Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Transisi Malaysia Ke Arah Agenda Bebas Karbon 2050?

10 – 13 Julai 2023 – Agenda peralihan tenaga kepada tenaga hijau bakal dipercepatkan, perkukuh agenda elit global dalam mengawal sumber tenaga Malaysia

Dalam perkembangan sumber tenaga, agenda tenaga hijau 2050 semakin giat diperkenalkan di peringkat nasional. Peralihan sumber tenaga ini bakal merugikan Malaysia yang merupakan antara pengeluar minyak dan gas asli terbesar di dunia. Sektor minyak dan gas menyumbang 35% kepada pendapatan negara setakat 2019. Daripada sudut penggunaan, minyak dan gas merangkumi 73%, arang 21%, manakala tenaga hijau hanya 6%.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi, dasar karbon kebangsaan bakal dilaksana tahun ini. Dasar ini dijangka bertujuan untuk menjadikan Malaysia ekonomi rendah karbon sejajar dengan matlamat United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC). Pengenalan dasar ini dijangka termasuk rancangan untuk memperkenalkan rangka kerja perundangan, dan rangka kerja penetapan harga karbon.Penyertaan Bursa Carbon Exchange (BCX)  ke dalam Persatuan Perdagangan Pelepasan Antarabangsa (IETA) bakal mempengaruhi pembuatan dasar karbon Malaysia (Bernama).

Dalam perkembangan lain, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengumumkan projek di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga ini mampu menarik RM25 billion pelaburan. Pelan ini akan dimulakan dengan 10 projek pilot pada fasa pertama iaitu pada 27 Julai dan kemudian fasa kedua pada Ogos ini.

Melihat kepada trend semasa, Malaysia dijangka mengikut langkah Indonesia dengan menggunakan dana dan pelaburan luar seperti Just Energy Transition Partnership yang merupakan gabungan negara maju dan bank-bank terkemuka dunia bagi mendapatkan geran, pinjaman atau pelaburan untuk mendanai projek transisi tenaga ini (New Straits Times).


1 – 5 Ogos 2023 – Status pengupayaan R&D negara terus merosot, Malaysia kekal hadapi ketidakpadanan industri dan kekurangan bajet R&D STEM sejak tahun 2017

Pada 3 Ogos yang lalu, Kerajaan mengumumkan penubuhan jawatankuasa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) membabitkan penyertaan tiga kementerian bagi menangani beberapa isu berkaitan, termasuk ketidakpadanan graduan dalam bidang itu. Jawatankuasa ditubuhkan itu membabitkan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM). MOSTI mengakui isu ketidakpadanan dan bajet terhad dalam R&D telah berlaku sejak tahun 2017 (Berita Harian).

Malaysia telah menghadapi kekurangan bajet untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sejak sekurang-kurangnya tahun 2017, apabila perbelanjaan dalam negara kasar (GERD) untuk R&D mencatatkan hanya 0.97 peratus. Ini berada jauh di bawah sasaran negara untuk mencapai matlamat GERD sebanyak 3.5 peratus menjelang tahun 2030 bahkan tidak mencapai sasaran tahun 2020 iaitu 2 peratus (MIDA).

Kekurangan bajet R&D STEM ini turut menjejaskan kualiti dan kuantiti penyelidik di Malaysia, yang merupakan salah satu faktor utama dalam menghasilkan inovasi teknologi. Menurut MASTIC, bilangan penyelidik di Malaysia adalah 70.5 orang bagi setiap 10,000 tenaga kerja pada tahun 2017, berbanding dengan Singapura (2,400), Korea Selatan (1,300), Jepun (1,100) dan China (1,000) (MASTIC).

Walaupun Malaysia telah menunjukkan prestasi yang baik dalam beberapa sub-indikator GII, seperti kualiti penyelidikan universiti, pendaftaran paten dan jenama dagangan, serta eksport produk teknologi tinggi, namun Malaysia masih lemah dalam beberapa sub-indikator lain, seperti perbelanjaan R&D swasta, kerjasama universiti-industri dalam R&D, serta eksport produk kreatif. Ini menunjukkan bahawa terdapat jurang antara penyelidikan akademik dan pembangunan industri di Malaysia, serta kurangnya sokongan dan insentif dari sektor swasta untuk melabur dalam R&D dan inovasi teknologi (WIPO).

