu tetap berlaku seolah-olah isu-isu ini dipermainkan secara terancang oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencapai agenda tertentu.

Mengapa perkara tersebut kekal berlaku? 

Dari segi sejarahnya, kaedah pembinaan etos nasional yang dirangka oleh kepimpinan terdahulu dilihat cuba untuk berhadapan dengan tinggalan kolonial British yang begitu kompleks dan akhirnya memilih multikulturalisme sebagai asas dalam membina identiti kenegaraan.

Permulaan kepada idea multikulturalisme di Tanah Melayu dipercayai telah digerakkan pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 dengan tertubuhnya sebuah kelab kesarjanaan kolonial, iaitu Straits Philosophical Society (SPS) yang ditubuhkan pada tahun 1893 di Singapura dan berkembang ke Pulau Pinang (1901) serta Kuala Lumpur (1913) yang mengumpulkan orang-orang elit kolonial yang berpendidikan seperti pegawai kerajaan kolonial, tentera, missionari Kristian, ahli perniagaan dan juga Cina Selat untuk bertindak sebagai ‘social engineer’ (kemudian ditukar kepada social conservator dan anthropologist-as-legislator) di tanah jajahan (Ghee, L.T & Brophy. C; 2023).

Selain itu, ramai pegawai pentadbir British yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan SPS. Antaranya adalah Hugh Clifford, Frank Swettenham, R.J. Wilkinson, Hugh Low, William Maxwell, William Walter Skeat, H.N. Ridley, W.G. Shellabear, James Aitken, dan C.W.S. Kynnersley.

Selain pegawai British, orang Cina Selat juga terlibat sama, iaitu Tan Teck Soon dan Lim Boon Keng (Ghee, L.T & Brophy. C; 2023). Walaupun tidak jelas apakah peranan ahli-ahli SPS ini, tetapi antara perkara yang berkaitan pernah dibahaskan adalah idea “plural society” oleh Furnivall yang dibawa oleh Tan Teck Soon dan juga kritikan bahawa kurangnya penglibatan bangsa Cina dalam pentadbiran kolonial di Tanah Melayu. 

Selain itu, ahli SPS juga membincangkan idea penstrukturan semula bangsa Melayu dari segenap sudut seperti membataskan silibus pendidikan agar bangsa Melayu kekal dalam format ekonomi primitif (Ghee, L.T & Brophy. C; 2023).

Cadangan ini telah diambil oleh Swettenham dalam menyusun silibus pendidikan Melayu supaya tiada kebarangkalian untuk bangsa Melayu melakukan revolusi terhadap diri mereka melainkan melatih golongan bangsawan Melayu memiliki karakter dan pemikiran seperti British (Loh, P.F.S; 1969).

Impak kepada idea-idea SPS ini juga telah mencetuskan satu gelombang awal Malayanisasi pada era tahun 1930 an. Tan Cheng Lock merupakan tokoh paling kehadapan yang menyokong hujah Lim Boon Keng berhujah bahawa identiti asal bangsa Cina hendaklah dikekalkan tetapi bernaung dibawah nama ‘bangsa Malaya’ dan tidak bersetuju dengan cadangan Sir Cecil Clementi yang mencadangkan adanya percampuran antara bangsa Melayu dengan bangsa lain (Ghee, L.T & Brophy. C; 2023).

Selepas Perang Dunia Kedua, penubuhan Commission Liaison Committee (CLC) oleh British merupakan perancangan jangka panjang British selepas kegagalan Malayan Union untuk memaksa bangsa Melayu dan bangsa lain menerima konsep multikulturalisme sebagai asas dalam pembinaan bangsa Malaya.

Rancangan ini jelas apabila Oliver Lyttelton, Setiausaha Negara Untuk Tanah Jajahan menyatakan bahawa “ideal untuk dicapai oleh semua komuniti di Tanah Melayu adalah bangsa Malayan bersatu” (Mohd Ashraf Ibrahim, 2004).

Bagi mencapai hasrat tersebut, Malcolm MacDonald telah mencadangkan supaya menubuhkan CLC dan berperanan dalam memastikan semua keputusan yang diambil oleh CLC tidak bercanggah daripada batasan yang disarankan oleh kerajaan British. Terdapat tiga objektif penting, iaitu:

  1. Mengkaji hubungan antara kaum secara mendalam,
  2. Membetulkan keadaan ekonomi, politik dan sosial supaya wujud pembahagian yang adil untuk semua komuniti di dalam negara,
  3. Mewujudkan keadaan harmoni dan muhibbah di kalangan semua penduduk tetap di negara ini.

