Baru-baru ini Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa mereka sedang berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan ASEAN ke satu tahap yang memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak.
Menurut John Kerry, Setiausaha Negara AS, mereka akan memastikan kemajuan terus-menerus melalui kerjasama strategik yang bakal dibentuk ini. Wakil kedutaan itu juga turut menyentuh tentang kepentingan ASEAN dalam polisi AS bagi polisi luar AS di Asia Tenggara, yang mana Kerry mengatakan bahawa mereka ingin membantu dalam meningkatkan lagi peranan ASEAN sebagai pemimpin global dan negara serantau.
Beliau dijangka bertemu dengan rakan sejawatannya dari beberapa negara semasa lawatan beliau ke Malaysia yang ketika ini menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-48 (AMM), Pasca Persidangan Peringkat Menteri dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.
Kerry juga menyatakan kepercayaan mereka terhadap kemampuan ASEAN untuk meredakan ketegangan yang sedang berlaku di Laut China Selatan. Isu berkaitan perairan itu adalah salah satu perkara yang akan menjadi fokus utama hubungan AS-ASEAN. Menurut Kerry lagi, mereka tidak akan berpihak kepada mana-mana kumpulan yang menimbulkan pergolakan di wilayah perairan tersebut.
Penglibatan ASEAN dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan keamanan serta keselamatan di Asia Tenggara juga turut diakui dalam persidangan tersebut. Pencapaian ini telah membantu untuk menjadikan ASEAN sebagai platform penting kepada para pemimpin membincangkan isu-isu keselamatan dan politik, kata John Kerry di EAS.
AS kini sedang bekerjasama dengan ASEAN Regional Forum (ARF) dan EAS untuk memastikan keselamatan persekitaran marin mereka terjaga dan terlindung kerana kepentingan laut sebagai sumber utama bagi negara-negara serantau ASEAN. Wakil AS itu percaya dengan kerjasama tersebut , pihak-pihak yang berkepentingan akan dapat membentuk kawasan yang lebih selamat dan makmur tanpa sebarang ancaman ke atas keselamatan negara.
Susunan : Mimie Amlee
Sumber : BERNAMA