13 September 2023 – ESG mempengaruhi pelan peralihan tenaga (NETR) 2050 negara, bakal beri kerugian kepada negara dan sekat pengupayaan sumber alam

Pada 13 September 2023, dilaporkan bahawa dua pengasas dan penaja utama agenda ESG, BlackRock dan Vanguard mula mengubah pendekatan mereka terhadap ESG dengan mengurangkan sokongan dan dana terhadap projek dan resolusi ESG. Ini berikutan keadaan pasaran ESG sudah mula berada di luar kawalan mereka dan mampu memberi kesan signifikan kepada ekonomi AS disamping mengalami kerugian kira-kira 4 bilion USD (Fortune).

Terdahulu, agenda ESG merupakan satu agenda untuk menyelamatkan ekonomi barat yang merupakan pengeksport bersih petroleum dan berhadapan dengan sekatan minyak oleh OPEC sekitar tahun 70-an. Pada ketika itu, fokus mereka adalah mengawal rejim di negara yang kaya dengan minyak. Kemudian, mereka menggunakan tenaga nuklear sebagai alternatif. Kesan daripada sekatan minyak dan konflik di timur tengah, barat membangunkan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan turbin angin (Malaymail).

Bagi menguasai industri sumber tenaga, barat menyebarkan propaganda dan persepsi tentang bahaya nuklear dan arang batu sebagai sumber tenaga melalui pergerakan alam sekitar. Selain itu, mereka juga mengawal naratif media dan memanipulasi sistem kewangan untuk kepentingan tertentu, dengan modus mengambil berat tentang alam sekitar dan masyarakat. Pada masa yang sama, BlackRock dan Vanguard menggunakan IMF, World Bank, dan World Economic Forum sebagai alat dalam menekan negara membangun dan syarikat petroleum mereka untuk patuh pada piawaian ESG (Malaymail).

Implikasinya, ia mempengaruhi Malaysia untuk merangka dasar pelan peralihan tenaga (NETR) 2050 dan pengurangan aktiviti eksplorasi minyak dan gas menjelang 2050. Pelan peralihan ini bakal memberi kerugian besar kepada negara. Malaysia akan menjadi pengimport bersih kepada teknologi tenaga boleh diperbaharui ini dan kebanyakan wang negara akan disalurkan untuk memenuhi keperluan ESG selain mengharapkan ihsan pelabur luar untuk menaja sumber tenaga negara. Teknologi-teknologi ini pula akan dibeli daripada syarikat-syarikat yang dikuasai BlackRock dan Vanguard. Disebalik penglibatan negara dalam ESG, Malaysia masih belum mengupayakan sepenuhnya sumber alam negara seperti Petroleum dan nadir bumi. (NETR).

Dalam pada itu, perkembangan terkini pasaran tenaga dan ESG melihatkan pemegang dana terbesar dunia, pemain-pemain utama industri, dan negara besar mula beralih kepada sumber minyak dan gas. BlackRock dan Vanguard mula menarik sokongan mereka terhadap ESG. Yang terbaharu, UK mengumumkan akan menangguhkan pelaksanaan dasar sifar karbon mereka. Di AS, kebanyakan pemain industri tenaga tidak bersetuju dengan agenda ESG. Majlis Industri Tenaga (EIC) pula menyatakan “syarikat rantaian bekalan telah mengalihkan tumpuan mereka kembali kepada minyak dan gas (O&G)”. Oleh itu, pasaran menunjukkan pergerakan ESG tidak menguntungkan dan memberi beban kepada banyak pihak (Reuters, The Edge, Astro Awani)

Kesimpulannya, ESG digunakan oleh syarikat elit barat untuk mengawal sumber tenaga dan mengurangkan dominasi pemain utama petroleum yang dominan dalam pasaran. Meskipun, agenda ESG diwar-warkan oleh mereka, hakikatnya mereka masih ingin mengawal pasaran petroleum. Malaysia perlu bertindak dengan pantas untuk mengelak daripada terkesan dengan keadaan pasaran semasa. BNM dan Bursa selaku pengawal selia utama ESG dalam negara perlu melakukan kajian semula berkenaan pelaksanaan ESG.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kepentingan Ekonomi dan keselamatan dorong Arab Saudi Realisasi Normalisasi Israel

Next Post

DKN Siri 2 Anjuran IRIS Bincang Model Triniti Tenaga dan Hala Tuju NETR

Related Posts

Langgan sekarang untuk terus membaca.

Dapatkan akses premium merangkumi berita, senario bidang-bidang utama yang dirumuskan dan laporan analisa khas.

Individu

RM200 / tahun

Individu Silver

RM500 / tahun

Individu Premium

RM1000 / tahun

Skip to content