Bagi mencapai objektif tersebut, CLC telah menumpukan kepada dua perkara, iaitu kedudukan ekonomi orang Melayu dan hubungan politik Melayu-bukan Melayu.

Pertama, kedudukan ekonomi orang Melayu akan sedia dibantu oleh orang bukan Melayu dengan pengambilan pekerja Melayu yang lebih dalam sektor perindustrian, dan perjawatan orang Melayu dalam pengurusan organisasi syarikat atau perniagaan.

Kedua, hubungan politik Melayu-bukan Melayu dalam memberikan pertimbangan kepada orang bukan Melayu dalam perkhidmatan pentadbiran dan kelayakan untuk memperoleh kerakyatan Persekutuan.

Sepanjang CLC ditubuhkan, perkembangan terpenting yang sangat ditunggu oleh kerajaan British dalam membentuk bangsa Malaya adalah apabila CLC ini mengeluarkan lima pandangan yang dipersetujui selepas pertemuan ahli di Johor Bahru pada 14 hingga 16 September 1949. Antaranya ialah:

  1. Matlamat Persekutuan Tanah Melayu adalah berkerajaan sendiri dengan bangsa Malaya sebagai warga negaranya.
  2. Bagi mencapai matlamat (i) persiapan perlu dilakukan untuk memperkenalkan pilihan raya di berbagai peringkat perundangan dalam Persekutuan secepat mungkin.
  3. Pengalaman pilihan raya boleh diperoleh secara berperingkat dan bersifat progresif perlu diadakan di kawasan perbandaran dan negeri apabila bersedia. Seterusnya, memperkenalkan Majlis Perundangan Persekutuan.
  4. Kelayakan dalam pilihan raya perlu didasari oleh kerakyatan persekutuan walaupun keputusan akhir mengenai perkara ini bergantung kepada pihak lain dan bergantung juga kepada keadaan semasa.
  5. Bahasa Melayu dan Inggeris perlu diajar sebagai mata pelajaran wajib di semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

Berdasarkan kelima-lima persetujuan ini, pandangan (i) itulah yang paling dinanti-nantikan oleh kerajaan British. Seperti yang diharapkan, pemimpin masyarakat tempatan bukan sahaja berhasrat untuk meluaskan skop kerakyatan persekutuan tetapi mencadangkan agar taraf kerakyatan itu ditukarkan kepada satu bangsa tunggal, iaitu bangsa Malayan.

Multikulturalisme memerangkap kesepaduan sosial masyarakat

Realiti pada hari ini telah membuktikan bahawa kerajaan berusaha menggunakan pendekatan politik, ekonomi dan sosial untuk mengurangkan ciri-ciri multikulturalisme yang boleh menimbulkan sebarang konflik dalam pembentukan bangsa Malaysia.

Namun, lanskap multikulturalisme yang disusun oleh British ini jelas memerangkap pembentukan kesepaduan sosial pada hari ini dan menyebabkan Malaysia tidak ke hadapan dalam mewujudkan etos nasional yang unggul.

Pendidikan merupakan mekanisme strategik dalam membina etos nasional tidak begitu dimanfaatkan oleh setiap pemerintah pada setiap era dalam membentuk etos nasional, malah dilindungi dan diberi jaminan khas atas faktor menjaga kepentingan pihak tertentu.

Selain pendidikan, terdapat perbuatan segelintir pihak tidak bertanggungjawab meremehkan bahasa kebangsaan, menghina agama Islam dan institusi beraja, dan mengangkat ideologi songsang yang semakin berleluasa dalam negara ini, menunjukkan nilai multikulturalisme tidak membawa sebarang nilai tambah dalam membina etos nasional.

Penutup

Multikulturalisme merupakan satu perangkap sosial yang tidak akan membawa kita ke hadapan untuk membina etos nasional yang unggul.

Oleh itu, satu kerangka etos nasional yang unggul sangat diperlukan oleh Malaysia dan manfaatkan segala pengupayaan yang ada pada setiap kaum di Malaysia untuk membina sebuah etos nasional tersendiri tanpa bergantung kepada mana-mana ideologi asing.

Muhd Irfan Izhar
Penyelidik, Jabatan Kajian IRIS Institute

1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

PenChinaan Sabah: China Perkukuh Agenda Qiaowu Melalui Diasporanya, Tubuh Kesatuan Ekonomi Sabah (SEU) sebagai Broker Projek OBOR

Next Post

Apa Yang Sedang Berlaku Di Laut China Selatan Sekarang? – Siri 2

Related Posts
Skip to content